Podcast : Pemindahan tunai tanpa syarat untuk mengurangkan kemiskinan dan kerentanan

Kebanyakan ulasan Cochrane mengkaji kesan intervensi penjagaan kesihatan, tetapi ada yang melihat aspek yang lain daripada sistem penjagaan kesihatan, seperti cara untuk membantu orang mengakses perkhidmatan kesihatan. Dalam ulasan terbaru pada November 2017, satu pasukan penyelidik universiti dari Kanada, Jerman, India, New Zealand dan Amerika Syarikat memeriksa peranan yang mungkin untuk pemindahan tunai tanpa syarat. Salah satu pasukan, Sze Yan Liu dari Weill Medical College di Cornell University di Amerika Syarikat, memberitahu kami apa yang mereka dapati dalam fail media digital ini.

- Baca transkrip

Selamat sejahtera, saya Wong Chun Hoong dari International Medical University, menterjemahkan dan merakamkan fail media digital ini. Disunting oleh Norhayati Mohd Noor dari Universiti Sains Malaysia.
Kebanyakan ulasan Cochrane mengkaji kesan intervensi penjagaan kesihatan, tetapi ada yang melihat aspek yang lain daripada sistem penjagaan kesihatan, seperti cara untuk membantu orang mengakses perkhidmatan kesihatan. Dalam ulasan terbaru pada November 2017, satu pasukan penyelidik universiti dari Kanada, Jerman, India, New Zealand dan Amerika Syarikat memeriksa peranan yang mungkin untuk pemindahan tunai tanpa syarat. Salah satu pasukan, Sze Yan Liu dari Weill Medical College di Cornell University di Amerika Syarikat, memberitahu kami apa yang mereka dapati dalam fail media digital ini.

Pemindahan tunai tanpa syarat adalah bayaran tunai yang diberikan kepada mereka yang kurang bernasib baik dari segi kewangan dan tidak mengenakan sebarang bayaran balik. Kerajaan di negara berpendapatan rendah dan sederhana semakin menggunakan pemindahan wang ini untuk mengurangkan kemiskinan atau kelemahan lain. Pada tahun 2011, antara 800 juta dan 1 bilion orang di negara tersebut menerima beberapa bentuk pemindahan wang tunai.
Pembuat dasar menyatakan bahawa intervensi yang menjana pendapatan ini dapat digunakan untuk meningkatkan kesihatan penduduk yang kurang berkemampuan, sekiranya berkesan untuk tujuan ini. Oleh itu, kami membuat ulasan Cochrane untuk melihat sama ada ia berkesan dan mendapati beberapa keputusan yang menjanji.
Penyelidik berhasrat untuk menilai - untuk kali pertama - kesan-kesan pemindahan tunai tanpa syarat ke atas penggunaan perkhidmatan kesihatan, hasil kesihatan, faktor penyumbang sosial kesihatan dan penjagaan kesihatan dalam kalangan kanak-kanak dan orang dewasa di negara berpendapatan rendah dan sederhana.
Penyelidik membandingkan hasil antara mereka yang menerima pemindahan tunai berbanding mereka yang tidak menerimanya. Penyelidik menjumpai dua puluh satu kajian yang melibatkan lebih daripada satu juta peserta yang tinggal di Afrika, Amerika, dan Asia Tenggara. Kajian-kajian ini membabitkan 17 program pemindahan tunai yang berbeza, dan hampir semua adalah kajian rawak kluster. Malangnya, kebanyakan kajian mempunyai risiko berat sebelah yang tinggi.
Penyelidik menggabungkan 11 kajian dalam meta-analisis kuantitatif. Bukti ini menunjukkan bahawa pemindahan tunai tanpa syarat mungkin tidak memberi kesan kepada penggunaan perkhidmatan kesihatan. Walau bagaimanapun, mereka mungkin meningkatkan beberapa hasil kesihatan. Sebagai contoh, pemindahan tunai tanpa syarat mungkin mengurangkan kemungkinan mengalami sebarang penyakit dalam dua hingga dua belas minggu terakhir dengan anggaran 27%. Ini adalah pengurangan yang besar dan bermakna secara klinikal.
Terdapat beberapa bukti, walaupun berkualiti rendah, pemindahan tunai tanpa syarat juga boleh meningkatkan keselamatan makanan dan kepelbagaian makanan. Kami juga mendapati bahawa mereka mungkin meningkatkan satu faktor penyumbang sosial kesihatan, iaitu peningkatan kehadiran sekolah; dan meningkatkan jumlah wang yang penerima belanjakan untuk penjagaan kesihatan.
Sebagai kesimpulan, walaupun pemindahan tunai tanpa syarat mungkin tidak memberi kesan kepada penggunaan perkhidmatan kesihatan, mereka mungkin meningkatkan beberapa hasil kesihatan, kehadiran sekolah, dan perbelanjaan penjagaan kesihatan.

Jika anda ingin melihat lebih terperinci mengenai kesan-kesan program pemindahan tunai tanpa syarat ini dan kandungan program itu sendiri, anda boleh mencari ulasan penuh dalam talian di Perpustakaan Cochrane. Cuma layari ke Perpustakaan Cochrane dot com dan cari 'pemindahan tunai tanpa syarat'.

Tutup transkrip