Langkau ke kandungan utama

Apakah rawatan terbaik untuk aneurisma aorta abdomen kompleks?

Pandangan anda amat bermakna

Kami menjalankan tinjauan ringkas untuk memahami penggunaan Ringkasan Bahasa Mudah Cochrane. Klik pautan ini untuk menyertai dan membantu penambahbaikan maklumat kesihatan.

Mesej utama

• Pada masa ini tiada kajian yang mengandungi maklumat tersedia untuk membimbing pesakit dan doktor dalam pemilihan rawatan aneurisma aorta abdomen kompleks (AAA).

• Pelaksanaan penyelidikan dalam bidang ini amat sulit kerana agak sedikit pesakit yang menghidap penyakit ini dan jenis aneurisme yang dihidapi berbeza-beza.

• Penyelidikan masa depan harus meneroka bagaimanakah organisasi yang membiayai dan menyelia perkhidmatan kesihatan dapat mewajibkan atau menggalakkan keterlibatan penghidap AAA dalam kajian yang menyelidik pelbagai jenis rawatan .

Apakah itu aneurisma aorta abdomen?

Aneurisma aorta abdomen (AAA) ialah pelebaran dinding aorta (arteri utama yang menyalurkan darah dari jantung ke seluruh badan) yang melebihi 50% diameter asalnya. Diameter yang melebihi 5.0 hingga 5.5 cm (bergantung pada jantina pesakit) dianggap berpotensi mengancam nyawa, serta membawa risiko pecah. Apabila pelebaran tersebut terjadi berhampiran dengan, bersebelahan, atau di atas arteri yang membekalkan darah ke buah pinggang, tahap kerumitan pilihan rawatan pembedahan meningkat.

Bagaimanakah aneurisma aorta abdomen dirawat?

Terdapat pelbagai jenis pilihan rawatan. Pembaikan menggunakan pendekatan bedah terbuka melibatkan pembedahan besar untuk membuka perut dan menggantikan bahagian aorta yang berpenyakit dengan cantuman fabrik.

Pembaikan yang menggunakan pendekatan endovaskular melibatkan penggunaan panduan sinar-X untuk memasukkan sten logam (alat kecil berbentuk tiub yang diletakkan di dalam saluran darah) yang ditutup dengan fabrik (endograf) menerusi sayatan di pangkal paha. Apabila merawat AAA kompleks yang berdekatan dengan arteri yang membekalkan buah pinggang, adakalanya endograf bertingkap (fenestrated) diperlukan agar membolehkan buah pinggang dan usus terus memperoleh bekalan darah apabila endograf dimasukkan. Ini dipanggil pembaikan aneurisma endovaskular bertingkap (FEVAR).

Terdapat juga pilihan untuk tidak melakukan sebarang prosedur dan kaunseling terhadap pesakit dan keluarga mereka, dan dalam beberapa kes, penggunaan ubat untuk menangani faktor risiko kardiovaskular pesakit. Ini dipanggil pengurusan konservatif.

Adalah tidak jelas yang mana rawatan terbaik untuk penghidap AAA kompleks.

Apakah yang ingin diketahui?

Kami ingin mengetahui sama ada terdapat kajian rawak terkawal yang meneroka sama ada FEVAR, pembaikan pembedahan terbuka ataupun pengurusan konservatif merupakan pilihan terbaik untuk rawatan AAA kompleks. Kajian rawak terkawal merupakan kajian di mana peserta diagihkan secara rawak kepada salah satu daripada dua atau lebih kelompok rawatan. Ini merupakan cara terbaik untuk memastikan kumpulan peserta mempunyai ciri yang serupa, dan penyiasat dan peserta tidak tahu siapakah yang berada dalam kelompok rawatan yang mana. Dalam erti kata lain, RCT bertujuan mengawal faktor yang dapat mempengaruhi hasil kajian, misalnya latar belakang kesihatan peserta, agar membolehkan perbandingan pilihan rawatan secara saksama.

Apakah yang dilakukan?

Kami telah mencari kajian rawak terkawal yang membandingkan FEVAR dengan pendekatan pembaikan pembedahan terbuka atau pengurusan konservatif AAA kompleks. Kami telah mencari kajian yang dilakukan sehingga Mac 2023.

Apakah yang ditemukan?

Kami tidak menemui sebarang kajian yang memenuhi kriteria kemasukan. Terdapat kekurangan bukti untuk menjawab persoalan ini.

Seberapa terkinikah bukti tersebut?

Bukti adalah terkini sehingga Mac 2023.

Nota terjemahan

Sila hubungi cochrane@rumc.edu.my untuk mengetahui lebih lanjut mengenai ulasan ini. Diterjemah oleh Nathanael Lee Yong Sheng (Hospital Seberang Jaya). Disunting oleh Khaw Loke Tim (IMU University).

Ulasan Cochrane ini pada asalnya dicipta dalam bahasa Inggeris. Ketepatan terjemahan adalah tanggungjawab pasukan terjemahan yang menghasilkannya. Terjemahan dihasilkan dengan berhati-hati dan mengikut proses standard untuk memastikan kawalan kualiti. Namun, sekiranya berlaku ketidakpadanan, terjemahan yang tidak tepat atau tidak sesuai, versi asal Bahasa Inggeris diutamakan.

Petikan
Daudu D, Cai PL, Srinivas A, Best LMJ, Cross J, Hammond CJ, Richards T. Fenestrated endovascular repair for abdominal aortic aneurysms. Cochrane Database of Systematic Reviews 2025, Issue 5. Art. No.: CD014226. DOI: 10.1002/14651858.CD014226.pub2.

Penggunaan cookie kami

Kami menggunakan cookie yang diperlukan untuk menjadikan laman web kami berfungsi. Kami juga ingin menetapkan cookie analitik pilihan untuk membantu kami memperbaikinya. Kami tidak akan menetapkan cookie pilihan melainkan anda mengaktifkannya. Menggunakan alat ini akan menetapkan cookie pada peranti anda untuk mengingati pilihan anda. Anda boleh menukar pilihan cookie anda pada bila-bila masa dengan menekan pautan 'Tetapan cookie' di bahagian bawah setiap halaman.
Untuk maklumat lebih terperinci mengenai cookie yang kami gunakan, lihat halaman halaman cookie.

Terima semua
Konfigurasikan