Langkau ke kandungan utama

Penapis

Bukti

Buku Panduan/Manual

Berita

Rawatan manakah yang berkesan untuk keletihan selepas kecederaan otak traumatik?

Bantu menambah baik Ringkasan Cochrane – lengkapkan survey ringkas ini

Mesej utama

  • Ubat-ubatan (seperti melatonin, hormon pertumbuhan, perangsang otak, atorvastatin, atau pengawal selia dopamin dan serotonin) mungkin mengurangkan keletihan selepas kecederaan otak traumatik.

  • Rawatan lain, seperti terapi bercakap, rangsangan deria rasa, dan kaunseling, boleh mengurangkan keletihan selepas kecederaan otak traumatik.

  • Kajian pada masa depan harus melibatkan lebih ramai orang, termasuk kanak-kanak dan orang muda. Mereka harus meneliti pelbagai jenis rawatan dalam tetapan berbeza, dan keterukan dan punca kecederaan otak traumatik.

Apakah kecederaan otak traumatik?

Kecederaan otak traumatik adalah kerosakan pada otak berikutan hentakan atau pukulan ke kepala. Kecederaan tersebut mungkin terjadi akibat daripada kemalangan jalan raya, jatuh, serangan, kecederaan sukan, atau letupan. Orang yang mengalami kecederaan otak traumatik mungkin mengalami sakit kepala, menjadi pelupa, dan mempunyai kesukaran tidur dan bergerak. Mereka mungkin juga mengalami keletihan, yang ditakrifkan sebagai rasa kepenatan yang melampau yang tidak berkaitan dengan usaha sebelumnya, yang biasanya tidak bertambah baik dengan rehat. Keletihan menjadikan orang sukar untuk menumpukan perhatian dan melakukan aktiviti seharian; ini menjejaskan kualiti hidup mereka.

Bagaimanakah keletihan selepas kecederaan otak traumatik dirawat?

Rawatan untuk keletihan adalah pelbagai kerana punca dan gejala keletihan mungkin sangat berbeza. Rawatan termasuklah ubat untuk merangsang atau melindungi otak, dan hormon dan antidepresan untuk membantu orang tidur dan menambahbaik mood mereka. Rawatan yang tidak melibatkan ubat termasuklah kaunseling, pendidikan, terapi tingkah laku dan senaman.

Apakah yang ingin diketahui?

Keutamaan kami adalah untuk mengetahui sama ada rawatan berbeza mengurangkan keletihan dalam kalangan orang dengan kecederaan otak traumatik. Kami juga berminat mengenai kesan rawatan terhadap mood, ingatan atau tumpuan orang, kualiti hidup, dan rasa mengantuk.

Apakah yang dilakukan?

Kami mencari kajian yang menugaskan orang secara rawak untuk menerima rawatan untuk keletihan, penjagaan biasa (iaitu, tiada rawatan khusus untuk keletihan), atau rawatan plasebo (dummy). Kami juga meneliti kajian yang membandingkan rawatan yang berbeza. Kami membanding dan merumuskan keputusan kajian dan menilai keyakinan kami dalam bukti, berdasarkan faktor-faktor seperti kaedah dan saiz kajian.

Apakah yang ditemukan?

Kami menemui 40 kajian dengan 3518 orang dewasa dan kanak-kanak yang hidup dengan kecederaan otak traumatik. Kajian-kajian ini dilakukan di 12 negara, yang kebanyakannya berpendapatan tinggi, di Eropah, Amerika Utara, dan Oceania. Mereka dijalankan di tetapan yang berbeza, termasuklah pusat perubatan, klinik pemulihan, pangkalan tentera, kemudahan penyelidikan klinikal, dan hospital.

Keputusan utama

Keletihan

  • Ubat-ubatan mungkin mengurangkan keletihan selepas kecederaan otak traumatik (8 kajian, 395 orang). Ubat-ubatan termasuklah melatonin, hormon pertumbuhan, psikostimulan, statin, dan pengawal selia dopamin.

  • Rawatan lain (tanpa ubat) dapat mengurangkan keletihan selepas kecederaan otak traumatik (31 kajian, 2203 orang). Rawatan termasuklah terapi tingkah laku kognitif, latihan yang dipertingkatkan secara teknikal, latihan kemahiran fungsi, rangsangan deria, rangsangan elektrik/magnet, akupresur, kaunseling, terapi penerimaan dan komitmen, terapi cara kerja yang diperibadikan, terapi pemulihan pengurusan gejala kognitif, senaman aerobik, senaman ringan yang ditetapkan, tempat untuk senaman, pemulihan vestibular, lawatan kesihatan, dan terapi pelbagai intervensi.

  • Bagi rawatan yang melibatkan ubat, terdapat beberapa kejadian buruk (tidak diingini atau memudaratkan) yang dilaporkan yang khusus untuk kajian tertentu. Bagi rawatan yang lain (tanpa ubat), kejadian buruk jarang dilaporkan.

Gejala berkaitan keletihan

  • Ubat-ubatan boleh menyebabkan sedikit atau tiada perbezaan terhadap kemurungan, kegelisahan, kelajuan pemprosesan, kualiti hidup, dan rasa mengantuk pada waktu siang (21 kajian, 1016 orang).

  • Daripada rawatan tanpa ubat, hanya terapi kognitif yang menunjukkan sebarang kesan yang nyata; ia boleh mengurangkan kegelisahan (2 kajian, 57 orang).

Apakah keterbatasan bukti tersebut?

Kami mempunyai keyakinan terhad terhadap bukti kerana bilangan orang yang kecil dalam kajian yang berbeza, dan kelainanan dalam tetapan, rawatan, usia peserta, dan keterukan dan punca kecederaan otak traumatik.

Adakah bukti ini yang terkini?

Kami mencari kajian sehingga 12 Februari 2025.

Nota terjemahan

Sila hubungi cochrane@rumc.edu.my untuk mengetahui lebih lanjut mengenai ulasan ini. Diterjemah oleh Chua Li-Shun (IHT Rehabilitation Centre Kuala Lumpur). Disunting oleh Shazlin Shaharudin (Universiti Sains Malaysia).

Ulasan Cochrane ini pada asalnya dicipta dalam bahasa Inggeris. Ketepatan terjemahan adalah tanggungjawab pasukan terjemahan yang menghasilkannya. Terjemahan dihasilkan dengan berhati-hati dan mengikut proses standard untuk memastikan kawalan kualiti. Namun, sekiranya berlaku ketidakpadanan, terjemahan yang tidak tepat atau tidak sesuai, versi asal Bahasa Inggeris diutamakan.

Petikan
Senior HE, Leung JH, Meehan B, Leao S, Jordan V, Barker-Collo S, Crummey S, Purdy SC. Interventions for fatigue management after traumatic brain injury. Cochrane Database of Systematic Reviews 2026, Issue 2. Art. No.: CD006448. DOI: 10.1002/14651858.CD006448.pub2.

Penggunaan cookie kami

Kami menggunakan cookie yang diperlukan untuk menjadikan laman web kami berfungsi. Kami juga ingin menetapkan cookie analitik pilihan untuk membantu kami memperbaikinya. Kami tidak akan menetapkan cookie pilihan melainkan anda mengaktifkannya. Menggunakan alat ini akan menetapkan cookie pada peranti anda untuk mengingati pilihan anda. Anda boleh menukar pilihan cookie anda pada bila-bila masa dengan menekan pautan 'Tetapan cookie' di bahagian bawah setiap halaman.
Untuk maklumat lebih terperinci mengenai cookie yang kami gunakan, lihat halaman halaman cookie.

Terima semua
Konfigurasikan