Mesej utama
• Program - program dianjurkan oleh organisasi sukan mungkin menggalakkan orang ramai menjadi lebih aktif secara fizikal.
• Program-program dianjurkan oleh organisasi sukan berkemungkinan hanya memberi sedikit atau tiada perbezaan kepada jumlah masa mereka yang tidak aktif (sedentari). Program-program ini boleh meningkatkan jumlah buah-buahan dan sayur-sayuran yang dimakan oleh orang ramai.
• Kami tidak tahu sama ada program-program dianjurkan oleh organisasi sukan memberi apa-apa perbezaan kepada bilangan minuman manis dan minuman beralkohol yang diambil oleh orang ramai, atau penggunaan tembakau mereka, kerana bukti sangat tidak pasti.
Apakah tingkah laku yang sihat dan mengapakah ini penting?
Penyakit kronik adalah penyebab utama kematian dan penyakit di seluruh dunia. Risiko menghidapi penyakit kronik boleh dikurangkan dengan tingkah laku yang sihat, seperti makan pemakanan yang sihat dan aktif secara fizikal. Organisasi sukan adalah terkenal di kebanyakkan negara dan berkemungkinan merupakan cara yang berkesan untuk menggalakkan tingkah laku yang sihat atau meningkatkan taraf kesihatan.
Apakah yang kami ingin ketahui?
Kami ingin tahu sama ada program - program yang dijalankan oleh organisasi sukan berkesan dalam menggalakkan tingkah laku sihat dan meningkatkan kesihatan orang ramai. Program yang kami minati mungkin bertujuan untuk pemain dan bukan pemain daripada organisasi sukan, jurulatih, penyokong, pelajar sekolah atau kolej, ibu bapa pemain dan lain-lain.
Apa yang kami lakukan?
Kami telah mencari kajian - kajian yang membandingkan hasil berkaitan kesihatan orang ramai yang dibahagikan secara rawak kepada dua atau lebih kumpulan: kumpulan yang mengikuti program mempromosikan tingkah laku sihat berbanding kumpulan yang tidak mengambil bahagian dalam program eksperimen (kumpulan 'kawalan'). Kajian-kajian yang diperlukan untuk menguji program yang bertujuan untuk menggalakkan tingkah laku yang sihat (seperti aktiviti fizikal atau pemakanan yang sihat), menggurangkan tingkah laku yang tidak sihat (seperti mengambil alkohol atau merokok), atau meningkatkan hasil dalm aspek seperti berat badan, tekanan darah atau pengetahuan berkaitan kesihatan orang ramai.
Apakah yang kami temui?
Kami telah menemui 20 kajian yang melibatkan sejumlah 8179 orang. Kebanyakan kajian menyasarkan ahli atau penyokong organisasi sukan untuk dewasa, dan dijalankan di kelab bola sepak (contohnya seoerti bola sepak, bola sepak Amerika, liga bola sepak Australia). Empat belas kajian menilai program - program yang menyasarkan satu atau lebih tingkah laku yang sihat atau tidak sihat. Semua kajian telah dijalankan di negara berpendapatan tinggi. Lebih separuh daripada kajian (11 kajian) hanya melibatkan responden lelaki, dan satu kajian hanya melibatkan responden wanita.
Penemuan utama
Berbanding dengan mereka di dalam kumpulan kawalan, mereka yang terlibat dengan atau terdedah kepada program organisasi sukan:
• mungkin meningkatkan aktiviti fizikal mereka sebanyak 7.4 minit sehari;
• mungkin tidak mengurangkan jumlah masa mereka tidak aktif (sedentari);
• mungkin mengambil lebih banyak buah-buahan dan sayur-sayuran.
Walau bagaimanapun, adalah tidak pasti sama ada program - program yang dianjurkan oleh organisasi sukan itu memberi kesan kepada penggunaan minuman manis, penggunaan alkohol atau penggunaan tembakau.
Adalah tidak pasti samada organisasi sukan mempunyai kesan sampingan yang membahayakan kepada mereka yang terlibat. Hasil kajian memberi maklum balas yang bercampur yang melaporkan tentang kesan negatif yang tidak diingini.
Apakah batasan bukti?
Keyakinan kami terhadap bukti adalah sederhana hingga rendah; bukti lebih lanjut boleh mengubah keputusan kami. Empat faktor utama mengurangkan keyakinan kami. • Pertama sekali, beberapa kajian memberi tumpuan kepada populasi tertentu, dan soalan yang ingin kami jawab adalah lebih luas. Sebagai contoh, kebanyakan bukti untuk hasil utama kajian kami (termasuk sebarang perubahan dalam aktiviti fizikal samada aktif/tidak aktif, dan pengambilan buah-buahan, sayur-sayuran dan minuman manis) datang daripada kajian yang melibatkan lelaki dengan risiko berkaitan kesihatan, seperti berat badan berlebihan dan obesiti, dan penyokong bola sepak lelaki. Kedua, dalam beberapa kajian, responden mengetahui rawatan yang mereka terima, dan dalam kajian yang lain tidak melaporkan dengan jelas sama ada mereka yang mengambil bahagian mempunyai pengetahuan tentang rawatan yang mereka terima. Ketiga, keputusan untuk beberapa hasil didapati sangat tidak konsisten di antara kajian-kajian yang terlibat. Akhir sekali, beberapa kajian adalah berskala kecil.
Sejauh manakah bukti ini terkini?
Bukti ini adalah yang terkini sehingga Mei 2024.
Sila hubungi cochrane@rumc.edu.my untuk sebarang pertanyaan berkaitan terjemahan ini. Diterjemah oleh Nadiatul Azra Ahmad Mazlan (IMU University). Disunting oleh Mohd. Shaharudin Shah Che Hamzah (Universiti Sains Malaysia).