Mesej utama
• Bagi orang yang bimbang tentang pemikiran atau ingatan mereka, adalah tidak pasti sama ada ginkgo lebih baik daripada plasebo (rawatan palsu) untuk memperbaiki keadaan keseluruhan mereka selepas enam bulan.
• Bagi orang dengan sklerosis berbilang (multiple sclerosis) dan masalah dengan pemikiran atau ingatan, ginkgo kemungkinannya tidak lebih baik daripada plasebo untuk memperbaik pemikiran selepas tiga bulan.
• Bagi pesakit yang didiagnosis dengan kemerosotan kognitif ringan tetapi bukan demensia, ginkgo kemungkinannya tidak lebih baik daripada plasebo untuk memperbaik keadaan keseluruhan, pemikiran, atau kemahiran yang diperlukan untuk menyelesaikan tugasan harian mereka selepas enam bulan.
• Bagi pesakit yang didiagnosis menghidap demensia, ginkgo mungkin lebih baik daripada plasebo untuk memperbaik keadaan keseluruhan, pemikiran keseluruhan, dan kemahiran yang diperlukan untuk menyelesaikan tugasan harian mereka selepas enam bulan. Walau bagaimanapun, setiap kajian mempunyai anggaran yang sangat berbeza tentang kesan ginkgo, menjadikan ianya sukar untuk membuat kesimpulan yang kukuh.
• Kajian yang membandingkan ginkgo dengan plasebo untuk kemerosotan kognitif ringan atau demensia mendapati bahawa mungkin tiada peningkatan risiko kemudaratan dengan ginkgo.
Apakah itu kemerosotan kognitif dan demensia?
Kemerosotan kognitif adalah pola masalah dengan pemikiran, pembelajaran, mengingat, atau membuat keputusan. Ia mungkin juga boleh melibatkan perubahan angin, tingkah laku, atau motivasi. Demensia ialah istilah umum untuk kemerosotan kognitif serius yang mengganggu kehidupan seharian dan aktiviti biasa. Risiko demensia meningkat dengan usia, dan jenis demensia yang paling biasa didiagnosis di kalangan orang dewasa yang sudah berumur ialah penyakit Alzheimer.
Bagaimanakah kemerosotan kognitif dan demensia dirawat?
Tiada rawatan sedia ada yang telah terbukti dapat menghentikan atau memperlahankan perkembangan kemerosotan kognitif atau demensia. Ubat-ubatan seperti perencat kolinesterase boleh memperbaik gejala, dan terapi bukan perubatan juga boleh membantu.
Apakah yang ingin diketahui?
Kami ingin mengetahui sama ada ubatan berasaskan tumbuhan Ginkgo biloba (ginkgo) boleh membantu merawat kemerosotan kognitif atau demensia, terutamanya sama ada ia mungkin membantu kemahiran berfikir dan kemahiran yang diperlukan untuk menyelesaikan tugasan harian. Kami juga ingin tahu sama ada ginkgo boleh membantu orang yang bimbang tentang pemikiran mereka, atau mempunyai masalah dengan pemikiran yang berkait dengan sklerosis berbilang.
Apakah yang dilakukan?
Kami mencari kajian-kajian yang menguji ginkgo untuk orang dengan masalah pemikiran atau diagnosis kemerosotan kognitif ringan atau demensia. Pesakit perlu dirawat selama sekurang-kurangnya tiga bulan. Kami merumuskan hasil kajian-kajian ini secara berasingan untuk jenis masalah pemikiran atau diagnosis yang berbeza. Kami menilai keyakinan kami terhadap bukti berdasarkan faktor-faktor seperti sebaik mana kajian dijalankan, sejauh mana besarnya kajian tersebut, dan sama ada pelbagai kajian mempunyai hasil yang serupa atau berbeza.
Apakah yang ditemukan?
