Mesej utama
• Wanita yang menjalani pembedahan untuk prolaps organ pelvis boleh ditawarkan pelbagai rawatan yang bertujuan untuk mengurangkan komplikasi pembedahan, memperbaiki hasil, atau kedua-duanya.
• Secara amnya, terdapat bukti terhad untuk mengesyorkan sebarang rawatan.
• Walau bagaimanapun, risiko wanita untuk mendapat jangkitan saluran kencing 3 hingga 8 kali lebih besar jika mereka mempunyai kateter (untuk mengalirkan kencing) selama lebih daripada 24 jam selepas pembedahan.
Apakah prolaps organ pelvis?
Prolaps organ pelvis (POP) berlaku apabila satu atau lebih organ pelvis (faraj, rahim, usus kecil, pundi kencing, rektum) membonjol atau menonjol ke dalam faraj. Struktur sokongan yang menggantung organ pelvis boleh menjadi lemah, yang membawa kepada POP. Ini biasanya disebabkan oleh bersalin faraj, penuaan dan obesiti. POP boleh mengakibatkan pelbagai isu untuk wanita, termasuk kebocoran kencing atau najis, gejala tekanan dan seks yang menyakitkan, yang mengurangkan kualiti hidup secara serius.
Apabila menjalani pembedahan untuk POP, apakah rawatan tambahan yang tersedia?
Pembedahan adalah satu cara untuk menguruskan POP. Pembedahan bertujuan untuk memulihkan anatomi normal dengan menggantung organ dalam kedudukan biasa. Pembedahan POP boleh menawarkan hasil yang mengubah hidup untuk wanita. Tetapi pakar ada pendapatan berbeza tentang kegunaan dan potensi bahaya pelbagai rawatan yang dijalankan sebelum, semasa atau selepas pembedahan prolaps. Rawatan ini bertujuan untuk mengurangkan kadar kemungkinan komplikasi atau memperbaiki hasil pembedahan pembaikan prolaps.
Apa yang kami ingin tahu?
Komplikasi boleh berlaku semasa pembedahan (contohnya, kerosakan pada usus) dan selepas (contohnya, jangkitan saluran kencing (UTI)). Kami ingin menentukan sama ada rawatan sebelum, semasa atau selepas pembedahan POP boleh mengurangkan komplikasi ini.
Pembedahan POP secara ideal membaiki prolaps dan memperbaiki gejala. Kami juga ingin menentukan rawatan mana yang terbaik dapat membantu mencapai matlamat ini.
Apakah yang kami lakukan?
Kami telah mencari kajian yang membandingkan pembedahan prolaps dengan dan tanpa rawatan yang dijalankan sebelum, semasa atau selepas pembedahan, untuk wanita berumur 18 tahun ke atas. Kami telah membanding dan merumuskan keputusan kajian tersebut dan menilai keyakinan kami dalam bukti, berdasarkan faktor-faktor tertentu seperti kaedah dan saiz kajian.
Apakah yang kami temui?
Kami menemui 49 kajian yang melibatkan 5657 wanita, dengan kajian dijalankan di 16 negara. Mereka menilai 19 jenis rawatan berbeza , yang kami kumpulkan kepada 12 perbandingan utama untuk analisis. Kajian tidak mengukur banyak hasil yang kami ingin tahu. Secara keseluruhannya, terdapat bukti terhad untuk mengesyorkan sebarang rawatan.
Latihan otot lantai panggul (PFMT)
PFMT bertujuan untuk menguatkan otot lantai pelvis dan meningkatkan sokongan yang disediakan untuk mana-mana organ yang menurun. Terdapat sedikit atau tiada perbezaan antara wanita yang melakukan PMFT sebelum pembedahan dan mereka yang tidak menyedari prolaps mereka: jika 20% wanita menyedari prolaps mereka selepas pembedahan tanpa PFMT, 13% hingga 31% boleh menyedarinya selepas pembedahan dengan PFMT. Begitu juga, boleh terdapat sedikit atau tiada perbezaan dalam keperluan untuk pembedahan berulang, kemungkinan prolaps berulang, dan kualiti hidup wanita yang dilaporkan sendiri dengan atau tanpa PFMT.
Kateter in-dwelling
Selepas pembedahan untuk POP, wanita dipasang sementara dengan kateter in-dwelling: tiub lembut dan fleksibel diletakkan ke dalam pundi kencing untuk mengalirkan kencing. Dua kajian membandingkan kesan mengeluarkan kateter pada 24 jam berbanding kemudian (1 kajian pada 48 jam selepas pembedahan; 1 kajian pada 4 hari selepas itu). Wanita yang menggunakan kateter lebih lama daripada 24 jam boleh mempunyai peningkatan besar risiko mengalami UTI: jika 4% wanita mendapat UTI dengan pengeluaran kateter pada 24 jam selepas pembedahan, 12% hingga 47% boleh mendapat UTI apabila kateter dikeluarkan lebih daripada 24 jam selepas pembedahan. Begitu juga, mempunyai kateter lebih daripada 24 jam mungkin meningkatkan tempoh penginapan hospital dan boleh mengakibat peningkatan yang besar dalam jumlah hari dengan kateter. Tiada kajian mengukur hasil utama kami.
Perbandingan rawatan lain
Baki 35 kajian membandingkan kesan pembedahan prolaps dengan atau tanpa julat rawatan, termasuk:
• penyediaan usus (mengosongkan usus pesakit sebelum pembedahan);
• ubat penahan sakit jangka pendek berbanding jangka panjang;
• vasoconstrictors (ubat yang menyempitkan saluran darah di tempat operasi);
• rawatan antiseptik faraj;
• suplemen kranberi (untuk pencegahan UTI);
• estrogen faraj (digunakan untuk mengoptimumkan kesihatan faraj sebelum pembedahan).
Secara umum, kajian menemui sedikit atau tiada perbezaan dalam hasil antara kedua-dua kumpulan untuk semua rawatan ini.
Batasan bukti
Terdapat bukti kukuh terhad untuk rawatan POP sebelum, semasa atau selepas pembedahan kerana kebanyakan wanita, serta para penyelidik dan doktor, tahu rawatan yang sedang diberikan. Ini mungkin telah menjejaskan cara keputusan dilaporkan atau diukur. Selain itu, banyak kajian tidak mengukur hasil yang kami minati.
Sejauh manakah bukti ini terkini?
Ulasan ini mengemaskini ulasan kami sebelum ini. Bukti adalah terkini sehingga April 2024.
Sila hubungi cochrane@rumc.edu.my untuk sebarang pertanyaan berkaitan terjemahan ini. Diterjemah oleh Gurmeet Albail Singh. Disunting oleh Khaw Loke Tim (IMU University).
Ulasan Cochrane ini pada asalnya dicipta dalam bahasa Inggeris. Ketepatan terjemahan adalah tanggungjawab pasukan terjemahan yang menghasilkannya. Terjemahan dihasilkan dengan berhati-hati dan mengikut proses standard untuk memastikan kawalan kualiti. Namun, sekiranya berlaku ketidakpadanan, terjemahan yang tidak tepat atau tidak sesuai, versi asal Bahasa Inggeris diutamakan.