Kortikosteroid untuk merawat sepsis

Soalan ulasan

Kami mengulas bukti kesan ke atas kematian menggunakan kortikosteroid di kalangan kanak-kanak dan orang dewasa dengan sepsis.

Latar belakang

Sepsis berlaku apabila jangkitan menjadi rumit dengan kegagalan fungsi organ. Orang mengalami pernafasan cepat, hipotensi (tekanan darah rendah), dan kekeliruan mental. Sepsis boleh mengganggu keberkesanan kortikosteroid buatan badan, yang berfungsi sebagai pertahanan utama terhadap jangkitan. Kortikosteroid telah diberikan selama beberapa dekad kepada pesakit-pesakit dengan jangkitan yang berpunca daripada pelbagai sebab.

Tarikh carian

Bukti dalam kajian ini adalah terkini sehingga Julai 2019.

Ciri-ciri kajian

Ulasan ini melibatkan 61 kajian (12,192 peserta). Lima puluh lapan kajian membandingkan kortikosteroid dengan tanpa kortikosteroid (plasebo atau jagaan biasa dalam 48 dan sembilan kajian); tiga kajian juga membandingkan pemberian kortikosteroid secara berterusan dengan secara bolus.

Sumber dana kajian

Tiga kajian dibiayai oleh sebuah syarikat ubat, 27 oleh organisasi awam atau melalui pembiayaan amal, dan enam oleh kedua-dua syarikat ubat dan organisasi awam atau pembiayaan amal; 25 tidak mengisytiharkan sumber pembiayaan.

Keputusan utama

Kami telah menganalisis dua perbandingan berikut.

• Kortikosteroid berbanding plasebo/penjagaan biasa.

Kortikosteroid mungkin mengurangkan risiko kematian sebanyak 9% pada 28 hari (50 perbicaraan; 11,233 peserta), dengan kesan rawatan yang konsisten antara kanak-kanak dan orang dewasa. Mereka juga mungkin mengurangkan sedikit risiko mati di hospital. Mungkin terdapat sedikit atau tiada kesan kortikosteroid berisiko mati dalam jangka masa panjang (lebih daripada tiga bulan), tetapi keputusan ini kurang pasti. Kortikosteroid mengakibatkan pengurangan yang besar dalam tempoh menginap di unit rawatan rapi (ICU) dan hospital. Kortikosteroid meningkatkan risiko kelemahan otot dan hipernatraemia. Mereka mungkin meningkatkan risiko hyperglycaemia. Mereka mungkin tidak meningkatkan risiko jangkitan superinfeksi. Mungkin terdapat sedikit atau tiada kesan kortikosteroid pada risiko pendarahan gastroduodenal, peristiwa neuropsychiatrik, strok, atau peristiwa jantung.

• Infusi berterusan berbanding dengan kortikosteroid bolus yang diberikan secara berselang seli .

Kami tidak pasti tentang kesan infusi kortikosteroid berterusan berbanding dengan pemberian bolus secara berselang-seli. Tiga kajian melaporkan data untuk perbandingan ini, dan kepastian bukti untuk semua hasil adalah sangat rendah.

Kepastian bukti

• Kortikosteroid berbanding plasebo/penjagaan biasa

Kami menilai kepastian bukti untuk kadar kematian 28 hari sebagai sederhana disebabkan oleh beberapa ketidak selarasan yang berkaitan dengan perbezaan di kalangan populasi pengajian, jenis kortikosteroid dan bagaimana mereka diberikan, dan penggunaan intervensi tambahan.

• Infusi berterusan berbanding pemberian kortikosteroid bolus secara berselang seli

Kami menilai kepastian bukti untuk kematian 28 hari yang sangat rendah disebabkan oleh tidak konsisten dan tidak tepat.

Nota terjemahan: 

Diterjemahkan oleh Lee Zcho Huey (RCSI & UCD Malaysia Campus). Disunting oleh Chan Mei Wai (RCSI & UCD Malaysia Campus) untuk sebarang pertanyaan berkaitan terjemahan ini, sila hubungi cochrane@rcsiucd.edu.my

Tools
Information
Share/Save