Langkau ke kandungan utama

Adakah psikoedukasi secara bersemuka membantu ibu bapa penghidap penyakit mental teruk?

Pandangan anda amat bermakna

Kami menjalankan tinjauan ringkas untuk memahami penggunaan Ringkasan Bahasa Mudah Cochrane. Klik pautan ini untuk menyertai dan membantu penambahbaikan maklumat kesihatan.

Mesej utama

  • Psikoedukasi (kaedah pengajaran secara bersemuka mengenai keadaan kesihatan seseorang yang dikendalikan oleh seorang profesional) ditujukan kepada ibu bapa individu yang mengalami penyakit mental teruk. Kaedah ini boleh meningkatkan kesejahteraan psikososial ibu bapa (kesihatan mental, emosi, dan sosial) dalam jangka masa yang pendek dan sederhana, serta mungkin mengurangkan kebimbangan mereka dalam jangka masa pendek.

  • Bukti tentang kesan psikoedukasi terhadap kualiti hidup ibu bapa dan pengalaman mereka dalam memberikan penjagaan kepada anak-anak adalah amat meragukan.

  • Bukti yang sedia ada adalah terhad. Lebih banyak kajian diperlukan untuk memahami dengan lebih baik bagaimana psikoedukasi dapat menyokong ibu bapa individu yang mengalami penyakit mental teruk.

Bagaimanakah ibu bapa terjejas oleh penyakit mental teruk anak mereka?

Penyakit mental teruk merupakan keadaan mental, tingkah laku atau emosi yang memberi kesan yang serius kepada cara seseorang berfungsi dalam kehidupan seharian. Ia boleh mengehadkan keupayaan seorang individu untuk bekerja, menjaga diri sendiri, mengekalkan hubungan atau mengambil bahagian dalam aktiviti penting yang lain dengan ketara. Penyakit mental teruk termasuk keadaan seperti skizofrenia, gangguan bipolar dan kemurungan major. Penyakit-penyakit itu akan berlarutan untuk jangka masa yang lama dan menjadikan kehidupan harian sangat sukar. Ibu bapa sering menjaga anak lelaki atau anak perempuan mereka yang menghidap penyakit mental teruk. Hal ini boleh menyebabkan banyak tekanan, kebimbangan dan kesedihan kepada ibu bapa. Ibu bapa juga mungkin menghadapi masalah kesihatan, serta berasa tersisih atau terbeban.

Apakah maksud psikoedukasi?

Psikoedukasi ialah proses di mana doktor, jururawat, atau ahli profesional kesihatan mental mendidik pesakit penyakit mental yang teruk dan ahli keluarga mereka (seperti ibu bapa, pasangan hidup atau adik-beradik) tentang keadaan tersebut. Pendidikan ini meliputi topik seperti simptom yang boleh dijangkakan, cara rawatan berfungsi, kemungkinan perjalanan penyakit dan cara menguruskan penjagaan harian. Psikoedukasi dapat membantu ibu bapa berasa lebih yakin dan lebih berkeupayaan untuk menangani cabaran menjaga anak mereka, tanpa mengira usia anak itu. Psikoedukasi selalunya merangkumi sesi berkumpulan bersama ibu bapa yang lain, di mana peserta mendapatkan maklumat, berkongsi pengalaman dan menerima sokongan. Dalam ulasan ini, kami memfokuskan kepada psikoedukasi yang disampaikan secara bersemuka, bukannya dalam talian.

Apakah yang ingin diketahui?

Kami ingin tahu sama ada memberikan sokongan kepada ibu bapa melalui psikoedukasi bersemuka yang disediakan oleh ahli profesional kesihatan atau fasilitator terlatih dapat membantu ibu bapa menghadapi masalah dengan lebih baik apabila anak lelaki atau perempuan mereka menghidap penyakit mental serius. Bentuk sokongan penjaga yang lain tidak disertakan.

Kami membandingkan psikoedukasi dengan intervensi 'tidak aktif' (contoh: tiada rawatan, senarai menunggu, penjagaan biasa) atau rawatan aktif (contoh: ubat-ubatan). Aspek pengalaman ibu bapa yang paling kami minat untuk mengukur ('hasil kritikal') ialah 'perubahan penting klinikal jangka pendek' dalam 'kesejahteraan psikososial' (kesihatan mental, emosi dan sosial), 'perubahan penting klinikal jangka pendek' dalam kualiti hidup serta 'kejadian buruk' (kesan sampingan negatif).

Apakah yang dilakukan?

Kami mencari kajian (jenis yang dikenali sebagai 'kajian rawak terkawal') yang mengukur kesan psikoedukasi bersemuka ke atas ibu bapa pesakit mental serius. Kami menggabungkan keputusan kajian-kajian tersebut dan menilai kebolehpercayaan bukti yang diperoleh.

Apakah yang ditemukan?

