Perbandingan terapi ubat intravena tunggal dan gabungan untuk penghidap fibrosis sista yang dijangkiti Pseudomonas aeruginosa

Soalan ulasan

Kami mengulas bukti mengenai kesan-kesan yang berbeza menggunakan antibiotik intravena tunggal (diberikan terus ke dalam urat) berbanding menggunakan kombinasi antibiotik intravena untuk penghidap fibrosis sista yang dijangkiti Pseudomonas aeruginosa.

Latar belakang

Fibrosis sista ialah sejenis penyakit genetik yang memberi kesan terhadap kelenjar eksokrin (kelenjar peluh dan lain-lain). Penghidap fibrosis sista mempunyai risiko jangkitan paru-paru kronik yang lebih besar, yang kerap disebabkan oleh bakteria yang dikenali sebagai Pseudomonas aeruginosa. Mereka menerima antibiotik, sama ada ubat tunggal atau kombinasi ubat yang berlainan, yang diberikan ke dalam urat untuk merawat jangkitan ini. Kedua-duanya, iaitu pilihan antibiotik dan penggunaan terapi tunggal atau gabungan adalah berbeza-beza. Kami mencari kajian rawak terkawal yang membandingkan satu antibiotik intravena dengan kombinasi antibiotik tersebut dan satu lagi yang berlainan pada penghidap fibrosis sista. Ini adalah versi ulasan yang telah dikemaskini.

Tarikh carian

Bukti adalah terkini sehingga: 07 Oktober 2020.

Ciri-ciri kajian

Kami menyertakan lapan kajian dengan jumlah keseluruhan 356 orang. Enam di antaranya yang diterbitkan sebelum 1988, berpusat di satu tempat dan menggunakan pelbagai jenis ubat. Faktor-faktor ini menyukarkan penggabungan dan analisis hasil kajian.

Keputusan utama

Kami tidak menemui perbezaan antara kedua-dua terapi untuk fungsi paru-paru, hasil bakteriologi, kesan sampingan atau skor gejala. Kami berpendapat bahawa tiada bukti yang cukup untuk membandingkan terapi yang berbeza dengan baik. Lebih banyak penyelidikan diperlukan, terutamanya yang melihat pada kesan sampingan rawatan.

Kualiti bukti

Kami menilai yang kepastian bukti adalah sangat rendah atau rendah. Enam kajian yang disertakan adalah lama (diterbitkan antara tahun 1977 dan 1988). Mereka tidak menyertakan ramai peserta dan mempunyai kekurangan dari segi cara peserta dimasukkan dalam kumpulan rawatan yang berbeza. Secara keseluruhan, kualiti bukti adalah lemah.

Nota terjemahan: 

Diterjemahkan oleh Patricia Ponniah (Klinik Pergigian Seremban). Disunting oleh Shaun Lee (Monash University Malaysia). Untuk sebarang pertanyaan berkaitan terjemahan ini sila hubungi cochrane@rcsiucd.edu.my

Tools
Information