Mesej utama
• Tidak jelas sama ada orang yang dirawat dengan naltrexone pelepasan berterusan menggunakan opioid terlarang, seperti heroin, kurang kerap berbanding orang yang dirawat dengan agonis opioid, seperti buprenorphine atau methadone.
• Individu yang dirawat dengan naltrexone pelepasan berterusan mungkin menggunakan opioid haram dengan kekerapan yang lebih rendah berbanding individu yang dirawat dengan naltrexone oral, plasebo atau rawatan biasa.
• Rawatan dengan naltrexone pelepasan berterusan mungkin kurang selamat berbanding rawatan agonis opioid, tetapi lebih selamat daripada rawatan biasa.
• Pengamal perubatan dan pesakit perlu menimbangkan ketersediaan serta ciri-ciri pilihan rawatan, dengan mengambil perhatian bahawa naltrexone pelepasan berterusan membantu mengekalkan pantang tanpa mengehadkan kebebasan tetapi memerlukan proses detoksifikasi; lebih banyak bukti diperlukan mengenai keselamatan dan kadar pengekalan jangka panjang.
Apa itu kebergantungan pada ubat opioid?
Ubat opioid, termasuk heroin dan ubat tahan sakit preskripsi seperti oxycodone, mempunyai risiko ketagihan serta kesan kesihatan yang serius. Rawatan selalunya melibatkan penggantian opioid ini dengan alternatif yang lebih selamat seperti methadone atau buprenorphine, walaupun pilihan yang lain seperti terapi atau naltrexone tersedia. Walau bagaimanapun, mengatasi ketagihan opioid kekal sebagai cabaran yang berterusan disebabkan oleh sifatnya yang kompleks serta risiko kambuh dan terlebih dos yang berkaitan.
Apakah yang kami ingin tahu?
Dalam ulasan ini, kami berusaha untuk membandingkan rawatan naltrexone pelepasan berterusan dengan rawatan lain atau tiada rawatan bagi ketagihan opioid. Naltrexone tidak harus dikelirukan dengan naloxone, iaitu ubat bertindak pendek yang digunakan untuk membalikkan kesan terlebih dos opioid. Rawatan lain termasuk rawatan agonis opioid (seperti methadone atau buprenorphine), naltrexone oral (diambil melalui mulut dalam bentuk tablet), plasebo (rawatan palsu yang tidak mengandungi sebarang ubat tetapi kelihatan atau mempunyai rasa yang sama seperti ubat yang sedang diuji), rawatan biasa serta rawatan psikososial (pendekatan terapeutik yang menangani aspek psikologi dan sosial dalam keadaan kesihatan mental, contohnya psikoterapi, psikoedukasi dan kumpulan sokongan).
Apakah yang kami lakukan?
Kami menelusuri pangkalan data saintifik untuk kajian-kajian sehingga Disember 2023. Kami mengenal pasti 22 ujian terkawal rawak (kajian di mana peserta dibahagikan secara rawak kepada satu daripada dua atau lebih kumpulan rawatan atau kawalan) melibatkan 3,416 orang dewasa dan remaja dengan ketagihan opioid. Tujuh puluh empat peratus daripada peserta dalam kajian tersebut adalah lelaki, dan mereka mempunyai purata umur sebanyak 40 tahun. Dua belas daripada 22 kajian dijalankan di Amerika Syarikat atau Kanada, lima di Rusia, tiga di Norway, dan masing-masing satu di United Kingdom dan Australia. Hasil utama yang kami kaji ialah penggunaan opioid dan keselamatan rawatan.
Tiga kajian membandingkan naltrexone pelepasan berterusan dengan rawatan agonis opioid, lima dengan naltrexone oral, enam dengan plasebo, sembilan dengan rawatan biasa dan satu dengan intervensi psikososial.
Apakah yang kami temui?
Kami mendapati bahawa apabila membandingkan naltrexone pelepasan berterusan dengan rawatan agonis opioid, penggunaan opioid haram mungkin meningkat sedikit. Sebaliknya, apabila membandingkan naltrexone pelepasan berterusan dengan rawatan biasa, naltrexone pelepasan berterusan mengurangkan penggunaan opioid haram. Berbanding dengan naltrexone oral, penggunaan opioid haram mungkin berkurangan, dan berbanding dengan plasebo, mungkin terdapat sedikit atau tiada perbezaan. Kami tidak menemui sebarang kajian yang membandingkan naltrexone pelepasan berterusan dengan rawatan psikososial bagi mana-mana hasil utama kami.
Secara umumnya, tidak jelas sama ada individu kekal lebih lama dalam rawatan naltrexone pelepasan berterusan berbanding dalam rawatan lain atau plasebo.
Kami tidak mengetahui sama ada lebih ramai individu akan memulakan rawatan naltrexone pelepasan berterusan berbanding rawatan agonis opioid. Apabila dibandingkan dengan naltrexone oral atau plasebo, mungkin terdapat sedikit atau tiada perbezaan dalam peratusan individu yang akan memulakan rawatan. Berbanding dengan rawatan biasa, mungkin terdapat bilangan individu yang lebih sedikit akan memulakan rawatan naltrexone pelepasan berterusan.
Berbanding dengan rawatan agonis opioid, naltrexone pelepasan berterusan mungkin sedikit meningkatkan kejadian buruk serius (tidak diingini atau berbahaya). Tidak jelas sama ada naltrexone pelepasan berterusan menyebabkan lebih banyak atau lebih sedikit kejadian buruk serius berbanding naltrexone oral. Apabila dibandingkan dengan plasebo, mungkin terdapat sedikit atau tiada perbezaan dalam peratusan individu yang akan mengalami kejadian buruk serius. When compared to placebo, there may be little or no difference in the proportion of people who experience serious adverse events.
Apakah keterbatasan bukti tersebut?
Secara keseluruhan, kami mempunyai keyakinan terhad terhadap bukti. Salah satu sebabnya ialah kemungkinan besar para peserta mengetahui rawatan yang mereka terima, walaupun dalam banyak kes penyelidik cuba menyembunyikan jenis rawatan yang diberikan daripada pengetahuan peserta dan penyedia rawatan. Ketagihan opioid disertai dengan keinginan kuat terhadap dadah serta peningkatan risiko kambuh semasa menjalani sebarang rawatan. Oleh itu, peserta yang mengalami keinginan terhadap dadah dan mereka yang mungkin cuba menggunakan dadah seperti heroin berkemungkinan memahami jenis rawatan yang telah diberikan kepada mereka. Satu lagi sebab utama bagi tahap keyakinan kami yang terhad terhadap bukti ialah bilangan kajian serta jumlah peserta yang terlibat sering kali terlalu kecil untuk memperoleh keputusan yang tepat. Sebab lain yang menurunkan tahap keyakinan kami ialah ketidakselarasan dalam keputusan kajian serta dasar rawatan kebangsaan dalam sesetengah kajian yang menyukarkan penerapan keputusan tersebut di negara lain.
Sejauh manakah bukti ini terkini?
Bukti terkini adalah setakat Disember 2023.
Sila hubungi cochrane@rumc.edu.my untuk mengetahui lebih lanjut mengenai ulasan ini. Diterjemah oleh Kavessh Vandaiyar (RSCI & UCD Malaysia Campus). Disunting oleh Shaun Lee (Monash Malaysia).