Langkau ke kandungan utama

Adakah ujian genetik pantas (ujian molekul) tuberkulosis memperbaik hasil kesihatan berbanding ujian tradisional untuk mengesan TB (mikroskopi dan kultur)?

Pandangan anda amat bermakna

Kami menjalankan tinjauan ringkas untuk memahami penggunaan Ringkasan Bahasa Mudah Cochrane. Klik pautan ini untuk menyertai dan membantu penambahbaikan maklumat kesihatan.

Mesej utama

  • Xpert MTB/RIF Ultra adalah ujian pantas yang mungkin mengurangkan masa untuk mendiagnosis tuberkulosis (TB) dan masa dari diagnosis hingga memulakan rawatan.

  • Menggunakan Xpert MTB/RIF Ultra tidak mengurangkan kematian dari sebarang akibat yang berlaku dalam tempoh 18 bulan.

  • Kajian-kajian dalam ulasan ini tidak mengukur sama ada ujian pantas memperbaik pemulihan daripada TB (penawar).

Apakah itu tuberkulosis?

Tuberkulosis (TB) ialah jangkitan bakteria serius yang terutamanya mempengaruhi paru-paru. TB menyebabkan gejala seperti batuk, demam, dan penurunan berat badan. Ia juga boleh merebak ke bahagian lain badan. Kanak-kanak, terutamanya bawah umur lima tahun lebih rentan dan boleh mendapat penyakit yang ringan hingga teruk. TB mempengaruhi ramai orang setiap tahun, dan sebahagian besar boleh diubati, walaupun ada risiko kematian jika rawatan standard tidak berkesan. TB resistan adalah jenis TB yang lebih sukar dirawat kerana ia tidak respon kepada ubat-ubatan biasa.

Mengapakah ujian pantas digunakan?

Kaedah diagnostik tradisional untuk TB, seperti mikroskopi smer dan kultur, menggunakan pemeriksaan sampel di bawah mikroskop (instrumen optik yang menggunakan kanta untuk membesarkan bakteria) atau membiakkan bakteria di dalam makmal. Satu jenis ujian yang lebih baharu dikenali sebagai ujian molekul (atau 'ujian amplifikasi asid nukleik') membesarkan bahan genetik dalam sampel cecair badan (misalnya kahak (air liur)) berkali-kali untuk mengesan jika bakteria TB hadir. Beberapa ujian molekul, seperti Xpert MTB/RIF Ultra, juga boleh mengesan resistan terhadap rifampisin, ubat TB yang meluas digunakan. Ujian molekul telah dicadangkan untuk mengesan TB dengan lebih cepat dan tepat. Ini boleh membantu pesakit menerima rawatan yang sewajarnya dengan lebih cepat.

Terdapat pelbagai jenis ujian TB molekul pantas, yang berbeza dari segi cara ia dilakukan dan di mana ia digunakan. Sesetengah dijalankan di makmal, manakala yang lain digunakan di klinik atau di titik penjagaan. Pertubuhan Kesihatan Sedunia (WHO) mengkategori ujian tersebut kepada tiga kelas, yang dipanggil ujian automatik berasaskan makmal (misalnya Xpert MTB/RIF Ultra, Truenat MTB-RIF Dx dan Truenat MTB Plus), ujian makmal manual (mislanya TB-LAMP) dan ujian automatik sederhana kompleks (misalnya FluoroType XDR-TB). Walaupun petugas kesihatan pada amnya memutuskan ujian mana yang digunakan, pesakit di klinik swasta boleh memilih opsyen ujian yang tersedia.

Apakah yang ingin diketahui?

Kami ingin tahu sama ada ujian TB pantas mempengaruhi hasil kesihatan, termasuk kematian, pemulihan (penyembuhan), pemberhentian rawatan, dan masa yang diambil untuk mendiagnosis TB dan memulakan rawatan.

Apakah yang dilakukan?

Kami mencari bukti daripada kajian-kajian yang dikenali sebagai ' kajian klinikal ' yang membandingkan ujian TB pantas dengan kaedah tradisional untuk mengesan TB, seperti smer mikroskopi dan kultur. Kami merumuskan penemuan dan membuat penilaian tentang kebolehpercayaan keputusan, berdasarkan cara kajian direka bentuk dan bilangan orang yang mengambil bahagian.

