Langkau ke kandungan utama

Apakah manfaat dan risiko model-model alternatif dalam penyampaian penjagaan bagi individu dengan sakit belakang rendah?

Mesej Utama

- Berbanding dengan penjagaan biasa, model penjagaan alternatif mungkin tidak meningkatkan kualiti penjagaan secara ketara bagi individu dengan sakit belakang rendah dari segi rujukan atau penggunaan sebarang pengimejan tulang belakang lumbar dan preskripsi atau penggunaan opioid.

- Model penjagaan alternatif tidak memberikan perbezaan yang ketara dalam tahap kesakitan atau fungsi berkaitan belakang.

- Kami kurang pasti tentang kesan terhadap pembedahan tulang belakang lumbar, kemasukan ke hospital dan jumlah kejadian buruk (tidak diingini atau memudaratkan).

Apakah sakit belakang rendah tidak spesifik, dan bagaimana ia dirawat?

Sakit belakang bawah (terletak di antara bahagian bawah rusuk dan bahagian atas punggung) adalah masalah kesihatan yang biasa dan boleh menyebabkan ketidakupayaan. Dalam kebanyakan orang, tidak mungkin untuk mengenal pasti punca spesifik masalah tersebut.

Banyak rawatan yang diberikan kepada individu dengan sakit belakang bawah tidak sepenuhnya mengikuti garis panduan berasaskan bukti. ​Apabila ini berlaku, pesakit mungkin tidak mendapat manfaat, dan sumber penjagaan kesihatan dibazirkan. Model penjagaan alternatif memberikan rawatan yang sama tetapi mengubah cara ia disampaikan atau diselaraskan dengan harapan meningkatkan pematuhan kepada garis panduan berasaskan bukti dan hasil kesihatan pesakit. Contoh termasuk teleperubatan berbanding penjagaan secara bersemuka atau penjagaan yang diberikan kepada kumpulan berbanding pesakit individu.

Apa yang kami ingin tahu?

Kami ingin mengetahui sama ada memberikan rawatan yang sama tetapi dengan cara yang berbeza dapat meningkatkan kualiti penjagaan dan hasil kesihatan pesakit dengan sakit belakang bawah tidak spesifik.

Apakah yang kami lakukan?

Kami menjalankan carian untuk kajian yang menyelidiki model penjagaan alternatif berbanding penjagaan biasa dalam kalangan individu dengan sakit belakang bawah tidak spesifik. Kami membandingkan dan meringkaskan keputusan dan menilai keyakinan kami terhadap bukti, berdasarkan faktor seperti kaedah dan saiz kajian.

Apakah yang kami temui?

Kami menyertakan 57 kajian (29,578 orang). Kebanyakan kajian dijalankan dalam penjagaan primer, sama ada dalam amalan umum atau fisioterapi, di negara berpendapatan tinggi.

Keputusan utama

Berbanding dengan penjagaan biasa, 19 orang kurang daripada 1000 telah dirujuk atau menerima pengimejan tulang belakang lumbar (contohnya, sinar-X, tomografi berkomputer (CT), pengimejan resonans magnetik (MRI)) dengan model penjagaan alternatif.

- 213 daripada 1000 orang telah dirujuk atau menerima pengimejan tulang belakang lumbar dengan model penjagaan alternatif.

- 232 daripada 1000 orang telah dirujuk atau menerima pengimejan tulang belakang lumbar dengan penjagaan biasa.

Berbanding dengan penjagaan biasa, 17 orang kurang daripada 1000 yang diberi preskripsi atau menggunakan ubat opioid (contohnya, morfin, kodin) dengan model penjagaan alternatif.

- 332 daripada 1000 orang telah diberi preskripsi atau menggunakan ubat opioid dengan model penjagaan alternatif.

- 349 daripada 1000 orang telah diberi preskripsi atau menggunakan ubat opioid dengan penjagaan biasa.

Berbanding dengan penjagaan biasa, 2 orang lebih daripada 1000 telah dirujuk atau menjalani pembedahan tulang belakang lumbar dengan model penjagaan alternatif.

- 76 daripada 1000 orang yang menerima model penjagaan alternatif telah dirujuk kepada pakar bedah atau menjalani pembedahan tulang belakang lumbar.

