Mesej utama
-
Berbanding dengan plasebo, cladribine berkemungkinan mengurangkan risiko penyakit menyerang kembali, dan ia boleh mengurangkan bilangan luka baharu yang dilihat pada imbasan otak pada mereka yang menghidap multiple sclerosis selepas hampir dua tahun rawatan, tetapi bukti sangat tidak pasti. Cladribine mungkin memberi sedikit atau tiada perbezaan dalam memperlahankan perkembangan kecacatan selepas hampir dua tahun rawatan. Berbanding dengan plasebo, cladribine mungkin tidak mengubah risiko kesan sampingan yang serius, tetapi bukti sangat tidak pasti.
-
Kajian yang dijalankan dalam tempoh yang lebih panjang dan mempunyai kualiti yang lebih baik diperlukan untuk menilai manfaat dan kemudaratan cladribine yang bertindak ke atas sistem imun dalam multiple sclerosis. Penyelidikan pada masa hadapan harus membandingkan cladribine dengan ubat yang lain yang digunakan sebagai rawatan penyakit ini, dengan memberi tumpuan kepada kesan yang paling penting kepada pesakit, seperti kualiti hidup dan keupayaan untuk menyelesaikan tugasan harian. Kajian pada masa hadapan juga harus merangkumi populasi yang berisiko untuk menghidap penyakit ini.
Apakah multiple sclerosis (MS)?
Multiple sclerosis (MS) ialah penyakit luar biasa yang disebabkan oleh keradangan otak dan saraf tunjang, yang membawa kepada kerosakan yang menjejaskan aktiviti harian yang penting dari masa ke semasa, seperti berjalan dan penjagaan diri. Penghidap MS mengalami gejala seperti gangguan penglihatan, rasa kebas/kesemutan, lemah, pundi kencing dan usus yang kurang atau tidak berfungsi, masalah dengan kebolehan mental, keletihan dan rasa tidak stabil/ pening. Gejala-gejala ini boleh bertambah buruk dan menyebabkan kebergantungan kepada orang lain. Kemunculan semula gelaja-gejala ini selepas diberi rawatan dipanggil sebagai relapse. Keadaan MS yang paling biasa dilihat ialah relapsing-remitting, di mana gejala-gejala datang ('relaps') dan pergi ('remit'). Lama kelamaan, relaps akan menjadi lebih kerap dengan gejala-gejala yang lebih serius dan jangkamasa pesakit berada dalam keadaan sihat diantara dua relaps menjadi lebih singkat. MS merupakan keadaan yang sangat membebankan; ia biasanya berlaku pada pesakit semasa usia muda mereka, terutamanya wanita, pada peringkat paling aktif dalam hidup mereka.
Bagaimanakah multiple sclerosis (MS) dirawat?
MS kini dirawat dengan ubat 'pengubahsuaian penyakit' (contohnya interferon beta, glatiramer acetate, natalizumab, fingolimod, alemtuzumab, teriflunomide dan dimethyl fumarate). Ubat-ubatan ini boleh melambatkan tetapi tidak menghalang perkembangan penyakit.
Apakah yang ingin diketahui?
Punca sebenar MS tidak difahami sepenuhnya, tetapi kita tahu bahawa keradangan, yang disebabkan oleh sel imun tertentu (sel T dan B), memainkan peranan penting. Cladribine berfungsi dengan mengurangkan beberapa sel imun ini dalam darah dan otak, yang boleh membantu mengurangkan keradangan dan memperlahankan perkembangan penyakit. Kami ingin tahu sama ada cladribine boleh memperlahankan atau menghentikan kemerosotan kecacatan di kalangan pesakit dengan penyakit MS, tanpa peningkatan dalam kesan-kesan sampingan yang tidak diingini.
Apakah yang dilakukan?
Kami telah mencari kajian-kajian yang membandingkan cladribine tanpa rawatan, plasebo (rawatan palsu), atau sebarang ubat 'pengubahsuaian penyakit' di kalangan pesakit dengan penyakit MS. Kami membandingkan dan merumuskan keputusan kajian-kajian serta menilai keyakinan kami terhadap bukti berdasarkan beberapa faktor seperti kaedah kajian dan bilangan peserta.
Apakah yang ditemukan?
Kami sertakan15 kajian dengan reka bentuk seperti berikut.
