Langkau ke kandungan utama

Apakah manfaat dan risiko pelbagai jenis pembedahan untuk orang dengan presbiopia?

Mesej utama

  • Berdasarkan bukti semasa, manfaat dan risiko relatif pelbagai jenis perbezaan pembedahan untuk merawat orang dengan presbiopia (kesukaran dalam membaca atau melihat secara dekat) adalah kurang jelas pada tiga hingga enam bulan selepas rawatan. Tiada maklumat tentang kesan di luar enam bulan selepas rawatan.

  • Tiada kajian yang telah melihat kepada keseimbangan kos dan sejauh mana rawatan berbeza berfungsi.

  • Kajian jangka depan yang direka dengan baik diperlukan untuk mengukur manfaat jangka panjang dan risiko pelbagai jenis pembedahan yang berbeza untuk meningkatkan penglihatan dalam orang dengan presbiopia. Mereka juga harus menilai impak terhadap kesejahteraan, keupayaan untuk membezakan antara perbezaan kecil dalam cahaya dan gelap (sensitiviti kontras), dan gangguan visual.

Apakah presbiopia?

Presbiopia merujuk kepada ketidakupayaan mata untuk memfokus kepada jarak berbeza, yang berlaku dengan penuaan. Orang dengan presbiopia secara beransur-ansur kehilangan keupayaan untuk melihat dengan jelas pada jarak dekat (merapatkan, seperti membaca) atau pada jarak sederhana (seperti menggunakan satu komputer). Keadaan ini akhirnya menjejaskan semua orang dan mungkin memberikan impak signifikan kepada kesejahteraan, tanpa mengira celik huruf atau profesion mereka.

Bagaimanakah presbiopia dirawat?

Pembetulan optik untuk presbiopia termasuk penggunaan cermin mata atau kanta lekap untuk meningkatkan penglihatan pada jarak dekat dan sederhana. Walau bagaimanapun, pendekatan sebegini mempunyai batasan dan mungkin tidak sesuai untuk semua orang. Kelemahan tersebut, ditambah kepada peningkatan keperluan penglihatan untuk tugasan pada jarak dekat dan sederhana, telah membawa kepada pembangunan beberapa pilihan pembedahan untuk pembetulan presbiopia. Kebanyakan jenis pembedahan yang sedia ada mengubah bentuk kornea (lapisan luar jernih yang menutupi bahagian depan mata) atau menggantikan kanta intraokular semula jadi dengan kanta tiruan, dikenali sebagai kanta intraokular (IOL).

Apakah yang ingin kita ketahui?

Kami ingin melihat sama ada terdapat perbezaan terhadap keberkesanan dan keselamatan antara pilihan pembedahan yang sedia ada untuk membetulkan penglihatan pada jarak dekat (seperti pada 40 cm daripada mata) dan jarak sederhana (seperti pada 63 sehingga 80 cm daripada mata), dan sama ada satu atau rawatan lain yang membawa kepada kesejahteraan yang lebih baik untuk orang dengan presbiopia. Kami juga ingin meringkaskan perbandingan kos yang relevan tentang pilihan pelbagai pembedahan untuk merawat presbiopia.

Apa yang kami lakukan?

Kami telah mencari kajian yang membandingkan pilihan pembedahan untuk orang dengan presbiopia. Kami telah merumuskan keputusan yang dilaporkan oleh kajian dan menilai keyakinan kami terhadap bukti, berdasarkan faktor seperti kaedah kajian dan bilangan orang yang dirawat.

Apa yang telah kami temui?

Kami menemui empat kajian yang relevan. Kajian telah dijalankan di Croatia, Mesir, dan Turki, dan telah merawat 300 orang (600 mata) dengan presbiopia tanpa katarak atau masalah yang lain. Tiada kajian yang telah menyertakan orang dengan pembedahan kornea atau intraokular sebelumnya. Dua kajian telah berlangsung selama tiga bulan dan dua telah berlangsung selama enam bulan. Satu kajian telah melaporkan bahawa ia tidak menerima biayaan dan tidak mempunyai konflik kepentingan kewangan; yang lain tidak memberikan maklumat ini. Tiada kajian yang menaksir aspek kos rawatan pembedahan untuk presbiopia.

Dua kajian telah membandingkan implantasi dua IOL berbeza; satu telah membandingkan implantasi IOL berbanding dengan pembedahan refraktif kornea (iaitu teknik pembedahan yang menggunakan laser untuk mengubahsuai kornea); dan satu lagi telah membandingkan pengubahsuaian berbanding dengan pembedahan refraktif kornea konvensional.

Keputusan utama

Kami tidak dapat menggabungkan keputusan empat kajian disebabkan oleh setiap kajian yang menggunakan rawatan berbeza dan melaporkan kesan pada masa berbeza selepas pembedahan.

Dalam satu kajian, orang yang telah dirawat untuk pembedahan refraktif kornea berkemungkinan kecil masih memerlukan cermin mata untuk jarak sederhana selepas enam bulan selepas pembedahan berbanding dengan mereka yang menjalani implantasi IOL. Walau bagaimanapun, orang yang telah mempunyai pembedahan refraktif kornea juga adalah lebih muda, jadi dijangkakan mempunyai presbiopia yang kurang teruk, dan oleh itu penglihatan sederhana yang lebih baik.

Kebanyakan kajian tidak melaporkan impak terhadap kesejahteraan, sensitiviti kontras, atau gangguan visual, kami kurang pasti tentang cara berbeza untuk jenis pembedahan yang menjejaskan perkara tersebut. Tiada maklumat tentang orang dengan presbiopia pseudophakic (orang dengan kanta semula jadi yang telah digantikan dengan kanta tiruan yang membetulkan penglihatan jauh tetapi bukan penglihatan dekat, di mana dikenali sebagai IOL monofokal) atau mereka yang telah menjalani pembedahan refraktif kornea sebelumnya. Penemuan ulasan ini telah menyerlahkan keperluan untuk mendapatkan lebih banyak kajian dalam bidang ini berbanding dengan pilihan pembedahan semasa dan perbandingan keputusan dalam tempoh susulan yang lebih panjang.

Apakah batasan bukti?

Kami mempunyai keyakinan yang sedikit terhadap bukti disebabkan oleh kurang jelas bagaimana kajian telah dikendalikan dan disebabkan kami hanya menemui satu kajian yang relevan untuk setiap perbandingan pilihan pembedahan.

Sejauh manakah bukti ini terkini?

Bukti ini terkini sehingga 29 Februari 2024.

Nota terjemahan

Sila hubungi cochrane@rumc.edu.my untuk sebarang pertanyaan berkaitan terjemahan ini. Diterjemahkan oleh Kuan Pei Xuan (Institute for Clinical Research). Disunting oleh Shaun Lee (Monash University Malaysia).

Petikan
Alvarado-Villacorta R, Yim TW, Hernandez-Quintela E, De La Torre-Gonzalez E, Loza Munarriz CA, Martinez-Zapata MJ. Surgical interventions for presbyopia. Cochrane Database of Systematic Reviews 2025, Issue 4. Art. No.: CD015711. DOI: 10.1002/14651858.CD015711.pub2.