Kortikosteroid untuk merawat sepsis

Soalan ulasan

Kami mengkaji bukti-bukti tentang kesan survival pada tempoh satu bulan dan tentang toleransi terhadap kortikosteroid sistemik di kalangan pesakit sepsis.

Latar belakang

Sepsis, merupakan jangkitan yang paling serius, berlaku apabila terdapat suatu lokasi jangkitan yang jelas dan bukti menunjukkan keseluruhan badan, keradangan sistemik dan kerosakan organ. Pesakit tersebut akan mengalami kawalan suhu yang lemah, peningkatan atau pengurangan sel darah putih, peningkatan kadar jantung dan pernafasan yang laju. Sepsis boleh mengganggu keberkesanan kortikosteroid buatan badan sendiri, yang berfungsi sebagai hormon pertahanan utama terhadap jangkitan. Kortikosteroid telah diberikan lebih daripada 60 tahun kepada pesakit-pesakit dengan jangkitan serius yang berpunca daripada pelbagai sebab.

Tarikh carian

Bukti dalam kajian ini adalah terkini sehingga Oktober 2014.

Ciri-ciri kajian

Ulasan ini melibatkan sejumlah 33 kajian terkawal rawak, yang melibatkan 4268 pesakit yang dimasukkan ke hospital disebabkan sepsis. Tiga kajian melibatkan pesakit kanak-kanak, manakala 30 kajian yang lain hanya melibatkan pesakit dewasa sahaja. Kortikosteroid dibandingkan dengan plasebo dalam semua kajian kecuali lima kajian, di mana mereka dibandingkan dengan terapi standard sahaja.

Sumber pembiayaan kajian

Sepuluh daripada 33 kajian dibiayai oleh syarikat perubatan, 13 dibiayai oleh pertubuhan-pertubuhan awam atau menerima pembiayaan kebajikan dan 10 menyatakan tiada sumber pembiayaan.

Keputusan utama

Kortikosteroid mengurangkan risiko kematian dalam tempoh 28 hari sebanyak 13% (dalam 27 kajian, 3176 peserta). Kadar kematian kedua-dua unit rawatan rapi (ICU) dan dalam hospital telah dikurangkan (13 dan 17 kajian, masing-masing). Ulasan ini mendapati bahawa manfaat survival bergantung kepada dos kortikosteroid - dos yang lebih rendah (kurang daripada 400 mg hydrocortisone atau setaraf sehari) untuk tempoh rawatan yang lebih lama (tiga atau lebih hari dengan dos penuh) adalah lebih baik - dan kepada tahap serius penyakit. Kortikosteroid meningkatkan peluang pemulihan daripada shock septik dalam tempoh tujuh hari (apabila ubat-ubatan diperlukan untuk menyokong tekanan darah) sebanyak 31% (daripada 12 kajian) dan mengurangkan bilangan organ yang tidak berfungsi dengan elok(kerosakan organ) (daripada lapan kajian). Tempoh tinggal di ICU dikurangkan sebanyak lebih daripada dua hari (10 kajian). Kortikosteroid tidak menyebabkan kemudaratan, kecuali peningkatan tahap glukosa darah dan garam (sodium) yang sederhana (13 dan tiga kajian, masing-masing). Pendarahan dan jangkitan gastrousus (19 ujian) dan kelemahan saraf (tiga ujian) tidak meningkat.

Kami mendapati sedikit data tentang kesan kortikosteroid di kalangan pesakit kanak-kanak sepsis.

Kualiti bukti

Kami menilai kualiti bukti untuk kadar kematian dalam tempoh 28 hari sebagai rendah kerana kurang precise (confidence interval daripada hasil statistik hampir tiada sebarang perubahan) dan tidak consistent di antara kajian-kajian. Penemuan ini sebahagiannya berkaitan dengan perbezaan antara populasi kajian, jenis corticosteroid diberikan, dos dan tempoh rawatan dan penggunaan intervensi tambahan. Kualiti bukti untuk kadar kematian dalam tempoh 28 hari di subkumpulan yang diberikan kortikosteroid dos rendah jangka panjang telah diturunkan dari tinggi ke sederhana kerana salah satu daripada dua kajian yang terbesar ke atas kortikosteroid dos rendah jangka panjang melaporkan tiada manfaat survival.

Nota terjemahan: 

Diterjemahkan oleh Lee Zcho Huey, RCSI & UCD Malaysia Campus (Formerly Penang Medical College). Disunting oleh Chan Mei Wai. RCSI & UCD Malaysia Campus (Formerly Penang Medical College) untuk sebarang pertanyaan berkaitan terjemahan ini, sila hubungi zchohuey_c2017@ms.rsciucd.edu.my

Tools
Information
Share/Save