Langkau ke kandungan utama

Apakah manfaat atau kelebihan dan bahaya pemindahan darah dan produk darah dalam menguruskan pendarahan selepas bersalin?

Mesej utama

  • Masa terbaik untuk wanita mula menerima pemindahan darah alogenik (di mana darah daripada penderma disuntik ke dalam aliran darah wanita melalui vena) untuk mengurangkan komplikasi daripada kehilangan darah yang berlebihan dalam tempoh 24 jam selepas kelahiran (pendarahan selepas bersalin) tidak diketahui.

  • Kesan daripada pemindahan produk darah (bahan yang dihasilkan daripada darah keseluruhan) dan bukannya, atau sebagai tambahan kepada, pemindahan darah keseluruhan dalam mengurangkan komplikasi pendarahan selepas bersalin sebahagian besarnya adalah tidak pasti.

Apakah itu pendarahan selepas bersalin?

Pendarahan selepas bersalin ialah pendarahan yang banyak selepas kelahiran. Ia biasanya ditakrifkan sebagai kehilangan darah sebanyak 500 mL atau lebih dalam tempoh 24 jam selepas kelahiran. Di seluruh dunia, ia adalah salah satu punca utama kematian ibu.

Bagaimanakah pendarahan selepas bersalin dirawat?

Pada masa ini tiada garis panduan tentang bagaimana pendarahan selepas bersalin sepatutnya dirawat, tetapi pemindahan darah keseluruhan atau komponen darah (dipanggil produk darah, seperti plasma beku segar, yang dihasilkan daripada bahagian cecair darah) boleh digunakan untuk mengurus pendarahan selepas bersalin dan mencegah komplikasi dalam kalangan wanita yang mengeluarkan darah secara berterusan.

Apakah yang kami ingin ketahui?

Kami ingin mengetahui faedah atau kelebihan dan bahaya rawatan transfusi darah yang berbeza dalam menguruskan pendarahan selepas bersalin, yang mana wanita harus mula menerima pemindahan darah dan masa yang sesuai, dan produk darah yang mana, sendiri atau gabungan, adalah yang terbaik.

Apakah yang kami lakukan?

Kami telah mencari kajian-kajian yang menilai faedah atau kelebihan dan bahaya pemindahan darah dalam pengurusan pendarahan selepas bersalin. Kami membanding dan merumuskan keputusan kajian-kajian tersebut serta menilai tahap keyakinan kami terhadap bukti, berdasarkan faktor seperti kaedah dan saiz kajian.

Apakah yang kami temui?

Kami telah menemui sebanyak 12 kajian yang melibatkan 17,868 wanita. Kami hanya dapat menggunakan lapan daripada kajian ini kerana empat daripadanya mempunyai masalah berkaitan reka bentuk kajian.

Kami tidak menemui bukti tertentu tentang masa yang sesuai untuk memulakan pemindahan darah atau tentang sama ada menggunakan produk darah dan bukannya, atau sebagai tambahan kepada, pemindahan darah keseluruhan dapat mengurangkan komplikasi pendarahan selepas bersalin. Secara keseluruhannya, kami mempunyai sedikit keyakinan terhadap hasil kajian tersebut. Beberapa faktor mempengaruhi keputusan kami. Banyak kajian tidak meletakkan wanita ke dalam kumpulan rawatan berbeza secara rawak. Ini bermakna perbezaan antara kumpulan mungkin disebabkan oleh perbezaan antara peserta dan bukannya perbezaan antara rawatan. Walaupun beberapa kajian meletakkan wanita ke dalam kumpulan rawatan secara rawak, kami tidak pasti tentang bagaimana ini dilakukan. Beberapa kajian adalah berskala kecil dan hasilnya berbeza-beza.

Apakah batasan bukti?

Kami tidak dapat membuat sebarang kesimpulan dengan yakin tentang faedah atau kelebihan dan bahaya pemindahan darah dalam menguruskan pendarahan selepas bersalin kerana kami kurang yakin dengan hasil kajian secara keseluruhan.

Sejauh manakah bukti ini terkini?

Bukti adalah terkini sehingga 18 Julai 2024.

Nota terjemahan

Sila hubungi cochrane@rumc.edu.my untuk sebarang pertanyaan berkaitan terjemahan ini. Diterjemah oleh Nadiatul Azra Ahmad Mazlan (IMU University). Disunting oleh Kamisah Ariffin (Universiti Tekologi MARA).

Petikan
Williams CR, Huffstetler HE, Nyamtema AS, Larkai E, Lyimo M, Kanellopoulou A, Robertson L, Choi L, Alwy Al-beity FM. Transfusion of blood and blood products for the management of postpartum haemorrhage. Cochrane Database of Systematic Reviews 2025, Issue 2. Art. No.: CD016168. DOI: 10.1002/14651858.CD016168.

Penggunaan cookie kami

Kami menggunakan cookie yang diperlukan untuk menjadikan laman web kami berfungsi. Kami juga ingin menetapkan cookie analitik pilihan untuk membantu kami memperbaikinya. Kami tidak akan menetapkan cookie pilihan melainkan anda mengaktifkannya. Menggunakan alat ini akan menetapkan cookie pada peranti anda untuk mengingati pilihan anda. Anda boleh menukar pilihan cookie anda pada bila-bila masa dengan menekan pautan 'Tetapan cookie' di bahagian bawah setiap halaman.
Untuk maklumat lebih terperinci mengenai cookie yang kami gunakan, lihat halaman halaman cookie.

Terima semua
Konfigurasikan