Langkau ke kandungan utama

Penapis

Bukti

Buku Panduan/Manual

Berita

Apakah rawatan berkesan untuk sakit plat pertumbuhan (apofisitis) di pinggul, kaki atau tapak kaki?

Bantu menambah baik Ringkasan Cochrane – lengkapkan survey ringkas ini

Mesej utama

  • Kebanyakan kanak-kanak yang mengalami sakit plat pertumbuhan (apofisitis) akan sembuh dari masa ke masa. Sama ada rawatan untuk apofisitis menjejaskan sakit jangka pendek, fungsi fizikal dan penyertaan dalam sukan tidak dapat dipastikan.

  • Tidak dapat dipastikan sama ada mana-mana rawatan adalah lebih baik atau lebih teruk daripada yang lain. Kajian-kajian tersebut kebanyakannya kecil dan mempunyai masalah dengan reka bentuknya. Kajian-kajian tersebut tidak selalunya mengukur kesan tidak diingini daripada sesuatu rawatan, dan tiada satu pun yang mengukur sama ada mana-mana kanak-kanak menarik diri daripada kajian kerana kesan tidak diingini.

  • Bukti yang sedia ada adalah terhad. Kebanyakan kajian memasukkan lebih ramai kanak-kanak lelaki berbanding kanak-kanak perempuan, dan memasukkan kanak-kanak yang lebih aktif daripada purata. Kanak-kanak kerap tahu rawatan yang mereka terima, yang mungkin telah mempengaruhi keputusan.

Apakah itu apofisitis?

Semasa akil baligh, kanak-kanak kadangkala mengalami sakit pada plat pertumbuhan di pinggul, lutut, dan kaki mereka. Sakit ini biasanya disebabkan oleh kerengsaan plat pertumbuhan akibat tekanan berulang dari semasa ke semasa dan bukannya daripada satu peristiwa sahaja. Sakit ini biasanya untuk jangka pendek dan mempunyai kesan terhad terhadap kehidupan kanak-kanak. Walau bagaimanapun, kadangkala sakit ini boleh membuatkan kanak-kanak lembik, kurang bermain sukan atau kurang aktif secara fizikal. Keadaan ini dipanggil dengan nama berbeza berdasarkan lokasi pertumbuhan, tetapi biasanya dikenali sebagai 'apofisitis' atau 'kecederaan apofisis anggota bawah'.

Bagaimanakah apofisitis dirawat?

Pelbagai profesional penjagaan kesihatan merawat apofisitis, termasuk doktor am atau doktor perubatan, ahli fisioterapi, dan pakar podiatri. Pelbagai kaedah rawatan digunakan, termasuk senaman, ubat-ubatan, pembalutan, pendakap, atau alat yang diletakkan di dalam kasut seperti ortosis kaki atau pelapik tumit. Tidak kira apa jua rawatannya, apofisitis biasanya pulih dengan sendirinya, namun dalam sesetengah kes, kesakitannya boleh berlarutan untuk tempoh yang lama.

Apakah yang ingin diketahui?

Kami ingin mengetahui rawatan yang berkesan mengurangkan sakit dan memahami betapa selamat rawatan ini. Kami ingin mengetahui rawatan yang manakah meningkatkan keupayaan fizikal dan penyertaan kanak-kanak dalam sukan. Kami juga ingin tahu sama ada satu rawatan berkesan lebih baik daripada yang lain.

Apakah yang dilakukan?

Kami mencari kajian yang menguji pelbagai jenis rawatan untuk apofisitis pada bahagian pinggul, lutut, dan kaki. Kami tidak mencari sebarang rawatan yang melibatkan pembedahan.

Kami menggabungkan keputusan daripada kajian yang menguji rawatan yang sama dan menggunakan kaedah yang serupa untuk mengukur keberkesanan. Kami menilai tahap kepastian kami tentang bukti ini.

Apakah yang ditemukan?

Kami menemui 10 kajian yang melibatkan 654 kanak-kanak yang purata umurnya antara 10.3 hingga 13.3 tahun. Tujuh kajian tertumpu pada sakit tumit (apofisitis kalkaneal), dan tiga tertumpu pada sakit di bahagian hadapan lutut (apofisitis tarikan tuberkulum tibial).

Keputusan utama

  • Satu kajian (23 kanak-kanak) membandingkan ubat yang dipanggil dexamethasone dengan plasebo (rawatan palsu). Kami sangat tidak pasti sama ada dexamethasone mengurangkan sakit, meningkatkan fungsi fizikal, atau membantu kanak-kanak kembali bersukan dalam jangka pendek. Dua kajian (74 kanak-kanak) melaporkan kesan ubat yang tidak diingini, namun bukti tersebut juga sangat tidak pasti.

