Mesej utama
• Pada mereka yang tidak mempunyai sebab perubatan untuk mengambil ubat pencair darah, antikoagulasi bukan vitamin K (NOAC) antagonis yang diberikan melalui mulut (NOAC), khususnya rivaroxaban dan apixaban, boleh meningkatkan risiko kematian bagi sebarang kemungkinan jika dibandingkan dengan ubat antiplatelet, manakala edoxaban nampaknya hanya mempunyai sedikit atau tiada kesan. Sebarang perbezaan antara rivaroxaban, apixaban, atau edoxaban, dan ubatan antiplatelet pada kematian yang disebabkan oleh penyakit jantung atau saluran darah hanya kebarangkalian kecil. Begitu juga, perbezaan antara rivaroxaban atau edoxaban dan antiplatelet dalam angin ahmar juga mempunyai kebarangkalian kecil. Pada golongan pesakit seperti ini, risiko pendarahan serius mungkin meningkat dengan penggunaan rivaroxaban; walau bagaimanapun, nampaknya terdapat sedikit atau tiada perbezaan pada penggunaan ubatan apixaban dan terapi antiplatelet, dan kami tidak pasti tentang kesan edoxaban terhadap pendarahan yang serius.
• Pada pesakit yang mempunyai sebab perubatan untuk mengambil ubatan pencair darah, NOAC, khususnya apixaban dan edoxaban, ubatan-ubatan ini mempunyai kesan yang sama seperti warfarin dalam mencegah kematian atas sebarang sebab, kematian yang disebabkan oleh penyakit jantung atau saluran darah, dan angin ahmar. Tatkala apixaban boleh membawa kepada kadar pendarahan serius yang sama seperti warfarin pada golongan ini, edoxaban berkemungkinan meningkatkan risiko pendarahan serius jika dibandingkan dengan warfarin.
• Kami tidak pasti jika salah satu jenis NOAC adalah lebih baik daripada yang lain selepas penggantian injap aorta transcatheter (TAVR). Lebih banyak kajian diperlukan yang membandingkan secara langsung perbezaaan dari segi kesan antara jenis-jenis NOAC selepas TAVR.
Apakah penggantian injap aorta transcatheter (TAVR)?
TAVR ialah prosedur penggantian injap jantung yang tidak memerlukan pembedahan jantung terbuka. Ia menggunakan kateter jantung untuk memasukkan injap baru melalui hirisan/ bukaan pembedahan kecil di kaki atau dada. Memilih rawatan terbaik untuk pesakit selepas TAVR kekal sebagai cabaran dalam amalan klinikal .
Apakah yang kami ingin ketahui?
Kami melihat kepada sama ada pencair darah yang terbaharu, antikoagulasi bukan vitamin K (NOAC) antagonis yang diberikan melalui mulut, adalah lebih selamat dan lebih berkesan daripada ubat antiplatelet atau vitamin K antagonis (VKA), seperti warfarin, selepas TAVR.
Apakah yang kami lakukan?
Kami telah mencari kajian-kajian yang melihat kepada manfaat dan kemudaratan NOAC dibandingkan terapi antiplatelet atau VKA selepas TAVR.
Apakah yang kami temui?
Kami menemui lima kajian yang membandingkan tiga jenis NOAC: rivaroxaban, apixaban, dan edoxaban, dengan ubat antiplatelet atau warfarin, salah satunya sedang dijalankan. Penemuan ulasan kami adalah berdasarkan empat kajian yang telah selesai melibatkan 4808 peserta.
Keputusan utama
Kami menemui bahawa pada mereka yang tidak mempunyai sebab perubatan untuk mengambil ubat pencair darah, NOAC rivaroxaban dan apixaban boleh meningkatkan risiko kematian untuk sebarang sebab dibandingkan dengan terapi antiplatelet, manakala edoxaban nampaknya hanya mempunyai sedikit atau tiada kesan. Sebarang perbezaan antara rivaroxaban, apixaban, atau edoxaban, dan ubatan antiplatelet pada kematian yang disebabkan oleh penyakit jantung atau saluran darah hanya kebarangkalian kecil. Begitu juga, perbezaan antara rivaroxaban atau edoxaban dan antiplatelet dalam angin ahmar juga mempunyai kebarangkalian kecil. Pada golongan pesakit seperti ini, risiko pendarahan serius mungkin meningkat dengan penggunaan rivaroxaban; walau bagaimanapun, nampaknya terdapat sedikit atau tiada perbezaan pada penggunaan ubatan apixaban dan terapi antiplatelet, dan kami tidak pasti tentang kesan edoxaban terhadap pendarahan yang serius.
• Pada pesakit yang mempunyai sebab perubatan untuk mengambil ubatan pencair darah, NOAC, khususnya apixaban dan edoxaban, kami mendapati ubatan-ubatan ini mempunyai kesan yang sama seperti warfarin dalam mencegah kematian atas sebarang sebab, kematian yang disebabkan oleh penyakit jantung atau saluran darah, dan angin ahmar. Apixaban boleh memberi kadar kesan pendarahan serius yang sama seperti warfarin, manakala edoxaban mungkin meningkatkan kadar pendarahan serius dibandingkan warfarin.
Kami tidak pasti jika salah satu jenis NOAC adalah lebih baik daripada yang lain. Lebih banyak penyelidikan diperlukan untuk mengetahui dengan pasti.
Apakah batasan bukti?
Kami mempunyai sedikit keyakinan terhadap bukti untuk apixaban dan edoxaban kerana kajian yang disertakan adalah berskala kecil. Kami hanya separa yakin dengan beberapa bukti untuk rivaroxaban, juga disebabkan oleh saiz kajian yang kecil.
Sejauh manakah ulasan ini terkini?
Bukti adalah terkini sehingga Oktober 2023.
Sila hubungi cochrane@rumc.edu.my untuk sebarang pertanyaan berkaitan terjemahan ini. Diterjemah oleh Nadiatul Azra Ahmad Mazlan (IMU University). Disunting oleh Khaw Loke Tim (IMU University).