Apakah keputusan utama ulasan ini?

Kami mengenal pasti dua kajian klinikal daripada tiga laporan yang diterbitkan antara 2021 dan 2024. Kedua-dua kajian tersebut melibatkan 11,228 dewasa yang diuji untuk TB. Kebanyakan peserta berasal dari Uganda (sebuah negara berpendapatan rendah), dan sebilangan kecil berasal dari Afrika Selatan (sebuah negara berpendapatan tinggi -sederhana). Tiada maklumat tersedia tentang kadar penyembuhan.

Walaupun ulasan kami memfokus ujian TB pantas secara umum, semua bukti adalah daripada dua kajian yang menilai ujian Xpert MTB/RIF Ultra. Ujian ini tidak mengurangkan kematian daripada sebarang akibat pada enam bulan atau 18 bulan. Walau bagaimanapun, ia mungkin mempercepatkan proses mendiagnosis TB dan permulaan rawatan berbanding kaedah ujian tradisional. Orang yang diuji dengan Xpert MTB/RIF Ultra lebih cenderung untuk menghentikan rawatan berbanding mereka yang diuji dengan mikroskopi smer. Kajian-kajian tersebut tidak mengukur sama ada ujian TB pantas memperbaik pemulihan.

Apakah keterbatasan bukti tersebut?

Kami hanya menemui bukti untuk ujian Xpert MTB/RIF Ultra dan tiada sebarang ujian TB pantas lain. Tiada kajian melaporkan bagaimana ujian ini mempengaruhi pemulihan pesakit . Kedua-dua kajian yang disertakan memfokus dewasa, oleh itu tidak jelas sama ada penemuan ini boleh diguna untuk kanak-kanak dan remaja. Kedua-dua kajian juga mengguna kaedah statistik berbeza bagi melaporkan masa untuk diagnosis dan rawatan, membuatnya sukar untuk membandingkan keputusan-keputusan. Kami menilai keyakinan terhadap bukti sebagai sederhana kerana kajian terbesar tidak menjelaskan bagaimana ia mengukur atau merancang untuk menganalisis masa yang diambil untuk mendiagnosis TB dan masa yang diambil untuk memulakan rawatan.

Adakah bukti ini yang terkini?

Bukti adalah berdasarkan carian literatur perubatan sehingga 21 Januari 2025.

Nota terjemahan

Sila hubungi cochrane@rumc.edu.my untuk mengetahui lebih lanjut mengenai ulasan ini. Diterjemah oleh Gurmeet Albail Singh. Disunting oleh Noorliza Mastura Ismail (Kolej Universiti Manipal Malaysia).

Ulasan Cochrane ini pada asalnya dicipta dalam bahasa Inggeris. Ketepatan terjemahan adalah tanggungjawab pasukan terjemahan yang menghasilkannya. Terjemahan dihasilkan dengan berhati-hati dan mengikut proses standard untuk memastikan kawalan kualiti. Namun, sekiranya berlaku ketidakpadanan, terjemahan yang tidak tepat atau tidak sesuai, versi asal Bahasa Inggeris diutamakan.

Petikan
Otieno JA, Were LMalesi, Lutje V, Scandrett K, Takwoingi Y, Ochodo EA. Impact of rapid nucleic acid amplification tests for tuberculosis on patient outcomes. Cochrane Database of Systematic Reviews 2025, Issue 12. Art. No.: CD016194. DOI: 10.1002/14651858.CD016194.

Penggunaan cookie kami

Kami menggunakan cookie yang diperlukan untuk menjadikan laman web kami berfungsi. Kami juga ingin menetapkan cookie analitik pilihan untuk membantu kami memperbaikinya. Kami tidak akan menetapkan cookie pilihan melainkan anda mengaktifkannya. Menggunakan alat ini akan menetapkan cookie pada peranti anda untuk mengingati pilihan anda. Anda boleh menukar pilihan cookie anda pada bila-bila masa dengan menekan pautan 'Tetapan cookie' di bahagian bawah setiap halaman.
Untuk maklumat lebih terperinci mengenai cookie yang kami gunakan, lihat halaman halaman cookie.

Terima semua
Konfigurasikan