Langkau ke kandungan utama

Bagi orang dewasa dan remaja yang menghidap HIV, adakah penggunaan dua ujian pantas yang berbeza secara serentak (‘ujian selari') dapat memberikan diagnosis penyakit batuk kering (tibi) dengan lebih tepat berbanding menggunakan hanya satu ujian?

Ulasan ini melihat kepada orang dewasa dan remaja yang menghidap HIV yang mempunyai tanda dan simptom penyakit batuk kering (tibi). Diagnosis boleh dilakukan dengan menggunakan sampel pernafasan (cecair atau lendir yang dikumpulkan melalui batuk atau menggunakan tiub untuk mengeluarkan cecair dari tekak, paru-paru, atau perut) atau air kencing. Kami ingin mengetahui sama ada penggunaan dua ujian pantas secara serentak - ujian automatik pada sampel pernafasan (LC-aNAAT) dan ujian strip kencing (LF-LAM) - adalah lebih baik daripada menggunakan LC-aNAAT sahaja. Melakukan kedua-dua ujian ini secara serentak dipanggil ujian selari.

Mesej utama

- Ujian selari menemukan lebih banyak kes tibi atau batu kering berbanding dengan penggunaan LC-aNAAT sahaja.

- Namun begitu, ujian selari juga boleh menyebabkan lebih banyak diagnosis positif palsu bagi tibi atau batuk kering dalam kalangan individu yang sebenarnya tidak menghidap tibi atau batuk kering, dan kesan yang tidak diingini ini berkemungkinan lebih ketara di kawasan yang kurang kes tibi atau batuk kering.

- Di kawasan dimana penyakit tibi atau batuk biasa adalah biasa, manfaat ujian selari (iaitu mengesan lebih ramai orang yang benar-benar menghidap tibi atau batuk kering) mungkin melebihi kemudaratan (iaitu kesilapan diagnosis, rawatan yang tidak perlu dan diagnosis lewat bagi penyakit yang lain ).

Mengapakah penting untuk meningkatkan diagnosis tibi atau batuk kering dalam kalangan orang yang menghidap HIV?

Orang yang menghidap HIV mempunyai risiko yang lebih tinggi untuk mendapat tibi atau batuk kering berbanding mereka yang tidak menghidap HIV. Tibi atau batuk kering dalam kalangan pesakit HIV sering menunjukkan gejala yang tidak spesifik, dan pengesanan bakteria ( Mycobacterium tuberkulosis ) dengan ujian sputum (kahak) standard boleh menjadi sukar. Hal ini sebahagiannya disebabkan oleh kesukaran untuk mengeluarkan sampel kahak, yang mungkin mengandungi jumlah bakteria yang sangat sedikit, serta kerana tibi atau batuk kering boleh berlaku pada bahagian tubuh selain daripada paru-paru. Akibat daripada diagnosis yang lewat atau terlepas, tibi atau batuk kering merupakan punca utama kemasukan ke hospital dan kematian dalam kalangan individu yang menghidap HIV di seluruh dunia.

Apakah ujian selari?

Ujian selari merujuk pada penggunaan lebih daripada satu ujian pada masa yang sama. Jika mana-mana satu daripada ujian memberikan keputusan positif, kami menganggap ujian selari mempunyai keputusan positif. Kami mengkaji ujian selari menggunakan LC-aNAAT pada sampel pernafasan bersama-sama dengan LF-LAM pada air kencing.

Apakah yang kami ingin tahu?

- Sejauh manakah ketepatan ujian selari untuk semua bentuk tibi atau batuk kering dalam kalangan orang dewasa dan remaja (berumur 10 tahun ke atas) yang menghidap HIV dan mempunyai tanda atau simptom tibi atau batuk kering?

- Sejauh manakah ketepatan ujian selari untuk mengenal pasti tibi atau batuk kering berbanding penggunakan LC-aNAAT pernafasan sahaja?

Apa yang kami lakukan?

Kami mencari kajian yang telah meneliti ketepatan kedua-dua ujian LC-aNAAT pernafasan dan LF-LAM air kencing bagi tibi atau batuk kering dalam kalangan orang dewasa dan remaja yang menghidap HIV, dan kami menggabungkan hasil kajian-kajian ini.

Apakah yang kami temui?

Ulasan tersebut merangkumkan 27 kajian yang melibatkan 12,651 peserta, dengan 2368 (19%) daripadanya disahkan menghidap tibi atau batuk kering.

Peserta yang disertakan adalah dari 19 negara berpendapatan rendah dan sederhana dimana penyakit HIV dan tibi atau batuk kering adalah biasa. Banyak kajian dijalankan di negara-negara di sub-Sahara Afrika. Satu kajian melibatkan remaja, manakala kajian-kajian lain melibatkan orang dewasa.