- 74 daripada 1000 orang yang menerima penjagaan biasa telah dirujuk kepada pakar bedah atau menjalani pembedahan tulang belakang lumbar.

Berbanding dengan penjagaan biasa, 23 orang kurang daripada 1000 telah dimasukkan ke hospital dengan model penjagaan alternatif.

- 176 daripada 1000 orang yang menerima model penjagaan alternatif telah dimasukkan ke hospital.

- 199 daripada 1000 orang yang menerima penjagaan biasa telah dimasukkan ke hospital.

Kesakitan diukur pada skala 0 hingga 10 mata (di mana skor yang lebih rendah bermakna kurang sakit), dan adalah 0.24 mata lebih baik dengan model penjagaan alternatif.

- Orang yang menerima model penjagaan alternatif menilai kesakitan mereka pada 2.2 mata.

- Orang yang menerima penjagaan biasa menilai kesakitan mereka pada 2.4 mata.

Fungsi berkaitan belakang diukur pada skala 0 hingga 24 mata (di mana skor yang lebih rendah bermakna kurang ketidakupayaan), dan adalah 0.7 mata lebih baik dengan model penjagaan alternatif berbanding dengan penjagaan biasa.

- Orang yang menerima model penjagaan alternatif menilai fungsi berkaitan belakang mereka pada 5.7 mata.

- Orang yang menerima penjagaan biasa menilai fungsi berkaitan belakang mereka pada 6.4 mata.

Berbanding dengan penjagaan biasa, 10 orang kurang daripada 1000 melaporkan kejadian buruk dengan model penjagaan alternatif.

- 45 daripada 1000 orang yang menerima model penjagaan alternatif melaporkan kejadian buruk.

- 55 daripada 1000 orang yang menerima penjagaan biasa melaporkan kejadian buruk.

Apakah batasan bukti?

Berbanding dengan penjagaan biasa, kami yakin bahawa model penjagaan alternatif:​

- tidak memberikan perbezaan penting terhadap tahap kesakitan;

- tidak memberikan perbezaan penting terhadap fungsi berkaitan belakang.

Berbanding dengan penjagaan biasa, kami cukup yakin bahawa model penjagaan alternatif:

- tidak memberikan perbezaan penting terhadap kemungkinan dirujuk untuk atau menerima pengimejan tulang belakang lumbar;

- tidak memberikan perbezaan terhadap kemungkinan preskripsi atau penggunaan ubat opioid.

Berbanding dengan penjagaan biasa, kami kurang yakin mengenai kesan model penjagaan alternatif:

- mengubah kemungkinan dirujuk kepada pakar bedah atau menjalani pembedahan tulang belakang lumbar;

- mengubah kemungkinan dimasukkan ke hospital untuk sakit belakang rendah;

- mengubah kemungkinan mengalami kejadian buruk.

Sejauh manakah bukti ini terkini?

Bukti adalah terkini sehingga Jun 2024.

Nota terjemahan

Sila hubungi cochrane@rumc.edu.my untuk sebarang pertanyaan berkaitan terjemahan ini. Diterjemah oleh Kavessh Vandaiyar (RSCI & UCD Malaysia Campus). Disunting oleh Khaw Loke Tim (IMU University).

Petikan
Docking S, Sridhar S, Haas R, Mao K, Ramsay H, Buchbinder R, O'Connor D. Models of care for managing non-specific low back pain. Cochrane Database of Systematic Reviews 2025, Issue 3. Art. No.: CD015083. DOI: 10.1002/14651858.CD015083.pub2.

Penggunaan cookie kami

Kami menggunakan cookie yang diperlukan untuk menjadikan laman web kami berfungsi. Kami juga ingin menetapkan cookie analitik pilihan untuk membantu kami memperbaikinya. Kami tidak akan menetapkan cookie pilihan melainkan anda mengaktifkannya. Menggunakan alat ini akan menetapkan cookie pada peranti anda untuk mengingati pilihan anda. Anda boleh menukar pilihan cookie anda pada bila-bila masa dengan menekan pautan 'Tetapan cookie' di bahagian bawah setiap halaman.
Untuk maklumat lebih terperinci mengenai cookie yang kami gunakan, lihat halaman halaman cookie.

Terima semua
Konfigurasikan