Langkau ke kandungan utama

Apakah kesan intervensi terhadap penjualan ubat antimikrobial tanpa preskripsi di farmasi komuniti?

Mesej utama

• Tiada bukti jelas bahawa intervensi komponen tunggal yang disasarkan kepada ahli farmasi dan bukan ahli farmasi di farmasi komuniti serta kedai ubat adalah berkesan.

• Apabila intervensi pelbagai komponen digunakan, penjualan ubat antimikrobial tanpa preskripsi mungkin tidak berkurang, tetapi kami sangat tidak pasti mengenai keputusan tersebut.

• Kajian berkualiti lebih baik diperlukan untuk meneliti topik ini secara menyeluruh.

Apakah itu rintangan antimikrob?

Ubat antimikrobial membunuh mikroorganisma seperti bakteria, virus, parasit, dan kulat. Mereka boleh dikelompokkan mengikut mikroorganisma yang mereka sasarkan; contohnya, antibiotik digunakan terhadap bakteria, dan antivirus digunakan terhadap virus. Rintangan antimikrobial ialah keupayaan mikroorganisma untuk bertahan atau berkembang dengan kehadiran ubat-ubatan ini. Banyak mikroorganisma menjadi tahan terhadap ubat antimikrobial akibat penyalahgunaan dan penggunaan berlebihan ubat-ubatan ini, terutamanya dalam persekitaran komuniti. Di banyak negara, ubat antimikrobial disyorkan untuk dijual hanya dengan preskripsi doktor, tetapi sesetengah ahli farmasi dan bukan ahli farmasi di farmasi komuniti serta kedai ubat tetap menjualnya tanpa preskripsi. Walau bagaimanapun, adalah penting untuk diingat bahawa undang-undang berbeza antara negara. Ubat antimikrobial boleh diperoleh tanpa preskripsi di sesetengah negara untuk keadaan tertentu. Kita perlu mengetahui intervensi mana yang berkesan dalam membantu ahli farmasi dan bukan ahli farmasi mengurangkan penjualan ubat antimikrobial tanpa preskripsi di negara yang undang-undangnya tidak membenarkan penjualan ubat antimikrobial tanpa preskripsi.

Apakah yang kami ingin ketahui?

Dalam ulasan ini, kami meneliti sama ada intervensi yang menyasarkan ahli farmasi dan bukan ahli farmasi di farmasi komuniti serta kedai ubat dapat mengurangkan penjualan ubat antimikrobial tanpa preskripsi.

Apa yang kami lakukan?

Kami mencari kajian yang diterbitkan di mana penyelidik meneliti kesan latihan pendidikan, peraturan kerajaan, insentif kewangan, atau pemantauan rakan sebaya dalam mengurangkan penjualan ubat antimikrobial tanpa preskripsi oleh ahli farmasi dan bukan ahli farmasi. Kami membandingkan dan merumuskan hasil kajian serta menilai tahap kepastian bukti berdasarkan metodologi dan saiz kajian.

Apakah yang kami temui?

Kami menyertakan empat kajian yang dijalankan di lima negara: Portugal, Scotland, Thailand, Vietnam, dan Uganda. Kajian-kajian tersebut meneliti tiga jenis intervensi di farmasi komuniti dan kedai ubat: peraturan mengenai penjualan ubat antimikrobial, pendidikan untuk ahli farmasi dan bukan ahli farmasi, serta pemantauan rakan sebaya terhadap penjualan ubat antimikrobial. Apabila ahli farmasi dan bukan ahli farmasi di farmasi komuniti serta kedai ubat menerima lebih daripada satu komponen intervensi, bilangan jualan ubat antimikrob tanpa preskripsi mungkin tidak dikurangkan, tetapi kami sangat tidak pasti tentang keputusan tersebut. Tiada kajian yang mengukur jangkitan tahan ubat atau kesan tidak diingini daripada ubat antimikrobial pada pengguna farmasi. Kajian lanjut mengenai topik ini diperlukan, terutamanya yang meneliti kesan intervensi komponen tunggal.

Sejauh manakah ulasan ini terkini?

Bukti adalah terkini sehingga September 2022.

Nota terjemahan

Sila hubungi cochrane@rumc.edu.my untuk sebarang pertanyaan berkaitan terjemahan ini. Diterjemah oleh Leong Siew Lian (Monash University Malaysia). Disunting oleh Khaw Loke Tim (IMU University).

Petikan
Thandar MM, Baba T, Matsuoka S, Ota E. Interventions to reduce non-prescription antimicrobial sales in community pharmacies. Cochrane Database of Systematic Reviews 2025, Issue 1. Art. No.: CD013722. DOI: 10.1002/14651858.CD013722.pub2.

Penggunaan cookie kami

Kami menggunakan cookie yang diperlukan untuk menjadikan laman web kami berfungsi. Kami juga ingin menetapkan cookie analitik pilihan untuk membantu kami memperbaikinya. Kami tidak akan menetapkan cookie pilihan melainkan anda mengaktifkannya. Menggunakan alat ini akan menetapkan cookie pada peranti anda untuk mengingati pilihan anda. Anda boleh menukar pilihan cookie anda pada bila-bila masa dengan menekan pautan 'Tetapan cookie' di bahagian bawah setiap halaman.
Untuk maklumat lebih terperinci mengenai cookie yang kami gunakan, lihat halaman halaman cookie.

Terima semua
Konfigurasikan