Mesej utama
Pengambilan TKI EGFR selepas pembedahan kanser paru-paru mungkin membantu pesakit kekal bebas kanser lebih lama daripada kemoterapi atau tanpa rawatan susulan.
TKI EGFR mungkin membantu pesakit hidup lebih lama dibandingkan dengan tanpa rawatan tetapi mungkin memberikan sedikit atau tiada perbezaan dalam kelangsungan hidup berbanding kemoterapi.
TKI EGFR mempunyai kurang kesan sampingan serius berbanding kemoterapi tetapi ia mungkin mengakibatkan lebih banyak kesan sampingan ringan hingga sederhana.
Lebih banyak penyelidikan diperlukan untuk memahami jika TKI EGFR diteruskan lebih lama akan meningkatkan kelangsungan hidup.
Apa itu kanser paru-paru dan bagaimana ia dirawat?
Kanser paru-paru ialah salah satu kanser yang paling kerap berlaku di seluruh dunia. Kanser paru-paru bukan sel kecil (NSCLC) adalah jenis yang paling kerap. Sesetengah tumor NSCLC mempunyai mutasi dalam gen yang dipanggil EGFR.
Pembedahan adalah rawatan utama untuk NSCLC peringkat awal tetapi kanser boleh muncul kembali selepas pembedahan. Untuk mengurangkan risiko ini, pesakit boleh menerima rawatan tambahan (terapi adjuvan) seperti kemoterapi atau TKI EGFR.
Kami ingin mengetahui sama ada pengambilan TKI EGFR selepas pembedahan membantu pesakit hidup lebih lama dan mencegah kanser daripada berulang. Kami juga melihat kepada kesan sampingan.
Apakah yang kami lakukan?
Kami mencari kajian yang membandingkan TKI EGFR dengan plasebo (ubat yang tidak aktif atau ubat sulih)/penjagaan sokongan terbaik atau kemoterapi dalam kalangan pesakit NSCLC peringkat I hingga III yang telah menjalani pembedahan. Kami telah membandingkan dan merumuskan keputusan kajian tersebut serta menilai tahap keyakinan kami terhadap bukti, berdasarkan faktor seperti kaedah dan saiz kajian.
Apakah yang kami dapati?
Kami telah mengenalpasti 15 kajian dengan 2603 peserta. Sembilan kajian telah selesai dan enam masih berjalan. Kajian-kajian tersebut membandingkan:
TKI EGFR berbanding plasebo atau penjagaan sokongan terbaik (lima kajian);
TKI EGFR berbanding kemoterapi (empat kajian).
Keputusan utama
TKI EGFR berbanding plasebo/penjagaan sokongan terbaik
Kelangsungan hidup keseluruhan: TKI EGFR barangkali membantu pesakit hidup lebih lama.
Kanser berulang: TKI EGFR mungkin membantu pesakit kekal bebas kanser lebih lama tetapi bukti sangat tidak pasti.
Kesan-kesan sampingan yang serius: ini mungkin agak serupa antara kedua-dua kumpulan tetapi bukti sangat tidak pasti.
Kesan-kesan sampingan ringan hingga sederhana: TKI EGFR mungkin menyebabkan lebih banyak kesan sampingan ringan hingga sederhana tetapi bukti sangat tidak pasti.
Pesakit yang mengambil TKI EGFR secara amnya tidak berasa lebih teruk daripada mereka yang tidak mengambil TKI EGFR.
Kanser berulang selepas rawatan dihentikan: risiko kanser berulang kembali mungkin sama antara kumpulan.
TKI EGFR berbanding kemoterapi
Kelangsungan hidup keseluruhan: barangkali ada sedikit atau tiada perbezaan dalam kelangsungan hidup antara TKI EGFR dengan kemoterapi.
Kanser berulang: TKI EGFR mungkin membantu pesakit kekal bebas kanser lebih lama berbanding kemoterapi.
Kesan sampingan serius: kesan sampingan serius mungkin kurang berlaku dengan TKI EGFR berbanding kemoterapi.
Kesan-kesan sampingan ringan hingga sederhana: TKI EGFR mungkin menyebabkan lebih banyak kesan sampingan ringan hingga sederhana.
Kualiti hidup keseluruhan barangkali hampir sama dalam kedua-dua kumpulan.
Kanser berulang kembali selepas rawatan dihentikan: tidak terdapat perbezaan yang jelas antara kumpulan.
Apakah batasan bukti?
Keyakinan kami terhadap bukti tersebut adalah antara sangat rendah hingga sederhana, atas beberapa sebab. Pesakit dalam sesetengah kajian mengetahui rawatan yang mereka terima dan ini boleh mempengaruhi keputusan kajian. Tidak semua kajian menyediakan data tentang perkara yang kami ingin ketahui, termasuk kelangsungan hidup keseluruhan pesakit. Kajian melaporkan kanser berulang dengan cara yang berbeza.
Lebih banyak penyelidikan diperlukan untuk mengetahui sama ada rawatan yang lebih panjang dengan TKI EGFR meningkatkan kelangsungan hidup.
Sejauh manakah bukti ini terkini?
Bukti ini terkini sehingga 9 Disember 2024.
Sila hubungi cochrane@rumc.edu.my untuk sebarang pertanyaan berkaitan terjemahan ini. Diterjemah oleh Salizawati Muhamad Salhimi (Pusat Pengajian Sains Farmasi, Universiti Sains Malaysia). Disunting oleh Norhayati Mohd Noor (Universiti Sains Malaysia).
Ulasan Cochrane ini pada asalnya dicipta dalam bahasa Inggeris. Ketepatan terjemahan adalah tanggungjawab pasukan terjemahan yang menghasilkannya. Terjemahan dihasilkan dengan berhati-hati dan mengikut proses standard untuk memastikan kawalan kualiti. Namun, sekiranya berlaku ketidakpadanan, terjemahan yang tidak tepat atau tidak sesuai, versi asal Bahasa Inggeris diutamakan.