Sedutan kortikosteroid untuk fibrosis sista

Soalan ulasan

Pengulas mengulas bukti tentang kesan sedutan kortikosteroid dalam kalangan orang dengan fibrosis sista.

Latar belakang

Jangkitan dada berulang pada orang dengan fibrosis sista menyebabkan keradangan dan kerosakan pada paru-paru dan dalam jangka masa panjang merupakan sebab yang paling biasa untuk kematian. Sedutan kortikosteroid sering digunakan untuk merawat keradangan, tetapi boleh menyebabkan beberapa kesan sampingan. Sesetengah kesan sampingan ini kurang serius, contohnya, seriawan mulut, tetapi yang lain lebih serius, seperti kadar pertumbuhan yang menurun pada zaman kanak-kanak. Ini adalah kemaskini ulasan yang diterbitkan sebelum ini dan disebabkan kekurangan penyelidikan dalam bidang ini, pengulas tidak merancang sebarang kemaskini selanjutnya.

Tarikh carian

Carian terakhir untuk bukti adalah ada 19 November 2018.

Ciri-ciri kajian

Dalam ulasan yang dikemaskini, 13 kajian melaporkan penggunaan sedutan kortikosteroid pada 525 orang dengan fibrosis sista. Dalam kebanyakan kajian, peserta mengambil steroid atau plasebo (rawatan yang sama seperti steroid, tetapi tidak mempunyai sebarang ubat aktif) pada permulaan kajian, tetapi satu kajian adalah kajian sarak (171 peserta) iaitu semua orang telah mengambil steroid dan ketika separuh daripada mereka meneruskan, selebihnya mengambil plasebo, sebagai kesan penghentian rawatan. Peserta berusia antara 6 dan 55 tahun; tiga kajian adalah dalam kalangan kanak-kanak sahaja, empat dalam kalngan orang dewasa sahaja dan empat dalam kalangan umur bercampur; dua kajian tidak menyatakan umur orang yang mengambil bahagian. Fungsi paru-paru dan keterukan penyakit para peserta pelbagai merentasi seluruh kajian dan hanya dua kajian memberikan maklumat tentang mutasi genetik mereka. Semua kajian berlaku di Eropah. Dalam 10 kajian, semua yang mengambil bahagian kekal dalam kumpulan yang sama sehingga akhir kajian (sama ada kumpulan rawatan atau kumpulan yang tidak menerima rawatan atau plasebo), tetapi dalam tiga kajian mereka bertukar kumpulan di separuh jalan kajian. Kajian-kajian tersebut berlangsung di antara tiga minggu dan dua tahun.

Keputusan utama

Kajian klinikal tidak dapat membuktikan bahawa kortikosteroid yang disedut mengurangkan keradangan pada paru-paru orang dengan fibrosis sista. Pengulas mendapati tiada perbezaan dalam pengukuran fungsi paru-paru, toleransi senaman, tindak balas saluran pernafasan kepada kerengsaan atau bilangan eksaserbasi (simptom yang memberang). Secara amnya, tidak jelas jika sedutan kortikosteroid meningkatkan risiko kesan buruk, tetapi satu kajian telah menunjukkan bahawa ubat ini boleh melambatkan pertumbuhan kanak-kanak apabila digunakan dalam dos yang tinggi. Tambahan pula, hasil daripada kajian sarak menunjukkan bahawa di bawah pengawasan ketat pasukan fibrosis sista, ia mungkin selamat bagi orang yang telah mengambil sedutan kortikosteroid untuk beberapa waktu untuk berhenti berbuat demikian.

Kualiti bukti

Pengulas merasakan kualiti bukti adalah rendah hingga sangat rendah. Kekurangan maklumat bererti kita sering tidak dapat menilai sama ada cara kajian yang direka atau dijalankan boleh menjejaskan keyakinan kita terhadap keputusan. Hanya tiga kajian yang memberikan butiran tentang cara mereka memastikan orang mengambil bahagian mempunyai peluang yang sama untuk berada dalam kumpulan rawatan atau plasebo; dan hanya lima kajian menerangkan cara mereka memastikan orang yang merekrut peserta tidak tahu kumpulan mana yang mereka akan diletakkan. Dalam kebanyakan kes, pengulas tidak merasakan bahawa sebaik sahaja kajian bermula orang yang mengambil bahagian atau doktor mereka tahu sama ada mereka mendapat steroid atau plasebo. Walau bagaimanapun, pengulas mempunyai beberapa kebimbangan bahawa empat kajian itu tidak diterbitkan dalam jurnal, yang akaneharusnya menghantar laporan kepada pakar untuk memeriksa ketepatan dan pengulas tidak pasti ini mungkin menjejaskan keyakinan mereka terhadap keputusan.

Nota terjemahan: 

Diterjemahkan oleh Wong Chun Hoong (Klinik Kesihatan Bandar Tun Hussein Onn). Disunting oleh Ahmad Filza Ismai (afilza@usm,my). Untuk sebarang pertanyaan berkaitan terjemahan ini sila hubungi cochrane@rcsiucd.edu.my

Tools
Information