  • Satu kajian (21 kanak-kanak) membandingkan dexamethasone dengan penjagaan biasa. Kami sangat tidak pasti sama ada dexamethasone mengurangkan sakit, meningkatkan fungsi fizikal, atau membantu kanak-kanak kembali bersukan dalam jangka pendek. Satu kajian (30 kanak-kanak) melaporkan kesan tidak diingini, tetapi bukti tersebut juga sangat tidak pasti.

  • Satu kajian (22 kanak-kanak) membandingkan pita Kinesio dengan plasebo. Kami sangat tidak pasti sama ada pita Kinesio dapat mengurangkan kesakitan atau meningkatkan fungsi fizikal dalam jangka masa pendek. Kajian ini tidak melaporkan penyertaan dalam sukan atau kesan tidak diingini.

  • Satu kajian (124 kanak-kanak) membandingkan ortopedi kaki dengan pengangkat tumit. Ia menemui bahawa mungkin terdapat sedikit atau tiada perbezaan antara mereka dari segi sakit atau fungsi fizikal dalam jangka pendek. Kajian itu tidak melaporkan tentang penyertaan dalam sukan. Satu kajian (101 kanak-kanak) melaporkan bahawa tiada kesan tidak diingini.

  • Satu kajian (43 kanak-kanak) membandingkan kusyen tumit dengan tali tumit. Kami sangat tidak pasti sama ada kusyen tumit meningkatkan fungsi fizikal atau menyebabkan sebarang kesan tidak diingini dalam jangka pendek. Kajian itu tidak melaporkan tentang penyertaan dalam sukan.

  • Tiada satu pun daripada kajian tersebut melaporkan sama ada mana-mana kanak-kanak menarik diri daripada kajian kerana kesan tidak diingini.

Apakah keterbatasan penyelidikan ini?

  • Dalam kebanyakan kajian, kanak-kanak dan penjaga tahu rawatan yang mereka terima, yang mungkin telah mempengaruhi cara mereka melaporkan peningkatan. Ini mungkin menjejaskan tahap kebolehpercayaan keputusan tersebut.

  • Apofisitis sering bertambah baik dengan sendirinya apabila kanak-kanak terus membesar dan plat pertumbuhan mereka tertutup, oleh itu, ia adalah sukar untuk menentukan sama ada sebarang penambahbaikan itu berpunca daripada rawatan atau pemulihan semula jadi dari masa ke masa.

  • Terdapat lebih ramai kanak-kanak lelaki berbanding kanak-kanak perempuan dalam kajian-kajian ini, dan kebanyakan peserta sangat aktif secara fizikal. Keadaan ini tidak mungkin memberi kesan yang berbeza terhadap kanak-kanak lelaki dan perempuan, namun kami tidak pasti sama ada penemuan kami boleh diguna pakai untuk kanak-kanak yang kurang aktif secara fizikal.

  • Akhirnya, kebanyakan kajian hanya mempunyai bilangan peserta yang kecil. Ini bermakna kita tidak boleh yakin dengan keputusan tersebut dan tidak dapat mengetahui sama ada penemuan itu boleh diguna pakai untuk kumpulan kanak-kanak yang lebih luas yang mengalami apofisitis.

Adakah bukti ini yang terkini?

Bukti adalah terkini sehingga 4 Januari 2025.

Nota terjemahan

Sila hubungi cochrane@rumc.edu.my untuk mengetahui lebih lanjut mengenai ulasan ini. Diterjemah oleh Jacelyn Ong Jia Whey (Hospital Putrajaya). Disunting oleh Shaun Lee (Monash Malaysia).

Ulasan Cochrane ini pada asalnya dicipta dalam bahasa Inggeris. Ketepatan terjemahan adalah tanggungjawab pasukan terjemahan yang menghasilkannya. Terjemahan dihasilkan dengan berhati-hati dan mengikut proses standard untuk memastikan kawalan kualiti. Namun, sekiranya berlaku ketidakpadanan, terjemahan yang tidak tepat atau tidak sesuai, versi asal Bahasa Inggeris diutamakan.

Petikan
Williams CM, Krommes K, Paterson KL, Haines T, Caserta A, Thorborg K. Non-surgical treatment for lower limb apophyseal injuries. Cochrane Database of Systematic Reviews 2026, Issue 7. Art. No.: CD015156. DOI: 10.1002/14651858.CD015156.pub2.

Penggunaan cookie kami

Kami menggunakan cookie yang diperlukan untuk menjadikan laman web kami berfungsi. Kami juga ingin menetapkan cookie analitik pilihan untuk membantu kami memperbaikinya. Kami tidak akan menetapkan cookie pilihan melainkan anda mengaktifkannya. Menggunakan alat ini akan menetapkan cookie pada peranti anda untuk mengingati pilihan anda. Anda boleh menukar pilihan cookie anda pada bila-bila masa dengan menekan pautan 'Tetapan cookie' di bahagian bawah setiap halaman.
Untuk maklumat lebih terperinci mengenai cookie yang kami gunakan, lihat halaman halaman cookie.

Terima semua
Konfigurasikan