Langkau ke kandungan utama

Bolehkah sistem automatik mengurangkan masa yang digunakan oleh orang dalam mesin pernafasan di unit rawatan rapi?

Mesej utama

  • Dibandingkan dengan kaedah yang diuruskan oleh pakar klinikal, sistem yang secara automatik menyesuaikan sokongan pernafasan kepada keperluan pesakit (sistem pengudaraan automatik) mungkin mengurangkan masa yang dihabiskan untuk mesin pernafasan, dan mungkin membawa kepada pengurangan sedikit masa yang dihabiskan dalam unit rawatan rapi dan di hospital. Sistem ini mungkin membuat sedikit atau tiada perbezaan dalam bilangan orang yang mati, tetapi mungkin mengurangkan keperluan untuk memasukkan semula tiub pernafasan (intubasi semula) dan keperluan untuk mencipta lubang di bahagian depan leher untuk memasukkan tiub (trakeostomi).

  • Terdapat keperluan untuk lebih banyak kajian dalam kanak-kanak. Kajian masa depan harus mengukur kualiti hidup pesakit.

Apakah sistem pengudaraan automatik?

Kebanyakan orang yang sakit kritikal memerlukan bantuan daripada mesin pernafasan (ventilator). Mengurangkan tahap sokongan pernafasan dan mengalihkan pesakit kepada pernafasan normal (satu proses yang dipanggil sebagai penyapihan) memerlukan kedua-dua kepakaran dan pemantauan berterusan. Sekiranya kaedah penyapihan tidak optimum, pesakit mungkin menghabiskan terlalu lama menggunakan ventilator, menyebabkan mereka berisiko mengalami kecederaan paru-paru, radang paru-paru, dan kematian. Kadangkala, kekangan organisasi mencegah penyampaian penjagaan yang paling berkesan dan cekap. Sistem pengudaraan automatik mungkin memberikan penyelesaian kepada masalah tersebut. Sistem ini memantau pesakit secara berterusan dan melaraskan tahap sokongan pernafasan tanpa memerlukan ahli kumpulan klinikal untuk campur tangan.

Apa yang kami ingin tahu?

Kami ingin mengetahui sama ada sistem pernafasan automatik adalah lebih baik daripada pengurusan penyapihan oleh pakar klinikal untuk mengurangkan:

  • tempoh pengudaraan ventilasi mekanikal;

  • kematian;

  • tempoh unit rawatan rapi dan penginapan di hospital;

  • peristiwa-peristiwa yang tidak diingini yang dikaitkan dengan semasa berada di ventilator, seperti keperluan untuk memasukkan semula tiub pernafasan (reintubasi) atau keperluan untuk mewujudkan lubang di bahagian depan leher untuk memasukkan tiub (trakeostomi); dan

  • kualiti hidup pesakit.

Apa yang kami lakukan?

Kami telah mencari kajian yang membandingkan pengudaraan automatik dengan kaedah penyapihan klinikal dalam orang dewasa dan kanak-kanak. Kami telah membandingkan dan merumuskan keputusan dan menilai keyakinan kami terhadap bukti berdasarkan faktor seperti kaedah dan saiz kajian.

Apa yang kami temui?

Kami telah menemui 62 kajian yang telah menyertakan 5052 orang (4834 orang dewasa dan 218 kanak-kanak). Sebab orang perlu menggunakan ventilator adalah disebabkan mereka telah mengalami radang paru-paru atau jangkitan lain, mereka telah cedera parah, atau mereka telah menjalani pembedahan. Kajian tersebut telah menilai beberapa sistem pengudaraan automatik sedia ada secara komersial.

Keputusan utama

Berbanding dengan kaedah penyapihan klinikal, sistem penyapihan automatik:

  • mungkin mengurangkan masa pada ventilator sekitar 24%, atau 1.7 hari dalam orang dewasa dan 16 jam dalam kanak-kanak;

  • mungkin mempunyai sedikit atau tiada kesan terhadap bilangan orang yang mati;

  • mungkin mengurangkan tempoh penginapan di unit rawatan rapi sekitar 14%, atau 1.3 hari dalam orang dewasa dan 0.6 hari dalam kanak-kanak;

  • mungkin mengurangkan tempoh penginapan di hospital sekitar 10%, atau 2 hari dalam orang dewasa dan 0.9 hari dalam kanak-kanak;

  • mungkin mengurangkan keperluan untuk intubasi semula; dan

  • mungkin mengurangkan keperluan untuk trakeostomi.

Tiada kajian yang telah melaporkan kualiti hidup berkaitan dengan kesihatan.

Apakah batasan bukti?

Keyakinan kami dalam bukti hanya sederhana disebabkan oleh kajian yang telah dijalankan dalam beberapa jenis orang yang menggunakan kaedah berbeza untuk menyampaikan penyapihan automatik (untuk tempoh hasil pengudaraan mekanikal, tempoh penginapan di unit rawatan rapi, dan tempoh penginapan di hospital), atau disebabkan terdapat kajian yang tidak mencukupi untuk memastikan keputusan hasil kami (peristiwa-peristiwa yang tidak diingini).

Sejauh manakah bukti ini terkini?

Ulasan ini mengemaskini ulasan kami sebelum ini. Bukti ini terkini sehingga 2 Januari 2024.

Nota terjemahan

Sila hubungi cochrane@rumc.edu.my untuk sebarang pertanyaan berkaitan ulasan ini. Diterjemah oleh Kuan Pei Xuan (Institute for Clinical Research). Disunting oleh Lai Nai Ming, School of Medicine, Taylor’s University Malaysia.

Petikan
Rose L, Schultz MJ, Cardwell CR, Paulus F, Couper K, Jouvet P, Blackwood B. Automated versus non-automated weaning for reducing the duration of mechanical ventilation for critically ill adults and children. Cochrane Database of Systematic Reviews 2025, Issue 7. Art. No.: CD009235. DOI: 10.1002/14651858.CD009235.pub4.

Penggunaan cookie kami

Kami menggunakan cookie yang diperlukan untuk menjadikan laman web kami berfungsi. Kami juga ingin menetapkan cookie analitik pilihan untuk membantu kami memperbaikinya. Kami tidak akan menetapkan cookie pilihan melainkan anda mengaktifkannya. Menggunakan alat ini akan menetapkan cookie pada peranti anda untuk mengingati pilihan anda. Anda boleh menukar pilihan cookie anda pada bila-bila masa dengan menekan pautan 'Tetapan cookie' di bahagian bawah setiap halaman.
Untuk maklumat lebih terperinci mengenai cookie yang kami gunakan, lihat halaman halaman cookie.

Terima semua
Konfigurasikan