Kami menemukan 82 kajian melibatkan 10,613 orang yang bimbang tentang masalah pemikiran, mempunyai masalah pemikiran yang berkait dengan sklerosis berbilang, atau mempunyai diagnosis kemerosotan kognitif ringan atau demensia. Kajian-kajian membandingkan ginkgo dengan plasebo (rawatan palsu) atau ubat-ubatan lain, atau menambahkan ginkgo kepada rawatan lain. Lebih separuh daripada kajian-kajian tersebut dijalankan di China.
Keputusan utama
Bagi pesakit yang bimbang tentang ingatan dan pemikiran mereka, adalah tidak pasti sama ada ginkgo lebih baik daripada plasebo untuk memperbaik keadaan keseluruhan mereka selepas enam bulan. Satu kajian mendapati tiada perbezaan kemudaratan antara ginkgo dan plasebo selepas enam bulan. Walau bagaimanapun, satu lagi kajian yang hanya berlangsung selama tiga bulan mendapati bahawa mungkin terdapat lebih banyak mudarat keseluruhan dengan ginkgo.
Bagi pesakit yang mempunyai masalah kognitif berkait dengan sklerosis berbilang, rawatan dengan ginkgo dan bukannya plasebo selama tiga bulan mungkin memberi sedikit atau tiada perbezaan terhadap kemahiran berfikir. Tiada kajian yang melaporkan jumlah bilangan pesakit yang mengalami kemudaratan. Dua pesakit dalam satu kajian mengalami kemudaratan serius yang mungkin tidak berkaitan dengan ginkgo.
Bagi pesakit yang didiagnosis dengan kemerosotan kognitif ringan, rawatan dengan ginkgo dan bukannya plasebo selama enam bulan mungkin memberi sedikit atau tiada perbezaan terhadap keadaan keseluruhan, kemahiran berfikir, atau kemahiran yang diperlukan untuk menjalankan aktiviti harian mereka. Mungkin terdapat sedikit atau tiada perbezaan antara ginkgo dan plasebo dalam risiko untuk sebarang kemudaratan sehingga 12 bulan, dan terdapat sedikit hingga tiada perbezaan dalam risiko untuk kemudaratan serius.
Bagi pesakit yang didiagnosis menghidap demensia, rawatan dengan ginkgo dan bukannya plasebo selama enam bulan boleh membawa kepada beberapa peningkatan dalam keadaan keseluruhan, kemahiran berfikir, dan kemahiran yang diperlukan untuk menjalankan aktiviti harian mereka. Mungkin terdapat sedikit atau tiada perbezaan antara ginkgo dan plasebo dalam risiko untuk sebarang kemudaratan sehingga 12 bulan, dan mungkin terdapat sedikit hingga tiada perbezaan dalam risiko untuk kemudaratan serius.
Apakah keterbatasan bukti tersebut?
Banyak kajian mempunyai masalah dengan kaedah, dan kadangkala terdapat penemuan yang tidak konsisten antara kajian, yang menjadikan kami kurang pasti tentang hasilnya. Sedikit kajian menguji ginkgo untuk demensia melebihi enam bulan, jadi potensi manfaat dan mudarat penggunaan jangka panjang untuk demensia tidak diketahui.
Adakah bukti ini yang terkini?
Bukti adalah terkini sehingga November 2024.
Sila hubungi cochrane@rumc.edu.my untuk mengetahui lebih lanjut mengenai ulasan ini. Diterjemah oleh Irfan Mohamad (Universiti Sains Malaysia). Disunting oleh Aishah Ibrahim (University of Warwick, UK).
Ulasan Cochrane ini pada asalnya dicipta dalam bahasa Inggeris. Ketepatan terjemahan adalah tanggungjawab pasukan terjemahan yang menghasilkannya. Terjemahan dihasilkan dengan berhati-hati dan mengikut proses standard untuk memastikan kawalan kualiti. Namun, sekiranya berlaku ketidakpadanan, terjemahan yang tidak tepat atau tidak sesuai, versi asal Bahasa Inggeris diutamakan.