Kami mengenal pasti lima kajian yang melibatkan 304 peserta. Kebanyakan peserta ialah wanita berumur melebihi 45 tahun, dan majoriti individu yang mengalami penyakit mental yang teruk menghidap skizofrenia. Kajian-kajian ini dijalankan di Asia (Iran, Indonesia, Jepun dan China) dan diterbitkan antara tahun 2006 hingga 2020. Intervensi psikoedukasi berlangsung selama 3 hingga 12 minggu, dengan 4 hingga 12 sesi.

Kajian-kajian tersebut hanya melaporkan skor purata pada akhir intervensi; tidak melaporkan keputusan sebagai 'sebarang perubahan' atau 'perubahan penting secara klinikal’. Tiada kajian yang melaporkan kejadian buruk. Oleh itu, tiada data yang sedia ada untuk hasil kritikal kami. Walau bagaimanapun, kajian-kajian tersebut mengukur beberapa hasil lain yang kami minati.

Keputusan utama

Berbanding dengan intervensi tidak aktif, psikoedukasi untuk ibu bapa individu yang mengalami penyakit mental yang teruk:

  • mungkin menghasilkan peningkatan yang besar dalam kesejahteraan psikososial ibu bapa dalam jangka pendek (3 kajian, 150 peserta);

  • mungkin menghasilkan peningkatan yang besar dalam kesejahteraan psikososial ibu bapa dalam jangka sederhana (1 kajian, 37 peserta);

  • mempunyai kesan yang sangat tidak menentu terhadap kualiti hidup ibu bapa dalam jangka pendek (1 kajian, 40 peserta);

  • mungkin menghasilkan pengurangan yang besar dalam kebimbangan ibu bapa dalam jangka pendek (1 kajian, 73 peserta); dan

  • mempunyai kesan yang sangat tidak menentu terhadap pengalaman ibu bapa dalam memberikan penjagaan kepada anak-anak mereka dalam jangka pendek (1 kajian, 36 peserta).

Berbanding dengan intervensi aktif lain (tidak termasuk ubat-ubatan), efek psikoedukasi bersama ibu bapa kepada anak-anak yang menghidap penyakit mental teruk terhadap kesejahteraan psikososial ibu bapa dalam jangka pendek dan sederhana adalah sangat tidak menentu (1 kajian, 37 peserta).

Tiada kajian yang membandingkan psikoedukasi dengan ubat-ubatan.

Apakah keterbatasan bukti tersebut?

Ulasan ini menilai kesan psikoedukasi bersemuka terhadap ibu bapa individu yang mempunyai penyakit mental teruk. Bukti adalah terhad, kerana hanya lima kajian kecil dari Asia melaporkan kesan jangka pendek. Kebanyakan peserta ialah ibu kepada penghidap skizofrenia; bapa kurang diwakili. Hasil jangka panjang dan kejadian buruk tidak dilaporkan. Intervensi dan perbandingan adalah berbeza-beza, dan maklumat penting tentang peserta sering kali tiada. Keterbatasan tersebut melemahkan kesimpulan ulasan dan menyerlahkan keperluan untuk kajian yang lebih besar dan direka bentuk dengan baik.

Adakah bukti ini yang terkini?

Bukti ini adalah berdasarkan carian yang dijalankan sehingga 11 November 2024.

Nota terjemahan

Sila hubungi cochrane@rumc.edu.my untuk mengetahui lebih lanjut mengenai ulasan ini. Diterjemah oleh Petrina Ponniah. Disunting oleh Salizawati Muhamad Salhimi (Universiti Sains Malaysia).

Ulasan Cochrane ini pada asalnya dicipta dalam bahasa Inggeris. Ketepatan terjemahan adalah tanggungjawab pasukan terjemahan yang menghasilkannya. Terjemahan dihasilkan dengan berhati-hati dan mengikut proses standard untuk memastikan kawalan kualiti. Namun, sekiranya berlaku ketidakpadanan, terjemahan yang tidak tepat atau tidak sesuai, versi asal Bahasa Inggeris diutamakan.

Petikan
Jimenez Tejero E, Lopez-Alcalde J, Carralero-Montero A, Álvarez-Díaz N, García Sastre M, Asenjo-Esteve ÁL, Castro-Molina FJ, Muriel A, Maravilla Herrera P, Monge Martín D, Cuesta-Lozano D. Face-to-face psychoeducation for the parents of people with severe mental illness. Cochrane Database of Systematic Reviews 2026, Issue 2. Art. No.: CD014532. DOI: 10.1002/14651858.CD014532.pub2.

Penggunaan cookie kami

Kami menggunakan cookie yang diperlukan untuk menjadikan laman web kami berfungsi. Kami juga ingin menetapkan cookie analitik pilihan untuk membantu kami memperbaikinya. Kami tidak akan menetapkan cookie pilihan melainkan anda mengaktifkannya. Menggunakan alat ini akan menetapkan cookie pada peranti anda untuk mengingati pilihan anda. Anda boleh menukar pilihan cookie anda pada bila-bila masa dengan menekan pautan 'Tetapan cookie' di bahagian bawah setiap halaman.
Untuk maklumat lebih terperinci mengenai cookie yang kami gunakan, lihat halaman halaman cookie.

Terima semua
Konfigurasikan