Langkau ke kandungan utama

Adakah rawatan pencegahan awal dengan agen antivirus membantu mengurangkan risiko penyakit Cytomegalovirus dalam kalangan penerima pemindahan organ?

Mesej utama

• Cytomegalovirus (CMV, virus herpes yang berkaitan dengan cacar air) adalah virus biasa, dengan majoriti orang terdedah sebelum meningkat dewasa. CMV merupakan penyebab utama penyakit dan kematian dalam tahun pertama selepas pemindahan. Strategi pencegahan termasuk 1) memberikan dos rendah agen antivirus setiap hari kepada semua penerima pemindahan organ (profilaksis) atau 2) membekalkan agen antivirus apabila penerima pemindahan organ menunjukkan bukti jangkitan yang disahkan oleh makmal (rawatan pencegahan awal).

• Berbanding plasebo atau penjagaan standard, rawatan pencegahan awal mungkin mengurangkan risiko penyakit CMV. Walau bagaimanapun, kami kurang yakin dengan hasil yang lain seperti kematian, organ-organ lain yang dijangkiti oleh CMV, simptom CMV, penolakan akut (sistem imun badan menyerang organ yang dipindahkan), kehilangan organ yang dipindahkan, jangkitan-jangkitan lain, atau sel darah putih rendah.

• Berbanding profilaksis antivirus, rawatan pencegahan awal mungkin mengurangkan risiko sel darah putih rendah dan berkemungkinan memberi sedikit atau tiada perbezaan terhadap risiko kematian. Namun, kami kurang yakin bahawa rawatan pencegahan awal boleh meningkatkan risiko jangkitan CMV atau berkemungkinan memberi sedikit atau tiada perbezaan terhadap risiko penolakan akut, kegagalan cantuman, atau jangkitan selain daripada CMV.

Apakah cytomegalovirus?
Cytomegalovirus (CMV, virus herpes yang berkaitan dengan cacar air) adalah virus biasa, dengan majoriti orang terdedah sebelum meningkat dewasa. Apabila seseorang telah dijangkiti, virus tersebut tetap hidup tetapi biasanya berada dalam keadaan tidak aktif (dorman) di dalam tubuh orang itu sepanjang hayat. Ia biasanya tidak mengakibatkan masalah; namun, bagi mereka yang mempunyai sistem imun (mekanisme badan untuk melawan apa-apa benda asing) yang tidak berfungsi dengan baik, virus tersebut boleh kembali aktif. Mereka yang telah menerima pemindahan buah pinggang, jantung, hati, paru-paru atau pankreas (pemindahan organ pepejal) perlu mengambil ubat-ubatan yang kuat untuk mengelakkan tubuh mereka daripada cuba melawan (atau menolak) pemindahan organ baharu ini. Ubat-ubatan ini melemahkan sistem imun, dan virus boleh kembali menjadi aktif dan boleh menjejaskan pemindahan organ baharu tersebut. CMV merupakan penyebab utama penyakit dan kematian dalam tahun pertama selepas pemindahan.

Adalah penting untuk membezakan antara jangkitan CMV dan penyakit CMV: tidak semua pesakit dengan jangkitan CMV akan mengalami penyakit klinikal dengan simptom. Dua strategi utama untuk mencegah penyakit CMV telah diguna pakai: 1) memberikan dos rendah agen antivirus setiap hari kepada semua penerima pemindahan organ (profilaksis), atau 2) membekalkan agen antivirus apabila penerima pemindahan organ menunjukkan bukti jangkitan yang disahkan oleh makmal (rawatan awal).

Apakah yang ingin kami ketahui?

Kami ingin mengetahui sama ada rawatan pencegahan awal yang disasarkan kepada penerima pemindahan organ yang berisiko untuk menghidap penyakit CMV, berbanding pemberian profilaksis universal yang turut merangkumi individu yang tidak berkemungkinan menghidap penyakit CMV, dapat mencegah perkembangan penyakit CMV, kematian, dan kejadian kesan sampingan.

Apakah yang telah kami lakukan?
Kami telah mencari semua kajian yang menilai manfaat dan bahaya rawatan awal dengan agen antivirus dalam mencegah penyakit CMV dalam kalangan penerima pemindahan organ pepejal. Kami membanding dan merumuskan keputusan kajian dan menilai keyakinan kami terhadap maklumat tersebut berdasarkan faktor-faktor seperti kaedah dan saiz kajian.

Apakah yang telah kami temui?
Kami mendapati 22 kajian yang melibatkan 1883 orang (orang dewasa dan kanak-kanak) yang telah menerima pemindahan buah pinggang, hati, jantung, paru-paru, atau ginjal-pankreas. Kajian-kajian dijalankan di Australia, Brazil, Republik Czech, Jerman, Itali, Jepun, Norway, Sepanyol, Korea Selatan, dan Amerika Syarikat. Bilangan mereka yang terlibat adalah antara 12 hingga 296. Kajian membandingkan rawatan pencegahan awal dengan plasebo atau penjagaan standard (7 kajian), rawatan awal berbanding profilaksis antiviral (12), rawatan awal oral berbanding rawatan ganciclovir intravena (1), pencegahan menggunakan valganciclovir berbanding ganciclovir (1), dan dua strategi dos awal letermovir yang berbeza (1).

Berbanding plasebo atau penjagaan standard, rawatan awal mungkin mengurangkan risiko penyakit CMV tetapi berkemungkinan memberi sedikit atau tiada perbezaan kepada kematian, organ yang lain terjejas oleh CMV, simptom CMV, penolakan akut (sistem imun badan menyerang organ yang dipindahkan), kehilangan organ yang dipindahkan, jangkitan lain atau sel darah putih rendah.

Berbanding profilaksis antivirus, rawatan pencegahan awal berkemungkinan memberi sedikit atau tiada perbezaan terhadap risiko menghidapi penyakit CMV dan kemungkinan sedikit atau tidak ada perbezaan terhadap risiko kematian. Jangkitan CMV boleh meningkat dengan rawatan pencegahan awal, sementara penurunan risiko sel darah putih mungkin berkurangan. Mungkin terdapat sedikit atau tiada perbezaan dalam risiko penolakan secara tiba-tiba (akut), kegagalan cantuman, dan jangkitan selain daripada CMV.

Apakah batasan bukti?
Kami agak yakin bahawa, berbanding plasebo atau penjagaan standard, rawatan pencegahan awal dapat mengurangkan risiko penyakit CMV; namun, kami kurang yakin dengan dapatan daripada hasil-hasil yang lain.

Kami agak yakin bahawa, berbanding profilaksis antivirus, rawatan pencegahan awal mungkin mengurangkan risiko sel darah putih rendah; namun, kami tidak pasti rawatan pencegahan awal boleh meningkatkan risiko jangkitan CMV.

Sejauh manakah bukti ini terkini?

Bukti adalah terkini sehingga 17 Disember 2024.

Nota terjemahan

Sila hubungi cochrane@rumc.edu.my untuk sebarang pertanyaan berkaitan terjemahan ini. Diterjemah oleh Nadiatul Azra Ahmad Mazlan (IMU University). Disunting oleh Kamisah Ariffin (Universiti Teknologi MARA).

Petikan
Vernooij RWM, Michael M, Colombijn JMT, Owers DS, Webster AC, Strippoli GFM, Hodson EM. Pre-emptive treatment for cytomegalovirus viraemia to prevent cytomegalovirus disease in solid organ transplant recipients. Cochrane Database of Systematic Reviews 2025, Issue 1. Art. No.: CD005133. DOI: 10.1002/14651858.CD005133.pub4.