Langkau ke kandungan utama

Penapis

Bukti

Buku Panduan/Manual

Berita

Bantuan pernafasan mekanikal untuk orang dengan fibrosis sista

Bantu menambah baik Ringkasan Cochrane – lengkapkan survey ringkas ini

Soalan ulasan

Apakah manfaat atau risiko untuk menggunakan pengudaraan tekanan positif bukan invasif (NIPPV) untuk merawat orang dengan fibrosis sista (pwCF)?

Mesej utama

Berdasarkan bukti sedia ada, kami tidak pasti:

- sama ada satu jenis NIPPV lebih baik daripada yang lain;

- dalam situasi apa yang ia membantu paling banyak;

- atau untuk tujuan tertentu ia berfungsi paling baik dalam pwCF.

Keputusan juga tidak pasti tentang kesan NIPPV terhadap kematian dan kualiti hidup. Sesetengah orang menemui NIPPV membantu dan lebih suka menggunakannya, semasa yang lain berhenti disebabkan mereka berasa tidak selesa atau tidak dapat tahan dengan topeng; bukti tentang ini masih sangat tidak pasti. Berkenaan keselamatan, kebanyakan kajian tidak melaporkan masalah serius (peristiwa buruk serius). Walau bagaimanapun, sesetengah menjelaskan keadaan seperti menelan udara (aerofagia) dan udara terperangkap di dalam paru-paru (pneumotoraks).

Apakah CF?

CF ialah penyakit yang wujud sejak lahir, dan menjejaskan pelbagai sistem badan, terutamanya sistem pernafasan. Gejala biasa adalah batuk berterusan dengan kahak tebal, jangkitan paru-paru yang kerap, dan kesukaran bernafas. CF bertambah buruk dengan umur, mengakibatkan komplikasi disebabkan oleh jangkitan berterusan yang merosakkan saluran pernafasan, mengurangkan jangkitan paru-paru, dan mungkin mengakibatkan kematian.

Apakah NIPPV, dan bagaimana ia boleh membantu dalam rawatan pwCF?

NIPPV ialah rawatan di mana mesin digunakan untuk membantu orang bernafas. Semasa terapi NIPPV, seseorang bernafas dengan menggunakan topeng yang memaksa udara ke dalam paru-paru, memastikan saluran pernafasan terbuka dan memerlukan kurang usaha daripada individu tersebut. Terdapat dua jenis utama NIPPV:

  • Tekanan saluran udara positif berterusan (CPAP): NIPPV jenis ini memaksa udara ke dalam paru-paru secara berterusan (semasa penyedutan dan penghembusan).

  • Tekanan saluran udara positif dwitingkat (BiPAP): NIPPV jenis ini memaksa udara ke dalam paru-paru lebih semasa penyedutan dan kurang semasa penghembusan.

Kajian mencadangkan NIPPV, digabungkan dengan teknik untuk membersihkan lendir paru-paru, boleh mengurangkan sesak nafas dan meningkatkan tahap oksigen dalam darah. Ia boleh meningkatkan kualiti tidur, mengurangkan rasa mengantuk pada waktu siang, dan mengurangkan keletihan semasa senaman, membolehkan orang bersenam untuk lebih lama. Walau bagaimanapun, sesetengah orang berasa cemas dan tidak selesa dengan topeng pernafasan. Kebanyakan kajian tersebut melibatkan individu dengan penyakit paru-paru yang lain, jadi masih tidak jelas sama ada NIPPV membantu pwCF hidup lebih lama atau lebih baik, atau sama ada ia mungkin membawa sebarang risiko kepada mereka.

Apakah yang ingin diketahui?

Bagaimana pelbagai jenis NIPPV, yang digunakan secara bersendirian atau digabungkan dengan rawatan yang lain, boleh membantu pwCF.

Apakah yang dilakukan?

Kami telah mencari pangkalan data utama dan menganalisis semua kajian berkaitan sedia ada.

Apakah yang ditemukan?

Kami telah menemui 14 kajian dengan 261 kanak-kanak dan orang dewasa pada peringkat CF yang berbeza (termasuk masa semasa gejala tiba-tiba bertambah buruk, menunjukkan seseorang itu berada dalam krisis; dan semasa gejala kekal sama seperti sebelumnya, bermakna penyakit itu stabil atau terkawal). NIPPV telah dibandingkan kepada rawatan piawai, kepada kaedah pembersihan saluran udara yang lain (seperti topeng PEP atau batuk terarah), dan terapi oksigen. Dalam sesetengah percubaan, ia juga digabungkan dengan rawatan yang lain. Tempoh rawatan berbeza-beza, daripada satu sesi kepada penggunaan berulang sehingga tiga bulan.

