Mesej utama
- Senaman boleh memperbaik sakit dan fungsi fizikal berbanding kawalan 'perhatian' (iaitu melibatkan lebih daripada satu interaksi dengan kakitangan kajian atau penyedia penjagaan) atau plasebo, dan memperbaik sakit, fungsi fizikal, dan kualiti hidup berbanding tiada rawatan, penjagaan biasa (misalnya rawatan rutin yang ditawarkan oleh doktor keluarga) atau pendidikan terhad (misalnya penyediaan risalah maklumat asas atau pautan maklumat atas talian). Senaman boleh memperbaik sakit, fungsi fizikal, dan kualiti hidup apabila ditambah kepada rawatan lain berbanding rawatan sahaja. Walau bagaimanapun, manfaatnya adalah tidak pasti, yang bermaksud ia mungkin tidak mengakibatkan perubahan gejala yang memberi perbezaan yang ketara kepada pesakit.
- Walaupun terdapat banyak kajian, kebanyakannya melibatkan bilangan peserta yang kecil dan berkualiti rendah (misalnya peserta menyedari mereka berada dalam kumpulan rawatan yang mana), yang menurunkan keyakinan kami terhadap kesimpulan.
Bagaimanakah senaman dapat membantu orang dengan osteoartritis lutut?
Osteoartritis lutut adalah penyebab biasa sakit yang berterusan dan ketidakupayaan. Senaman bertujuan meningkatkan kekuatan otot dan memperbaik fungsi sendi dan julat pergerakan, yang boleh mengurangkan sakit osteoartritis dan disfungsi sendi dan membantu orang kembali kepada aktiviti harian biasa mereka. Program senaman merangkumi pelbagai jenis senaman, tempoh, dan kaedah penyampaian.
Apakah yang kami ingin tahu?
Ulasan ini adalah kemas kini ulasan yang terakhir diterbitkan pada 2015. Kami ingin tahu sama ada senaman memperbaik sakit, fungsi fizikal, dan kualiti hidup orang yang mengalami osteoartritis lutut.
Apakah yang kami lakukan?
Kami mencari kajian-kajian yang melibatkan orang dewasa dengan osteoartritis lutut yang menilai kesan senaman berasaskan daratan terhadap sakit, fungsi fizikal, dan kualiti hidup. Kajian-kajian perlu membandingkan sekumpulan orang yang melakukan senaman dengan kumpulan yang mendapat perhatian atau intervensi plasebo (palsu), atau dengan kumpulan yang tidak menerima rawatan, penjagaan biasa, atau pendidikan terhad. Kami juga memasukkan kajian-kajian yang membandingkan senaman beserta intervensi lain berbanding intervensi sahaja.
Kami membanding dan merumuskan keputusan kajian dan menilai keyakinan kami terhadap bukti berdasarkan faktor-faktor seperti kaedah kajian dan ketekalan keputusan.
Apakah yang kami temui?
Kami menemui 139 kajian yang melibatkan sejumlah 12,468 orang. Peserta kajian, secara purata, berumur antara 41 hingga 81 tahun. Program senaman berlangsung antara 2 hingga 104 minggu. Hasil diukur sejurus selepas program senaman tamat, dengan beberapa kajian yang juga mengumpul hasil dalam beberapa minggu dan bulan selepas tamat program.
Tiga puluh kajian (22%) membandingkan senaman dengan kawalan perhatian atau plasebo. Enam puluh kajian (43%) membandingkan senaman dengan tiada rawatan, penjagaan biasa, atau pendidikan terhad. Empat puluh sembilan kajian (35%) menambah senaman kepada jenis rawatan lain dan membandingkannya dengan rawatan lain Itu sahaja. Untuk menentukan sama ada manfaat akan memberi perbezaan yang bermakna kepada orang dengan osteoartritis lutut, kami membandingkan penemuan kami dengan skor 'perbezaan penting minima' yang ditetapkan untuk sakit (12 mata pada skala 0 hingga 100 mata), fungsi fizikal (13 mata), dan kualiti hidup (15 mata).
Senaman berbanding kawalan perhatian atau plasebo
- Senaman boleh memperbaik sedikit sakit (8.7 mata lebih baik pada skala 0 hingga 100 mata).
- Senaman mungkin memperbaik fungsi fizikal (11.3 mata lebih baik pada skala 0 hingga 100 mata).
- Senaman mungkin menghasilkan sedikit atau tidak memperbaik kualiti hidup (6.1 mata lebih baik pada skala 0 hingga 100 mata).
Dari segi kejadian buruk pada susulan terakhir, kami mendapati senaman mungkin tidak meningkatkan kejadian buruk.
Senaman berbanding tiada rawatan, penjagaan biasa, atau pendidikan terhad
- Senaman boleh memperbaik sakit (13.1 mata lebih baik pada skala 0 hingga 100 mata).
- Senaman mungkin memperbaik fungsi fizikal (12.5 mata lebih baik pada skala 0 hingga 100 mata).
- Senaman mungkin sedikit memperbaik kualiti hidup (5.4 mata lebih baik pada skala 0 hingga 100 mata).
Dari segi kejadian buruk pada susulan terakhir, kami mendapati senaman mungkin meningkatkan kejadian buruk.
Latihan ditambah kepada rawatan lain berbanding rawatan lain sahaja
- Senaman boleh memperbaik sakit (10.4 mata lebih baik pada skala 0 hingga 100 mata).
- Senaman mungkin memperbaik sedikit fungsi fizikal (9.7 mata lebih baik pada skala 0 hingga 100 mata).
- Senaman mungkin memperbaik sedikit kualiti hidup (4.2 mata lebih baik pada skala 0 hingga 100 mata).
Dari segi kejadian buruk pada susulan terakhir, kami mendapati senaman mungkin meningkatkan sedikit kejadian buruk.
Apakah batasan bukti?
Kami berkeyakin sederhana hingga rendah terhadap keputusan kami. Kebanyakan kajian berkualiti rendah dengan saiz sampel yang kecil. Oleh itu, sesetengah kajian mungkin telah menjadikan manfaat senaman kelihatan lebih besar daripada sebenar.
Sejauh manakah bukti ini terkini?
Kami mencari kajian-kajian setakat 4 Januari 2024.
Sila hubungi cochrane@rumc.edu.my untuk sebarang pertanyaan berkaitan terjemahan ini. Diterjemah oleh Aishah Ibrahim (University of Warwick). Disunting oleh Noorliza Mastura Ismail (Kolej Universiti Manipal Malaysia).