-
Sembilan kajian terkawal rawak (RCT, di mana peserta diletakkan secara rawak kepada dua atau lebih kumpulan rawatan) yang mengikuti perkembangan seramai 2571 peserta selama satu hingga dua tahun.
-
Empat kajian lanjutan berlabel terbuka (OLE, di mana peserta daripada RCT ditawarkan akses berterusan kepada rawatan kajian) yang mengikuti peserta selama dua hingga 10 tahun lagi.
-
Dua kajian pemerhatian (menggunakan data 'kehidupan sebenar') yang membandingkan cladribine dengan ubat 'pengubahsuaian penyakit' yang lain dalam kalangan 4111 orang dalam tempoh satu hingga tiga tahun.
Hasil-hasil penting untuk pesakit, seperti kualiti hidup dan masalah pemikiran atau ingatan, tidak dilaporkan dalam mana-mana kajian.
Keputusan daripada RCT menunjukkan bahawa cladribine mungkin mengurangkan risiko penyakit itu kembali semula dibandingkan dengan plasebo. Ia juga boleh mengurangkan bilangan kecederaan baharu yang dilihat pada imbasan pengimejan resonans magnetik (MRI) otak, walaupun bukti sangat tidak pasti. Walau bagaimanapun, cladribine mungkin mempunyai sedikit atau tiada kesan yang mengakibatkan sama ada kecacatan menjadi lebih teruk. Ada kemungkinan terdapat sedikit atau tiada perbezaan antara cladribine dan plasebo dalam bilangan pesakit yang melaporkan kesan sampingan yang tidak diingini yang serius dan berhenti menggunakan rawatan, dan cladribine boleh meningkatkan risiko kesan sampingan yang tidak diingini, tetapi keyakinan kami terhadap keputusan ini adalah sangat rendah.
Keputusan daripada OLE menunjukkan bahawa cladribine mungkin meningkatkan kadar pesakit yang tidak menunjukkan tanda-tanda penyakit yang semakin teruk dalam masa empat tahun dibandingkan plasebo. Ia mungkin mengurangkan relaps dan bilangan kecederaan MRI baharu, tetapi bukti sangat tidak pasti. Ia mungkin memberi sedikit atau tiada kesan yang mengakibatkan kecacatan menjadi lebih teruk, sama ada pesakit mengalami kesan-kesan yang tidak diingini, atau sama ada mereka berhenti menggunakan rawatan, tetapi kami mempunyai keyakinan yang sangat sedikit terhadap keputusan ini.
Daripada kajian pemerhatian yang membandingkan cladribine dengan ubat-ubatan yang lain, keputusannya bercampur-campur: cladribine dilihat bertindak lebih baik daripada beberapa ubat yang lain (dimetil fumarat, teriflunomide dan fingolimod pada tiga tahun) untuk mengurangkan relaps, tetapi kesannya terhadap hasil ini dibandingkan dengan fingolimod, natalizumab dan interferon beta untuk jangkamasa satu tahun masih tidak jelas.
Apakah keterbatasan bukti tersebut?
Keyakinan kami terhadap kesan cladribine adalah terhad disebabkan oleh penyelidikan yang berkualiti rendah dan kehilangan tumpuan terhadap keperluan mereka yang terjejas. Kebanyakan kajian telah dijalankan oleh syarikat pengilangan cladribine. Terdapat kebimbangan bahawa penglibatan mereka boleh mempengaruhi pelaporan hasil kajian.
Adakah bukti ini yang terkini?
Bukti ini terkini sehingga Februari 2025.
Sila hubungi cochrane@rumc.edu.my untuk mengetahui lebih lanjut mengenai ulasan ini. Diterjemah oleh Nadiatul Azra Ahmad Mazlan (IMU University). Disunting oleh Mohamad Masykurin Mafauzy (Universiti Sains Malaysia).
Ulasan Cochrane ini pada asalnya dicipta dalam bahasa Inggeris. Ketepatan terjemahan adalah tanggungjawab pasukan terjemahan yang menghasilkannya. Terjemahan dihasilkan dengan berhati-hati dan mengikut proses standard untuk memastikan kawalan kualiti. Namun, sekiranya berlaku ketidakpadanan, terjemahan yang tidak tepat atau tidak sesuai, versi asal Bahasa Inggeris diutamakan.