Keputusan utama

Dalam pwCF, kesan BiPAP semasa krisis pulmonari (keterukan) masih tidak menentu. Ia tidak jelas sama ada BiPAP lebih baik atau teruk daripada topeng PEP (satu topeng yang menghasilkan rintangan semasa menghembus nafas) atau batuk berpandukan (satu teknik yang membantu membersihkan rembesan paru-paru) dari segi jumlah kahak (lendir pekat dan melekit) yang dibersihkan dan keletihan yang dirasai oleh pesakit. Kesan-kesan BiPAP berbanding dengan terapi oksigen (udara dengan kepekatan oksigen yang lebih tinggi), atau semasa digunakan bersama dengan teknik pembersihan saluran udara untuk mengurangkan tempoh tinggal di hospital, meningkatkan keselesaan, atau mengurangkan kesan-kesan sampingan, juga adalah kurang jelas.

Dalam pwCF yang stabil, bukti juga sangat tidak menentu. Kami tidak tahu sama ada BiPAP, berbanding dengan topeng PEP sahaja atau dalam gabungan dengan rawatan yang lain, meningkatkan fungsi paru-paru (jumlah udara yang boleh dihirup dan dihembus oleh paru-paru), kualiti tidur, atau penerimaan pesakit. Satu lagi peranti, CPAP, juga dikaji bersama gabungan dengan teknik pembersihan saluran udara (kaedah untuk melonggarkan dan membersihkan lendir daripada paru-paru), tetapi hasilnya masih tidak menentu.

Apakah keterbatasan bukti tersebut?

Semua kajian telah menyertakan bilangan peserta yang tidak mencukupi untuk menunjukkan kesan sebenar. Terdapat juga keraguan tentang bagaimana kajian-kajian telah dijalankan. Selang keyakinan adalah luas, yang bermakna kesan sebenar mungkin agak berbeza daripada apa yang muncul dalam keputusan. Tiada kajian yang menilai kesan jangka panjang intervensi, terutamanya yang tertumpu kepada kesan serta-merta, seperti satu atau dua sesi.

Secara keseluruhan, kami hanya mempunyai tahap keyakinan yang rendah sehingga sangat rendah terhadap keputusan kajian-kajian ini. Percubaan yang lebih besar, lebih berkualiti adalah diperlukan untuk menjelaskan kesan NIPPV.

Sejauh manakah dapatan ini terkini?

Bukti ini terkini sehingga 2 April 2025.

Nota terjemahan

Sila hubungi cochrane@rumc.edu.my untuk mengetahui lebih lanjut mengenai ulasan ini. Diterjemah oleh Kuan Pei Xuan (Institute for Clinical Research). Disunting oleh Lai Nai Ming, School of Medicine, Taylor’s University, Malaysia.

Ulasan Cochrane ini pada asalnya dicipta dalam bahasa Inggeris. Ketepatan terjemahan adalah tanggungjawab pasukan terjemahan yang menghasilkannya. Terjemahan dihasilkan dengan berhati-hati dan mengikut proses standard untuk memastikan kawalan kualiti. Namun, sekiranya berlaku ketidakpadanan, terjemahan yang tidak tepat atau tidak sesuai, versi asal Bahasa Inggeris diutamakan.

Petikan
Sousa AS, Rocha-Filho CR, Rocha A, Piva SR, Jahnke N, Trevisani VFM, Pinto ACPN. Non-invasive ventilation for cystic fibrosis. Cochrane Database of Systematic Reviews 2025, Issue 11. Art. No.: CD002769. DOI: 10.1002/14651858.CD002769.pub6.

Penggunaan cookie kami

Kami menggunakan cookie yang diperlukan untuk menjadikan laman web kami berfungsi. Kami juga ingin menetapkan cookie analitik pilihan untuk membantu kami memperbaikinya. Kami tidak akan menetapkan cookie pilihan melainkan anda mengaktifkannya. Menggunakan alat ini akan menetapkan cookie pada peranti anda untuk mengingati pilihan anda. Anda boleh menukar pilihan cookie anda pada bila-bila masa dengan menekan pautan 'Tetapan cookie' di bahagian bawah setiap halaman.
Untuk maklumat lebih terperinci mengenai cookie yang kami gunakan, lihat halaman halaman cookie.

Terima semua
Konfigurasikan