Langkau ke kandungan utama

Seberapa tepatkah indeks jari kaki-brakium dan tekanan darah sistolik jari kaki untuk penyakit arteri periferal?

Mesej-mesej utama

- Pada masa ini terdapat kekurangan bukti berkualiti untuk menyokong penggunaan indeks jari kaki-brakium (TBI) dan tekanan darah sistolik jari kaki (TSBP) untuk mengesan penyakit arteri periferal, dan doktor harus menafsirkan ujian ini dengan berhati-hati.

- Lebih banyak kajian berkualiti tinggi dengan jumlah peserta yang lebih besar adalah diperlukan untuk meningkatkan kepastian bukti.

Mengapakah penambahbaikan diagnosis penyakit arteri periferal penting?

Penyakit arteri periferal menjejaskan kira-kira 236 juta orang di seluruh dunia. Dalam penyakit arteri periferal, arteri yang membekalkan aliran darah ke betis dan kaki dipengaruhi oleh deposit lemak (aterosklerosis), yang menyebabkan penyempitan dan boleh mengakibatkan penyumbatan. Ini boleh mengakibatkan kesakitan, luka dan gangren, yang boleh menyebabkan amputasi. Tidak mengenali penyakit arteri periferal apabila ianya timbul (keputusan ujian negatif palsu) boleh mengakibatkan keadaan itu tidak dirawat dengan sewajarnya atau kelewatan rawatan. Ini boleh menyebabkan peningkatan kadar luka, amputasi dan kematian pramatang. Diagnosis penyakit arteri periferal yang salah (keputusan positif palsu) boleh mengakibatkan pengimejan yang tidak perlu atau preskripsi ubat pengurangan risiko kardiovaskular yang tidak sesuai yang mana tidak ada manfaat yang dapat diperoleh dan potensi untuk kesan sampingan. Diagnosis yang salah juga boleh mengakibatkan tekanan dan kegelisahan bagi pesakit.

Apakah indeks jari kaki-brakium dan tekanan darah sistolik jari kaki?

Doktor mempunyai pelbagai ujian yang tersedia untuk mengesan penyakit arteri periferal, yang tidak invasif dan boleh dilakukan di sebelah katil. Dua daripada ujian ini adalah indeks jari kaki-brakium (TBI) dan tekanan darah sistolik jari kaki (TSBP). TSBP adalah tekanan darah yang diambil pada ibu jari kaki atau jari kaki kedua. Manset tekanan darah kecil dibalut di sekitar jari kaki manakala satu prob Doppler, laser atau fotopletismograf diletakkan pada jari kaki untuk mengesan isyarat aliran darah. Manset kemudiannya dikembungkan sehingga isyarat hilang, dan kemudian secara perlahan-lahan dikempiskan sehingga isyarat tersebut muncul semula. Tekanan di mana isyarat kembali dianggap sebagai TSBP. Untuk mengukur TBI, TSBP hanya dibahagikan dengan tekanan darah tertinggi kedua-dua lengan, menghasilkan satu indeks. Nilai yang lebih rendah menunjukkan bahawa penyakit arteri periferal wujud. Pelbagai nilai ambang yang berbeza digunakan dalam amalan dan penyelidikan.

Apakah yang ingin kami ketahui?

Kami ingin mengetahui seberapa tepatkah TBI dan TSBP untuk mengesan penyakit arteri periferal dalam kalangan orang yang berisiko terkena keadaan tersebut. Kami juga ingin membandingkan ketepatan TBI dengan TSBP.

Apakah yang kami lakukan?

Kami telah mencari kajian yang telah menyiasat ketepatan sama ada TBI atau TSBP untuk penyakit arteri periferal, dan memeriksa kualiti dan kepastian kajian ini.

Apakah yang telah kami temui?

Kami telah menemui 18 kajian: 13 kajian menilai TBI sahaja, satu kajian menilai TSBP sahaja dan empat kajian menilai kedua-dua TBI dan TSBP. TBI dinilai dalam 17 kajian merangkumi 1927 peserta dan TSBP dinilai dalam lima kajian yang merangkumi 701 peserta. Kajian-kajian ini dijalankan di Amerika Syarikat, Australia, UK, Jepun, Korea, Republik Czech, Perancis, Hungary, India dan Iran. Purata julat umur peserta yang dilaporkan adalah antara 63 dan 83 tahun. Kajian ini dilakukan pada orang yang berisiko mendapat penyakit arteri periferal, seperti pesakit diabetes, pesakit buah pinggang, orang tua atau orang yang mempunyai faktor risiko yang diketahui. Walau bagaimanapun, tidak ada kajian yang mencukupi dan kajian yang kami dapati adalah terlalu berbeza antara satu sama yang lain untuk membolehkan anggaran yang boleh dipercayai dibuat mengenai ketepatan keseluruhan ujian bagi mendiagnosis penyakit arteri periferal.

Apakah batasan bukti?

Hanya sebilangan kecil kajian yang disertakan (18) dan kajiannya agak berbeza antara satu sama yang lain. Ini kerana kriteria rangkuman kami luas dan inklusif. Walau bagaimanapun, ini menjadikannya mustahil untuk membandingkan secara langsung atau mengumpulkan (menggabungkan) kajian bersama-sama. Kajian yang kami sertakan secara umumnya berkualiti rendah, dan kami mempunyai keyakinan yang rendah atau sangat rendah terhadap hasilnya. Kajian yang disertakan juga mempunyai beberapa batasan penting dalam cara ianya dijalankan. Ini boleh mengakibatkan TSBP dan TBI kelihatan lebih tepat daripada yang sebenarnya dalam beberapa kajian yang disertakan.

Sejauh manakah bukti ini terkini?

Ulasan ini dijalankan bagi semua kesusasteraan yang diterbitkan sehingga 27 Februari 2024.

Nota terjemahan

Sila hubungi cochrane@rumc.edu.my untuk sebarang pertanyaan berkaitan terjemahan ini. Diterjemah oleh Syed Amirfaiz (Universiti Islam Antarabangsa Malaysia Kuantan). Disunting oleh Khaw Loke Tim (IMU University).

Petikan
Tehan PE, Mills J, Leask S, Oldmeadow C, Peterson B, Sebastian M, Chuter V. Toe-brachial index and toe systolic blood pressure for the diagnosis of peripheral arterial disease. Cochrane Database of Systematic Reviews 2024, Issue 10. Art. No.: CD013783. DOI: 10.1002/14651858.CD013783.pub2.

Penggunaan cookie kami

Kami menggunakan cookie yang diperlukan untuk menjadikan laman web kami berfungsi. Kami juga ingin menetapkan cookie analitik pilihan untuk membantu kami memperbaikinya. Kami tidak akan menetapkan cookie pilihan melainkan anda mengaktifkannya. Menggunakan alat ini akan menetapkan cookie pada peranti anda untuk mengingati pilihan anda. Anda boleh menukar pilihan cookie anda pada bila-bila masa dengan menekan pautan 'Tetapan cookie' di bahagian bawah setiap halaman.
Untuk maklumat lebih terperinci mengenai cookie yang kami gunakan, lihat halaman halaman cookie.

Terima semua
Konfigurasikan