Mesej utama
-
Bukti masih berkembang, dan kajian masa depan boleh mengubah kesimpulan kami.
-
Kami tidak yakin satu pendekatan pembedahan (cara mengakses sendi pinggul) berbanding yang lain membawa kepada hasil berbeza untuk melaksanakan tugas harian, kualiti hidup yang berkaitan dengan kesihatan, mobiliti atau status fungsi, mortaliti atau sakit, dalam tempoh empat bulan pertama selepas pembedahan.
Apakah ‘hemiarthroplasty’ pinggul?
‘Hemiarthroplasty’ pinggul, atau penggantian pinggul separa, adalah pembedahan yang menggantikan bola tulang paha (femur) dengan yang tiruan, tanpa menyentuh soket.
Mengapa ini penting bagi orang dengan fraktur pinggul?
Fraktur pinggul adalah lazim, terutamanya dalam kalangan dewasa yang lebih berusia. Keadaan ini sangat menyakitkan dan menyukarkan untuk berjalan atau hidup secara bebas. Penggantian separa pinggul ialah cara untuk membaiki fraktur ini, mengurangkan sakit dan membuat orang kembali berdiri dengan lebih cepat. Terdapat pelbagai cara untuk mengakses sendi pinggul semasa pembedahan (pendekatan). Masing-masing mempunyai kelebihan dan kekurangan tersendiri.
Apakah yang kami ingin tahu?
Kami ingin tahu kesan pelbagai pendekatan pembedahan untuk melakukan penggantian pinggul separa terhadap seseorang yang pulih daripada pembedahan.
Apakah yang kami lakukan?
Kami mencari kajian-kajian yang membandingkan pelbagai pendekatan untuk penggantian pinggul separa. Kajian-kajian terpaksa memilih orang secara rawak (atau menggunakan tarikh lahir mereka atau kaedah alternatif) untuk setiap pendekatan dan kemudian menyusuli pemulihan mereka selepas pembedahan. Kajian-kajian menyertakan dewasa dengan fraktur pinggul. Kami bandingkan dan ringkaskan keputusan-keputusan kajian, dan menilai keyakinan terhadap bukti, berdasarkan faktor seperti kaedah dan saiz kajian.
Apakah yang kami temui?
Kami temui 27 kajian dengan 3369 orang. Kajian-kajian berlangsung di seluruh Eropah dan Asia. Kajian terbesar melibatkan 843 orang dan kajian terkecil melibatkan 29 orang. Kajian-kajian berlangsung dari 40 hari hingga lima tahun.
Pendekatan anterior berbanding posterior: mungkin terdapat sedikit atau tiada perbezaan antara kedua-dua pendekatan dalam keupayaan orang dapat melakukan tugas harian, status fungsi mereka, mortaliti atau sakit pada tiga bulan selepas pembedahan, tetapi kami sangat tidak pasti tentang keputusan ini. Tiada kajian melihat kepada kualiti hidup berkaitan kesihatan dalam tempoh empat bulan pembedahan.
Pendekatan anterior berbanding posterior: mungkin terdapat sedikit atau tiada perbezaan antara kedua-dua pendekatan dalam keupayaan orang boleh melakukan tugas harian, status fungsi mereka, sakit pada tiga bulan selepas pembedahan, tetapi kami sangat tidak pasti tentang keputusan ini. Kami dapati pendekatan anterior boleh mengurangkan sedikit tempang pada tiga bulan selepas pembedahan. Tiada kajian melihat kepada kualiti hidup berkaitan kesihatan dalam tempoh empat bulan pembedahan. Kami tidak pasti kesan ke atas mortaliti dalam tempoh empat bulan selepas pembedahan.
Pendekatan anterior berbanding posterior: boleh terdapat sedikit atau tiada perbezaan antara kedua-dua kaedah dalam keupayaan orang boleh melakukan tugas harian, status fungsi mereka, sakit pada tiga bulan selepas pembedahan, tetapi kami sangat tidak pasti tentang keputusan ini. Mungkin tiada perbezaan antara kaedah terhadap risiko kematian dalam tempoh tiga bulan selepas pembedahan.
Apakah batasan bukti?
Secara umum, kami berkeyakinan rendah atau sangat rendah terhadap tahap bukti semasa . Dua faktor utama mengurangkan keyakinan kami terhadap bukti. Pertama, tiada cukup orang dalam kajian-kajian untuk memastikan penemuan mereka, dan keputusannya sangat tidak konsisten merentas kajian-kajian berbeza . Kedua, saiz kajian yang kecil menghadkan keupayaan untuk mengesan kesan tidak diingini klinikal penting yang sering tidak dilaporkan atau tidak diberi penerangan jelas.
Adakah bukti ini mutakhir?
Bukti adalah terkini sehingga 1 November 2024. Kajian-kajian diterbitkan antara 1981 dan 2024.
Sila hubungi cochrane@rumc.edu.my untuk sebarang pertanyaan berkaitan terjemahan ini. Diterjemah oleh Gurmeet Albail Singh. Disunting oleh Noorliza Mastura Ismail (Kolej Universiti Manipal Malaysia).