Langkau ke kandungan utama

Bolehkah alat latihan berjalan elektronik atau robotik membantu orang berjalan lebih baik selepas strok?

Mesej utama

• Peranti elektronik dan robotik serta fisioterapi mungkin membantu pesakit berjalan sendiri selepas strok. Ia mungkin bermanfaat kepada rangt dalam tiga bulan pertama selepas strok.

• Kami perlukan lebih banyak penyelidikan untuk mengetahui kekerapan dan berapa lama pranti harus digunakan.

Apakah strok?

Strok berlaku apabila aliran darah ke bahagian otak terputus, menghalang bekalan oksigen dan nutrien ke sel-sel otak. Ini menyebabkan serangan kelemahan secara tiba-tiba yang sering menjejaskan sebelah badan. Jika bekalan darah ke otak terhenti, sel-sel otak mula mati. Ini boleh menyebabkan kecederaan otak, hilang upaya, dan juga kematian.

Orang dengan strok sering mengalami masalah jangka panjang alibat kecederaan otak mereka. Mereka mungkin mendapati aktiviti fizikal seperti berjalan sukar kerana otot kaki yang lemah pada satu atau kedua-dua belah badan mereka, sendi kaku, atau kurang koordinasi. Mereka mungkin perlukan tempoh rehabilitasi yang panjang, termasuk fisioterapi, sebelum dapat pulih kepada keadaan kendiri. Fisioterapi merangkumi senaman, urutan, latihan kemahiran, dan rawatan elektrik untuk membantu pesakit mendapatkan kembali pergerakan.

Berjalan selepas strok

Salah satu matlamat paling penting selepas strok adalah untuk membantu orang berjalan semula. Peranti robotik (diprogramkan untuk bergerak dan melaksanakan tugas tertentu secara automatik) dan peranti mekanikal (elektromekanikal) berkuasa elektrik telah dibangunkan untuk membantu orang berlatih berjalan. Orang yang mengalami masalah berjalan selepas strok perlukan banyak latihan untuk sembuh. Adalah tidak jelas jika mesin berjalan ini berkesan.

Apakah yang kami ingin tahu?

Kami ingin tahu jika peranti latihan berjalan yang digabung dengan fisioterapi boleh membantu orang memperbaik berjalan selepas strok berbanding tidak mengguna peranti sedemikian.

Apakah yang kami lakukan?

Kami mencari kajian-kajian yang melihat kepada penggunaan alat latihan berjalan bagi membantu orang belajar berjalan semula selepas strok. Kami berminat dengan:

• berapa ramai orang boleh berjalan sendiri;

• berapa cepat mereka boleh berjalan;

• sejauh mana mereka boleh berjalan dalam masa 6 minit;

• berapa ramai orang yang menarik diri dari kajian; dan

• berapa ramai orang yang meninggal dunia.

Kami mencari kajian-kajian di mana orang dirawak kepada kumpulan rawatan. Kajian jenis ini memberi bukti yang paling boleh percaya tentang kesan rawatan.

Apakah yang kami temui?

Kami temui 101 kajian melibatkan 4224 orang dewasa (usia purata 47 hingga 76 tahun) yang mengalami strok dan belajar berjalan semula. Kajian-kajian membandingkan kesan fisioterapi ditambah dengan peranti elektromekanikal dan robotik untuk latihan berjalan dengan kesan fisioterapi sahaja atau penjagaan biasa. Dalam kebanyakan kajian, tempoh latihan berlangsung sepanjang tiga hingga empat minggu; tempoh terpendek adalah 10 hari, dan terpanjang adalah lapan minggu .

Pada akhir latihan, berbanding fisioterapi atau penjagaan biasa, penggunaan alat latihan berjalan dan fisioterapi:

• mungkin membantu lebih ramai orang berjalan sendiri (51 kajian; 2148 pesakit);

• mungkin tidak meningkatkan purata halaju berjalan (73 kajian; 3043 orang);

• tidak meningkatkan jarak orang boleh berjalan dalam 6 minit (42 kajian; 1966 orang); dan

• tidak menambah atau mengurangkan bilangan orang yang tercicir daripada kajian, atau bilangan orang yang mati (kematian jarang berlaku) (101 kajian; 4224 orang).

Bagi setiap sembilan orang yang dirawat dengan peranti serta fisioterapi, mungkin satu tambahan orang berjalan secara bebas menjelang tamat rawatan.

Pada susulan, menggunakan peranti latihan gaya berjalan serta fisioterapi mungkin tidak membantu lebih ramai orang berjalan sendiri, dan mungkin tidak meningkatkan purata halaju berjalan atau jarak orang boleh berjalan dalam masa 6 minit, berbanding fisioterapi atau penjagaan biasa.

Apakah batasan bukti?

Kami berkeyakinan rendah hingga tinggi terhadap keputusan. Banyak kajian berkualiti rendah atau kurang baik dengan saiz sampel yang kecil. Oleh itu, beberapa kajian mungkin menjadikan manfaat peranti ini kelihatan lebih besar.

Sejauh mana bukti ini terkini?

Bukti adalah terkini sehingga Disember 2023.

Nota terjemahan

Sila hubungi cochrane@rumc.edu.my untuk sebarang pertanyaan berkaitan terjemahan ini. Diterjemah oleh Pang Zhi Chiing (RCSI & UCD Malaysia Campus). Dikemaskini. Disunting oleh Noorliza Mastura Ismail (Kolej Universiti Manipal Malaysia).

Petikan
Mehrholz J, Kugler J, Pohl M, Elsner B. Electromechanical-assisted training for walking after stroke. Cochrane Database of Systematic Reviews 2025, Issue 5. Art. No.: CD006185. DOI: 10.1002/14651858.CD006185.pub6.

Penggunaan cookie kami

Kami menggunakan cookie yang diperlukan untuk menjadikan laman web kami berfungsi. Kami juga ingin menetapkan cookie analitik pilihan untuk membantu kami memperbaikinya. Kami tidak akan menetapkan cookie pilihan melainkan anda mengaktifkannya. Menggunakan alat ini akan menetapkan cookie pada peranti anda untuk mengingati pilihan anda. Anda boleh menukar pilihan cookie anda pada bila-bila masa dengan menekan pautan 'Tetapan cookie' di bahagian bawah setiap halaman.
Untuk maklumat lebih terperinci mengenai cookie yang kami gunakan, lihat halaman halaman cookie.

Terima semua
Konfigurasikan