Langkau ke kandungan utama

Apakah kesan menggunakan saliran dibandingkan tanpa saliran selepas pembedahan pembuangan apendiks untuk merawat keradangan apendiks yang rumit?

Bantu menambah baik Ringkasan Cochrane – lengkapkan survey ringkas ini

Mesej utama

• Kami tidak tahu sama ada penggunaan saliran (tiub) selepas pembukaan (di mana potongan besar dibuat untuk mengakses organ atau tisu di bawahnya) atau lubang kunci (pembedahan yang dilakukan melalui potongan pembedahan yang sangat kecil) pembuangan apendiks mempunyai kesan penting terhadap kadar abses abdomen (pengumpulan nanah di dalam abdomen), kadar jangkitan luka, atau kadar komplikasi keseluruhan dalam kalangan kanak-kanak dan dewasa dengan keradangan apendiks yang rumit (kematian, pereputan, atau perforasi apendiks).

• Penggunaan saliran selepas pembuangan apendiks secara terbuka mungkin meningkatkan kadar kematian dalam kalangan kanak-kanak dan dewasa dengan keradangan apendiks yang rumit.

• Penggunaan saliran selepas pembuangan apendiks secara terbuka atau lubang kunci mungkin meningkatkan tempoh penginapan hospital dalam kalangan kanak-kanak dan dewasa yang menghidap keradangan apendiks yang rumit, tetapi kami sangat tidak pasti tentang keputusanya.

Apakah keradangan apendiks yang rumit?

Apendiks manusia adalah tiub yang terletak pada sambungan di antara usus kecil dan besar. Istilah 'apendisitis' (keradangan apendiks) merangkumi pelbagai keadaan yang terhasil daripada bengkak apendiks yang menyakitkan. Keradangan apendiks yang rumit ditakrifkan sebagai keradangan apendiks gangren (kematian dan pereputan apendiks) atau keradangan apendiks berlubang (apendiks pecah).

Bagaimana ini diuruskan?

Orang dengan keradangan apendiks yang rumit (keradangan apendiks gangren atau berlubang) biasanya memerlukan pembedahan pembuangan apendiks untuk melegakan gejala mereka dan mengelakkan komplikasi. Individu yang menjalani pembedahan pembuangan apendiks untuk keradangan apendiks yang rumit lebih cenderung mengalami komplikasi selepas pembedahan berbanding keradangan apendiks yang tidak rumit. Penempatan saliran pembedahan rutin untuk mencegah abses abdomen selepas pengeluaran appendiks untuk keradangan apendiks yang rumit telah dipersoalkan. Penggunaan saliran mungkin mengurangkan risiko abses abdomen, tetapi ia juga mungkin tidak bermanfaat dan mungkin mengakibatkan bahaya.

Apakah yang ingin diketahui?

Kami ingin mengetahui sama ada penggunaan saliran selepas pembuangan apendiks secara terbuka atau lubang kunci adalah berkesan dalam mengurangkan kadar abses abdomen bagi orang dengan keradangan apendiks yang rumit dalam mana-mana tetapan penjagaan.

Kami ingin mengkaji penggunaan saliran berbanding tanpa saliran dengan melihat:

• kadar abses abdomen;

• kadar jangkitan luka;

• kadar komplikasi keseluruhan;

• kadar kematian;

• tempoh tinggal di hospital.

Apakah yang dilakukan?

Kami mencari kajian yang membandingkan penggunaan saliran dengan tanpa saliran selepas pembedahan membuang apendiks untuk orang dengan keradangan apendiks yang rumit. Tiada sekatan pada bahasa, tarikh penerbitan, atau tetapan kajian. Kami membanding dan merumuskan keputusan-keputusan kajian tersebut dan menilai tahap keyakinan kami terhadap bukti berdasarkan faktor-faktor seperti kaedah dan saiz kajian.

Apakah yang ditemukan?

Kami menemui lapan kajian di mana 739 kanak-kanak dan dewasa dengan keradangan apendiks yang rumit telah diberikan secara rawak sama ada menggunakan saliran (370 peserta) atau tanpa saliran (369 peserta) selepas pembuangan apendiks secara terbuka atau lubang kunci.

Kami tidak pasti sama ada penggunaan saliran dalam kalangan kanak-kanak dan dewasa selepas pengeluaran apendiks secara terbuka atau lubang kunci dapat mengurangkan:

• kadar abses abdomen (9 lagi abses abdomen bagi setiap 1000 peserta);

• kadar jangkitan luka; atau

• kadar komplikasi keseluruhan.

Berbanding tanpa saliran, penggunaan saliran mungkin meningkatkan kadar kematian dalam kalangan kanak-kanak dan dewasa selepas pembedahan apendiks secara terbuka. Penggunaan saliran mungkin meningkatkan tempoh tinggal di hospital dalam kalangan kanak-kanak dan dewasa selepas pengeluaran apendiks secara terbuka atau lubang kunci, tetapi kami sangat tidak pasti tentang keputusan ini.

Apakah keterbatasan bukti tersebut?

Kami beryakinan sangat rendah dengan bukti kerana ada kemungkinan orang dalam kajian mengetahui rawatan yang mereka terima, dan tidak semua kajian memberikan data tentang semua yang kami minati. Tambahan pula, beberapa kajian tidak melaporkan dengan jelas bagaimana ia dijalankan, dan tidak ada kajian yang mencukupi untuk kami memastikan keputusan hasil kami.

Adakah bukti ini yang terkini?

Ulasan ini mengemaskini ulasan kami yang terdahulu. Bukti adalah terkini sehingga Oktober 2023.

Nota terjemahan

Sila hubungi cochrane@rumc.edu.my untuk mengetahui lebih lanjut mengenai ulasan ini. Diterjemah oleh Nicole Fong Wan June (Hospital Pulau Pinang). Dikemaskini oleh Cochrane Malaysia. Disunting oleh Shazlin Shaharudin (Universiti Sains Malaysia).

Ulasan Cochrane ini pada asalnya dicipta dalam bahasa Inggeris. Ketepatan terjemahan adalah tanggungjawab pasukan terjemahan yang menghasilkannya. Terjemahan dihasilkan dengan berhati-hati dan mengikut proses standard untuk memastikan kawalan kualiti. Namun, sekiranya berlaku ketidakpadanan, terjemahan yang tidak tepat atau tidak sesuai, versi asal Bahasa Inggeris diutamakan.

Petikan
Tang Y, Liu J, Bai G, Cheng N, Deng Y, Cheng Y. Abdominal drainage to prevent intraperitoneal abscess after appendectomy for complicated appendicitis. Cochrane Database of Systematic Reviews 2025, Issue 4. Art. No.: CD010168. DOI: 10.1002/14651858.CD010168.pub5.

Penggunaan cookie kami

Kami menggunakan cookie yang diperlukan untuk menjadikan laman web kami berfungsi. Kami juga ingin menetapkan cookie analitik pilihan untuk membantu kami memperbaikinya. Kami tidak akan menetapkan cookie pilihan melainkan anda mengaktifkannya. Menggunakan alat ini akan menetapkan cookie pada peranti anda untuk mengingati pilihan anda. Anda boleh menukar pilihan cookie anda pada bila-bila masa dengan menekan pautan 'Tetapan cookie' di bahagian bawah setiap halaman.
Untuk maklumat lebih terperinci mengenai cookie yang kami gunakan, lihat halaman halaman cookie.

Terima semua
Konfigurasikan