Perbandingan antara pengalihudaraan bertekanan positif berjeda melalui hidung (NIPPV) dengan pengalihudaraan bertekanan positif berterusan melalui hidung (NCPAP) dalam kalangan bayi pra-matang pasca-ekstubasi

Mesej utama

– Jika dibandingkan dengan NCPAP, NIPPV mungkin dapat mengurangkan risiko kegagalan pernafasan pasca-ekstubasi dan pengintubasian ulang.

– Jika dibandingkan dengan NCPAP, NIPPV mungkin dapat mengurangkan kebocoran udara dari rongga pengudaraan di dalam paru-paru.

Persoalan ulasan

Adakah pengalihudaraan bertekanan positif berjeda melalui hidung (NIPPV) mempunyai faedah jangka pendek dan jangka panjang tanpa mendatangkan kemudaratan kepada bayi pramatang apabila sokongan ventilator dihentikan? Bagaimanakah prestasi NIPPV apabila dibandingkan dengan pengalihudaraan bertekanan positif berterusan melalui hidung (NCPAP)?

Apakah itu NIPPV dan NCPAP dan mengapakah rawatan sedemikian diperlukan?

Bayi yang dilahirkan sebelum tarikh lahir dijangka (pra-matang) mungkin akan mengalami kesukaran bernafas secara spontan tanpa bantuan dan memerlukan bantuan pernafasan. Buktti ukti menunjukkan bahawa sokongan bernafas menggunakan NIPPV meningkatkan keberkesanan NCPAP dalam kalangan bayi pramatang yang tidak lagi memerlukan pengudaraan melalui tiub endotrakeal (saluran pernafasan yang dipasang dalam rongga tenggorokan). Bayi pra-matang yang mengalami masalah pernafasan kerap kali memerlukan bantuan pernafasan melalui mesin (ventilator) yang memastikan pola pernafasan yang seragam melalui sebuah saluran endotrakeal. Proses penyingkiran (ekstubasi) tiub pernafasan ini tidak selalu berjalan lancar, dan tiub tersebut mungkin perlu dimasukkan semula jika bayi tidak dapat bernafas secara mandiri. NCPAP dan NIPPV merupakan kaedah untuk menyokong pernafasan bayi secara invasif minima kerana saluran yang digunakan pendek dan hanya sampai ke bahagian belakang hidung, sekali gus hanya mengakibatkan kerosakan peparu yang minima. NCPAP dan NIPPV boleh digunakan selepas penyingkiran tiub pernafasan untuk mengurangkan bilangan bayi yang akan memerlukan pemasukan semula saluran pernafasan endotrakeal. NCPAP dapat menyediakan udara bertekanan sekata ke bahagian belakang hidung yang kemudian dialihkan ke dalam paru-paru supaya bayi dapat bernafas dengan lebih selesa. NIPPV menyediakan sokongan pengalihudaraan yang serupa, disusuli pernafasan yang dijana pada tekanan yang lebih tinggi melalui mesin ventilator.

Apakah yang kami ingin ketahui?

Kami ingin mengenal pasti sama ada NIPPV mempunyai faedah jangka pendek dan jangka panjang tanpa menyebabkan kemudaratan kepada bayi pramatang apabila bantuan pernafasan menggunakan ventilator dihentikan dan dibandingkan dengan NCPAP.

Apakah yang kami lakukan?

Kami mencari pangkalan data saintifik untuk mengenal pasti kajian yang membandingkan NCPAP dengan NIPPV dalam kalangan bayi pramatang (bayi yang dilahirkan sebelum 37 minggu kehamilan) yang tidak lagi memerlukan bantuan pernafasan tiub endotrakeal. Kami menumpukan perhatian pada masalah pernafasan bayi, keperluan untuk saluran endotrakeal dimasukkan semula dan kesan sampingan.

Apakah yang telah kami temui?

Kami telah mengenalpasti 19 kajian yang membandingkan NCPAP dengan NIPPV. Apabila menyusun keputusan kajian-kajian itu, kami mendapati bahawa NIPPV berkemungkinan dapat mengurangkan keperluan pemasukkan semula tiub endotrakeal untuk bayi yang sangat pramatang (iaitu kehamilan yang dikira bermula sejak hari pertama kitaran haid terakhir si ibu hingga kepada minggu ke-28 dan ke atas). NIPPV juga boleh menyebabkan pengurangan darjah kebocoran udara dari rongga pengudaraan paru-paru. Terdapat sedikit atau tiada perbezaan ketara dalam hasil lain yang diukur dalam ulasan ini.

Apakah keterbatasan bukti ini?

Dalam kajian klinikal tersebut, pasukan doktor dan penyelidik telah mengetahui jenis rawatan yang diterima oleh setiap bayi (NIPPV ataupun NCPAP). oleh itu, kami mempunyai keyakinan sederhana terhadap bukti untuk masalah pernafasan dan keperluan untuk memasukkan semula tiub endotrakeal.

Sejauh manakah bukti ini terkini?

Bukti adalah terkini setakat Januari 2023.

Nota terjemahan: 

Diterjemahkan oleh Nathanael Lee Yong Sheng (Hospital Seberang Jaya).Disunting oleh Lai Nai Ming, School of Medicine, Taylor’s University, Malaysia. Untuk sebarang pertanyaan yang berkaitan dengan terjemahan ini, sila hubungi cochrane@rcsiucd.edu.my

Tools
Information