Apabila mencuba untuk mendapatkan bayi melalui konsepsi terbantu, adakah lebih baik untuk memindahkan embrio ke rahim pada hari ke-3 atau hari ke-5?

Latar belakang

Ramai wanita dan pasangan tidak mungkin hamil dan mempunyai bayi tanpa rawatan perubatan akibat ketidaksuburan. Doktor telah membangunkan pelbagai teknologi reproduktif terbantu (ART), seperti persenyawaan in vitro (IVF) yang melibatkan manipulasi telur dan sperma di luar badan wanita, bagi cubaan meningkatkan peluang untuk hamil.

Biasanya, dalam konsepsi terbantu, doktor mengumpulkan telur daripada seorang wanita dan mensenyawakan telur tersebut di dalam makmal, yang membentuk embrio. Embrio adalah peringkat awal perkembangan manusia. Doktor biasanya memindahkan satu atau beberapa embrio ke dalam rahim wanita (uterus) pada satu daripada dua peringkat perkembangan embrio: sama ada peringkat belahan, iaitu 2 atau 3 hari selepas pengumpulan telur apabila embrio biasanya terdiri daripada 2 dan 128 sel; atau peringkat blastosist, iaitu 5 atau 6 hari selepas pengumpulan telur apabila embrio terdiri daripada 70 dan 100 sel.

Sehingga kini, doktor biasanya memindahkan embrio pada peringkat awal iaitu peringkat belahan. Walau bagaimanapun, terdapat tren untuk memindahkan embrio pada peringkat kemudian iaitu peringkat blastosist. Para penyelidik percaya hanya embrio yang mampu bertahan sahaja berjaya mencapai peringkat blastosist; dalam erti kata lain, embrio yang berdaya maju akan memilih sendiri. Oleh itu, adalah dianggap pemindahan embrio pada peringkat kemudian boleh meningkatkan peluang wanita untuk hamil dan mendapat bayi yang sihat.

Soalan ulasan

Kami ingin tahu sama ada memindahkan embrio ke dalam rahim wanita pada peringkat belahan (hari 2 hingga 3) atau peringkat blastosist (hari 5 hingga 6) adalah lebih baik, dari segi:

– bilangan bayi yang dilahirkan hidup (kadar kelahiran hidup) selepas pemindahan embrio menggunakan hanya embrio 'segar'; iaitu embrio yang belum dibekukan dan kemudiannya dinyahsejuk-beku;

– jumlah keseluruhan kehamilan yang dicapai selepas pemindahan embrio menggunakan kedua-dua embrio 'segar' dan beku kemudian dinyahsejuk-beku, dikumpul daripada satu prosedur pengumpulan telur (kadar kehamilan klinikal kumulatif);

– kadar kehamilan berganda (apabila seorang wanita mengandung lebih daripada satu bayi pada satu masa);

- kadar keguguran (kehilangan kehamilan sebelum minggu ke-20 perkembangan dalam rahim).

Ciri-ciri kajian

Kami sertakan 32 kajian rawak terkawal (kajian di mana peserta ditempatkan secara rawak kepada 2 atau lebih kumpulan rawatan) melibatkan 5821 wanita atau pasangan. Bukti adalah terkini sehingga Oktober 2021.

Keputusan utama

– Memindahkan embrio 'segar' pada peringkat blastosist (hari ke-5 hingga ke-6) boleh memberi lebih banyak kelahiran hidup berbanding ketika embrio 'segar' dipindahkan pada peringkat belahan (hari ke-2 hingga ke-3). Ini menunjukkan jika 31% wanita mencapai kelahiran hidup selepas pemindahan embrio peringkat belahan 'segar', antara 32% dan 41% akan mencapainya selepas pemindahan peringkat blastosist 'segar'.

– Memindahkan embrio 'segar' pada peringkat blastosist mungkin memberi lebih banyak kehamilan klinikal - ditakrif sebagai aktiviti jantung janin terbukti pada imbasan ultrasound - berbanding apabila embrio 'segar' dipindahkan pada peringkat belahan. Ini menunjukkan jika 39% wanita mencapai kehamilan klinikal selepas pemindahan peringkat belahan 'segar', antara 42% dan 47% mungkin akan mencapainya selepas pemindahan peringkat blastosist 'segar'.

– Kami tidak pasti sama ada pemindahan peringkat blastosist memihak kepada kadar kehamilan klinikal kumulatif (iaitu kehamilan daripada kedua-dua kitaran segar dan dinyahsejuk-beku yang diperoleh daripada prosedur pengumpulan telur tunggal).

– Kami tidak pasti sama ada pemindahan peringkat blastosist meningkatkan kadar kehamilan berganda berbanding pemindahan peringkat belahan, apabila kami mempertimbangkan semua kajian yang melaporkan maklumat tentang perkara ini.

– Apabila kami pertimbangkan bukti hanya daripada kajian berkualiti tinggi dan kajian yang memindahkan bilangan embrio yang sama dalam kedua-dua peringkat embrio, kami dapati kadar kehamilan berganda mungkin lebih tinggi dalam kumpulan pemindahan peringkat blastosist.

– Kami tidak pasti sama ada pemindahan peringkat blastosist meningkatkan kadar keguguran berbanding pemindahan peringkat belahan.

Kajian masa depan harus melaporkan kadar kelahiran hidup, kelahiran hidup kumulatif, dan keguguran untuk membolehkan wanita, pasangan dan doktor mereka membuat keputusan termaklum tentang pilihan rawatan terbaik.

Kualiti bukti

Kami berkeyakinan rendah dan sederhana bagi kualiti bukti untuk semua hasil. Batasan utama adalah kegagalan beberapa kajian untuk menerangkan kaedah yang boleh terima untuk merawak wanita atau pasangan kepada kumpulan rawatan.

Nota terjemahan: 

Diterjemah oleh Patricia Ponniah (Klinik Pergigian Seremban). Disunting oleh Noorliza Mastura Ismail (Kolej Universiti Manipal Malaysia). Untuk sebarang pertanyaan berkaitan terjemahan ini, sila hubungi cochrane@rcsiucd.edu.my

Tools
Information