Adakah intervensi yang merendahkan kos rawatan berhenti merokok meningkatkan kadar berhenti, cubaan berhenti atau mengambil rawatan?

Latar belakang

Campur tangan yang mengurangkan atau menanggung kos ubat pemberhentian merokok dan sokongan tingkah laku boleh membantu perokok berhenti. Kami mengulas bukti tentang kesan intervensi kewangan yang ditujukan kepada para perokok dan penyedia perkhidmatan kesihatan terhadap penggunaan ubat, cubaan berhenti dan kejayaan berhenti merokok.

Ciri-ciri kajian

Kami telah mencari semua kajian yang berkaitan yang melibatkan intervensi kewangan yang ditujukan kepada perokok dan penyedia perkhidmatan kesihatan. Bagi perokok, tujuan intervensi kewangan perkhidmatan kesihatan adalah untuk menggalakkan penggunaan rawatan berhenti merokok atau menjadikan cubaan berhenti merokok berjaya. Bagi intervensi yang ditujukan kepada penyedia perkhidmatan kesihatan, intervensi ini hendaklah merangsang penyedia penjagaan kesihatan untuk membantu orang untuk berhenti merokok, sebagai contoh dengan menetapkan rawatan berhenti merokok.

Keputusan utama

Untuk kemas kini ulasan ini, kami mencari kajian mengenai kesan intervensi kewangan terhadap rawatan berhenti merokok dan kejayaannya pada September 2016. Kami menemui enam kajian baru yang relevan, melibatkan sejumlah 17 kajian.

Kami menemui 15 kajian yang disasarkan kepada perokok. Meliputi semua kos rawatan berhenti merokok bagi perokok (rawatan percuma) apabila dibandingkan dengan tidak memberikan faedah kewangan meningkatkan jumlah perokok yang berusaha untuk berhenti (4 kajian, 9065 peserta), menggunakan rawatan berhenti merokok (7 kajian, 9455 peserta), dan berjaya berhenti merokok (6 kajian, 9333 peserta).

Kami menemui tiga kajian yang ditujukan kepada penyedia perkhidmatan kesihatan. Kedua-dua kajian yang meneliti kesan intervensi kewangan terhadap kejayaan berhenti (2311 peserta) tidak secara jelas menunjukkan kenaikan kadar berhenti. Intervensi kewangan yang ditujukan kepada penyedia perkhidmatan kesihatan juga tidak memberikan kesan terhadap penggunaan ubat berhenti merokok (2 kajian, 2311 peserta). Walau bagaimanapun, intervensi kewangan meningkatkan bilangan perokok yang menggunakan kaunseling berhenti merokok (3 kajian, 25,820 peserta).

Maklumat tentang kos intervensi ada didapati dalam lapan kajian (33,488 peserta). Penilaian ekonomi setiap kajian menunjukkan bahawa walaupun perbezaan mutlak dalam berhenti merokok adalah kecil, kos setiap orang yang bejaya berhenti adalah rendah atau sederhana.

Kualiti bukti

Kami membuat kesimpulan bahawa intervensi kewangan yang ditujukan kepada perokok meningkatkan peratusan perokok yang cuba berhenti, penggunaan rawatan berhenti merokok, dan kejayaan berhenti merokok. Kami tidak mengesan kesan yang jelas terhadap berhenti merokok daripada insentif kewangan yang ditujukan kepada penyedia perkhidmatan kesihatan. Ulasan ini mempunyai beberapa batasan yang mempengaruhi keyakinan kami dalam membuat kesimpulan. Kajian yang disertakan adalah sangat pelbagai dari segi kaedah dan reka bentuk, yang menjadikannya sukar untuk membandingkan hasilnya.

Nota terjemahan: 

Diterjemahkan oleh Asmidar Alias (Universiti Teknologi MARA). Disunting oleh Shazlin Shaharudin (Universiti Sains Malaysia). Untuk sebarang pertanyaan mengenai terjemahan ini sila hubungi cochrane@rcsiucd.edu.my

Tools
Information