Ketepatan ujian selari

Keputusan kajian-kajian ini menunjukkan bahawa dalam satu kumpulan yang terdiri daripada 1000 orang, dimana 200 orang (20%) daripadanya menghidap tibi atau batuk kering, maka:

- ujian selari akan mengenal pasti 155 orang dengan tepat sebagai penghidap tibi atau batuk kering, tetapi akan terlepas 45 orang; bagi 800 orang lagi yang tidak menghidap tibi atau batuk kering, ujian selari akan mengenal pasti dengan tepat 715 orang sebagai tidak menghidap tibi atau batuk kering, tetapi akan salah mendiagnosis 85 orang sebagai penghidap tibi atau batuk kering.

Ujian selari berbanding LC-aNAAT pernafasan sahaja

Keputusan kajian-kajian ini menunjukkan bahawa jika strategi ujian selari digunakan berbanding ujian LC-aNAAT pernafasan sahaja, dalam satu kumpulan seramai 1000 orang, dimana 200 orang (20%) daripadanya sebenarnya menghidap tibi atau batuk kering, maka:

- ujian selari akan mendiagnosis dengan tepat 13 lagi pesakit yang sebenarnya menghidap tibi atau batuk kering yang akan terlepas dikesan jika hanya LC-aNAAT pada sampel pernafasan digunakan (iaitu kurang 13 'negatif palsu' dengan ujian selari). Namun begitu, penggunaan ujian selari akan memberikan diagnosis salah kepada 54 orang lagi yang tidak menghidap tibi atau batuk kering (lebih 54 orang 'positif palsu' dengan ujian selari), berbanding penggunaan LC-aNAAT sahaja.

Apakah batasan bukti?

Bukti mengenai ujian selari dalam kalangan remaja adalah terhad. Walaupun kami melibatkan sejumlah besar orang dewasa daripada latar belakang berbeza, hanya sebilangan kecil remaja yang terlibat dalam ulasan ini.

Beberapa kajian dalam ulasan ini mengecualikan pesakit yang tidak dapat menghasilkan sampel kahak atau air kencing . Ini boleh mengakibatkan anggaran yang lebih rendah atau lebih tinggi terhadap ketepatan ujian selari.

Disebabkan kesukaran untuk mengesan tibi atau batuk kering dalam kalangan pesakit HIV, kaedah untuk mengesahkan sama ada seseorang itu benar-benar menghidap tibi atau tidak (yang dipanggil 'standard rujukan ') mungkin tidak sempurna. Ini bermakna kami mungkin telah menganggarkan ketepatan ujian selari sebagai lebih rendah atau lebih tinggi daripada nilai sebenar. Beberapa kajian yang menggunakan standard rujukan berbeza (dipanggil 'standard rujukan komposit') menunjukkan keputusan yang berbeza, walaupun keputusan ini sangat tidak pasti.

Sejauh manakah bukti ini terkini?

Bukti ini adalah berdasarkan carian yang dijalankan sehingga 3 November 2023.

Nota terjemahan

Sila hubungi cochrane@rumc.edu.my untuk sebarang pertanyaan berkaitan terjemahan ini. Diterjemah oleh Ainur Atiqah Hamid. Disunting oleh Kamisah Ariffin (Universiti Teknologi MARA).

Ulasan Cochrane ini pada asalnya dicipta dalam bahasa Inggeris. Ketepatan terjemahan adalah tanggungjawab pasukan terjemahan yang menghasilkannya. Terjemahan dihasilkan dengan berhati-hati dan mengikut proses standard untuk memastikan kawalan kualiti. Namun, sekiranya berlaku ketidakpadanan, terjemahan yang tidak tepat atau tidak sesuai, versi asal Bahasa Inggeris diutamakan.

Petikan
Bjerrum S, Yang B, Åhsberg J, Olbrich L, Damkjær MW, Nathavitharana RR, Broger T, Olaru ID, Sweetser B, Poore H, Razid A, Kay AW, Denkinger CM, Schiller I, Dendukuri N, Jaganath D, Lundh A, Shah M. Parallel use of low-complexity automated nucleic acid amplification tests and lateral flow urine lipoarabinomannan assays to detect tuberculosis disease in adults and adolescents living with HIV. Cochrane Database of Systematic Reviews 2025, Issue 6. Art. No.: CD016070. DOI: 10.1002/14651858.CD016070.pub2.

Penggunaan cookie kami

Kami menggunakan cookie yang diperlukan untuk menjadikan laman web kami berfungsi. Kami juga ingin menetapkan cookie analitik pilihan untuk membantu kami memperbaikinya. Kami tidak akan menetapkan cookie pilihan melainkan anda mengaktifkannya. Menggunakan alat ini akan menetapkan cookie pada peranti anda untuk mengingati pilihan anda. Anda boleh menukar pilihan cookie anda pada bila-bila masa dengan menekan pautan 'Tetapan cookie' di bahagian bawah setiap halaman.
Untuk maklumat lebih terperinci mengenai cookie yang kami gunakan, lihat halaman halaman cookie.

Terima semua
Konfigurasikan