Langkau ke kandungan utama

Apakah faedah dan risiko menggunakan salvaj sel semasa kelahiran?

Mesej utama

  • Penggunaan salvaj sel mungkin boleh mengurangkan keperluan untuk pemindahan darah tambahan, mungkin boleh mengurangkan kehilangan darah, dan mungkin boleh meningkatkan hemoglobin selepas bersalin pada hari pertama pada wanita yang mempunyai kelahiran secara caesarean.

  • Salvaj sel mungkin menghasilkan sedikit atau tiada perbezaan pada risiko sepsis dan mungkin menghasilkan sedikit atau tiada perbezaan pada risiko pendarahan.

  • Kami tidak yakin dengan bukti mengenai kesan salvaj sel terhadap risiko reaksi buruk (tidak diingini atau memudaratkan) yang berkaitan dengan transfusi, tempoh operasi, dan tempoh kemasukan ke hospital.

Apakah itu pendarahan selepas bersalin?

Pendarahan selepas bersalin adalah kehilangan darah sebanyak 500 mL atau lebih dalam masa 24 jam selepas kelahiran. Ianya adalah penyebab utama kematian dan penyakit kepada ibu di seluruh dunia. Pendarahan selepas bersalin menyebabkan kematian ibu setiap tujuh minit. Hemoglobin membawa oksigen dalam darah dan tahap hemoglobin boleh digunakan untuk mendiagnosis pendarahan selepas bersalin.

Apakah yang ingin diketahui oleh penulis?

Sebahagian daripada pengurusan pendarahan selepas bersalin adalah penggunaan pemindahan darah 'alogenik'. Pemindahan darah alogenik menggunakan darah yang disumbangkan dari orang lain. Walau bagaimanapun, bekalan darah penderma untuk pemindahan sering tidak mencukupi, terutamanya dalam keadaan yang terhad sumber. Salvaj sel adalah intervensi yang membolehkan kakitangan klinikal untuk mengumpul sebarang kehilangan darah sejak kelahiran, membersihkannya, dan menggunakannya untuk pemindahan kembali kepada ibu. Kami ingin mengetahui, semasa kelahiran, faedah dan bahaya salvaj sel berbanding dengan tidak menggunakan salvaj sel.

Apakah yang telah kami lakukan?

Kami telah mencari kajian-kajian yang membandingkan penggunaan salvaj sel dengan penjagaan rutin (ditakrifkan sebagai tiada salvaj sel) pada ibu-ibu mengandung semasa melahirkan anak. Kajian-kajian yang kami lihat adalah yang mana wanita diletakkan secara rawak ke kumpulan-kumpulan rawatan.

Kami membanding dan merumuskan keputusan kajian-kajian tersebut serta menilai tahap keyakinan kami terhadap bukti-bukti, berdasarkan faktor-faktor seperti kaedah dan saiz kajian.

Apakah yang telah kami temui?

Kami menemui enam kajian dengan 3476 wanita, yang semuanya mempunyai kelahiran caesarean. Kami mendapati bahawa penggunaan salvaj sel mungkin boleh mengurangkan keperluan untuk pemindahan darah alogenik, dapat mengurangkan kehilangan darah, dan boleh meningkatkan hemoglobin selepas bersalin pada hari pertama dalam kalangan ibu-ibu mengandung yang mempunyai kelahiran caesarean. Penyelamatan sel mungkin boleh menyebabkan sedikit atau tiada perbezaan pada risiko sepsis (tindak balas terhadap jangkitan yang merosakkan organ-organ penting dan, selalunya, menyebabkan kematian) dan mungkin menyebabkan sedikit atau tiada perbezaan pada risiko pendarahan. Kami tidak yakin dengan bukti reaksi buruk yang berkaitan dengan transfusi, tempoh penginapan di hospital, dan tempoh operasi pada ibu-ibu mengandung selepas kelahiran caesarean.

Apakah batasan bukti?

Secara keseluruhannya, keyakinan kami terhadap keputusan-keputusan adalah terhad. Kami mempunyai keyakinan yang sederhana pada bukti untuk salah satu hasil kritikal (risiko pendarahan). Kami mempunyai keyakinan yang sedikit terhadap bukti untuk dua hasil kritikal (risiko transfusi alogenik, risiko sepsis). Kami tidak yakin dengan bukti untuk risiko tindak balas buruk yang berkaitan dengan transfusi, tempoh kemasukan ke hospital, dan tempoh operasi. Tiada kajian yang melaporkan keperluan untuk dipindahkan ke penjagaan peringkat yang lebih tinggi. Kajian lanjut diperlukan mengenai penggunaan salvaj sel pada wanita yang mempunyai kelahiran secara biasa dan dalam tempat berpendapatan rendah dan sederhana.

Sejauh manakah bukti ini terkini?

Bukti ini adalah terkini sehingga 8 Februari 2024.

Nota terjemahan

Sila hubungi cochrane@rumc.edu.my untuk sebarang pertanyaan berkaitan terjemahan ini. Diterjemah oleh Syed Amirfaiz (Universiti Islam Antarabangsa Malaysia Kuantan). Disunting oleh Mohamad Masykurin Mafauzy (Universiti Sains Malaysia).

Petikan
Dey T, Brown D, Cole MG, Hill RA, Chaplin M, Huffstetler HE, Curtis F. Cell salvage for the management of postpartum haemorrhage. Cochrane Database of Systematic Reviews 2024, Issue 12. Art. No.: CD016120. DOI: 10.1002/14651858.CD016120.

Penggunaan cookie kami

Kami menggunakan cookie yang diperlukan untuk menjadikan laman web kami berfungsi. Kami juga ingin menetapkan cookie analitik pilihan untuk membantu kami memperbaikinya. Kami tidak akan menetapkan cookie pilihan melainkan anda mengaktifkannya. Menggunakan alat ini akan menetapkan cookie pada peranti anda untuk mengingati pilihan anda. Anda boleh menukar pilihan cookie anda pada bila-bila masa dengan menekan pautan 'Tetapan cookie' di bahagian bawah setiap halaman.
Untuk maklumat lebih terperinci mengenai cookie yang kami gunakan, lihat halaman halaman cookie.

Terima semua
Konfigurasikan