Langkau ke kandungan utama

Adakah antidepresan membantu orang dengan sakit pinggang tidak spesifik dan sakit kaki yang berkait dengan tulang belakang?

Mesej utama

• Berbanding plasebo (pil tidak aktif atau 'dummy'), perencat pengambilan semula serotonin dan norepinefrin (satu kelas antidepresan) mungkin memberi pengurangan kecil intensiti sakit dan memperbaik fungsi remeh dalam kalangan orang dengan sakit belakang. Sesetengah orang mungkin akan mengalami kesan yang tidak diingini apabila mengambil ubat-ubatan ini.

• Berbanding pil ‘dummy’, antidepresan trisiklik (satu kelas antidepresan) mungkin memperbaik sedikit fungsi dalam kalangan orang dengan sakit belakang, tetapi mungkin sedikit atau tiada kesan pada intensiti sakit.

• Kami tidak pasti tentang sebarang kesan antidepresan untuk rawatan sakit kaki yang berkait dengan tulang belakang.

Apakah sakit belakang dan sakit kaki yang berkait dengan tulang belakang?

Sakit belakang adalah punca utama ketidakupayaan di seluruh dunia. Kebanyakan kes sakit belakang disebut 'tidak spesifik' kerana ia tidak disebabkan oleh kerosakan nyata tulang belakang. Ramai orang dengan sakit belakang juga mengalami sakit yang merebak ke kaki.

Bagaimanakah antidepresan merawat sakit belakang dan sakit kaki yang berkait dengan tulang belakang?

Antidepresan dalah sekumpulan ubat yang pada asalnya dibangunkan untuk merawat kemurungan. Kelas paling lazim adalah perencat pengambilan semula serotonin dan norepinefrin, perencat pengambilan semula serotonin selektif, dan antidepresan trisiklik. Antidepresan dianggap melegakan sakit dengan menyekat isyarat sakit dalam sistem saraf. Sesetengah orang yang mengambil antidepresan mungkin mengalami kesan yang tidak diingini, seperti mulut kering dan loya.

Apakah yang kami ingin tahu?

Kami ingin tahu jika antidepresan lebih berkesan daripada pil ‘dummy’, penjagaan standard, atau tiada rawatan, untuk melegakan sakit dan meningkatkan fungsi dalam kalangan orang dengan sakit belakang atau sakit kaki yang berkait dengan tulang belakang. Kami juga melihat sama ada antidepresan dikaitkan dengan kesan yang tidak diingini.

Apakah yang kami lakukan?

Kami mencari kajian-kajian yang membanding antidepresan dengan pil ‘dummy’, penjagaan standard, atau tiada rawatan, dalam kalangan orang dengan sakit belakang atau sakit kaki yang berkait dengan tulang belakang. Kami membanding dan merumuskan keputusan kajian-kajian tersebut dan menilai keyakinan kami dalam bukti, berdasarkan faktor-faktor tertentu seperti kaedah dan saiz kajian.

Apakah yang kami temui?
Ini adalah kemas kini ulasan Cochrane yang diterbitkan pertama kali pada 2008. Kami temui 26 kajian melibatkan 2932 orang. 18 kajian sertakan 2535 orang dengan sakit belakang; tujuh kajian sertakan 329 orang dengan sakit kaki yang berkait dengan tulang belakang, dan satu kajian sertakan 68 orang dengan kedua-dua keadaan. Purata umur peserta ialah diantara 27 hingga 59 tahun. Peserta ada gejala 'kronik' (berlangsung lebih dari 3 bulan) dalam 62% kajian. Tempoh kajian adalah dari 1 hari hingga 6 bulan. Kajian-kajian menyiasat perencat pengambilan semula serotonin dan norepinefrin, perencat pengambilan semula serotonin selektif, antidepresan trisiklik, antidepresan tetrasiklik, atau jenis antidepresan lain (dikelompok sebagai 'antidepresan lain'), semuanya dibandingkan dengan pil ‘dummy’. Kajian ini dijalankan di seluruh dunia, tetapi kebanyakannya di negara-negara berpendapatan tinggi, termasuk Amerika Syarikat, United Kingdom, Perancis, Jepun, dan Australia. Hampir separuh kajian yang disertakan dibiaya oleh syarikat farmaseutikal.

Keputusan utama

Kami dapati perencat pengambilan semula serotonin dan norepinefrin mungkin memberi pengurangan kecil dalam intensiti sakit dan memperbaik fungsi remeh dalam kalangan orang dengan sakit belakang.

Kami juga dapati antidepresan trisiklik mungkin memperbaik sedikit fungsi, tetapi tidak mungkin mengurangkan intensiti sakit dalam kalangan orang dengan sakit belakang.

Kami tidak tahu jika perencat pengambilan semula serotonin selektif, antidepresan tetrasiklik, atau antidepresan lain mengurangkan intensiti sakit dan memperbaik fungsi dalam kalangan orang dengan sakit belakang.

Bagi orang dengan sakit kaki yang berkait dengan tulang belakang, kami tidak tahu jika sebarang antidepresan mengurangkan sakit dan meningkatkan fungsi.

Perencat pengambilan semula serotonin dan norepinefrin mungkin meningkatkan risiko mengalami kesan yang tidak diingini. Adalah tidak jelas sama ada kelas antidepresan lain meningkatkan risiko kesan yang tidak diingini dan kejadian tidak diingini yang serius.

Apakah batasan bukti?

Keyakinan kami terhadap bukti perencat pengambilan semula serotonin dan norepinefrin dan antidepresan trisiklik hanya sederhana kerana tidak semua kajian memberikan data mengenai semua yang kami minati.

Kami sedikit atau tiada keyakinan terhadap bukti lain dalam ulasan ini kerana tidak semua kajian memberi data tentang semua yang kami minati, kajian-kajian adalah sangat kecil, dan tiada kajian yang cukup untuk memastikan keputusan hasil yang kami minati.

Keputusan penyelidikan lanjutan boleh berbeza daripada keputusan ulasan ini.

Adakah bukti ini mutakhir?

Ulasan ini mengemaskini ulasan terdahulu. Bukti adalah terkini sehingga November 2024.

Nota terjemahan

Sila hubungi cochrane@rumc.edu.my untuk sebarang pertanyaan berkaitan terjemahan ini. Diterjemah oleh Zi Yan Chiah (RCSI & UCD Malaysia Campus). Disunting oleh Noorliza Mastura Ismail (Kolej Universiti Manipal Malaysia).

Petikan
Ferraro MC, Urquhart DM, Ferreira GE, Wewege MA, Abdel Shaheed C, Traeger AC, Hoving JL, Visser EJ, McAuley JH, Cashin AG. Antidepressants for low back pain and spine-related leg pain. Cochrane Database of Systematic Reviews 2025, Issue 3. Art. No.: CD001703. DOI: 10.1002/14651858.CD001703.pub4.

Penggunaan cookie kami

Kami menggunakan cookie yang diperlukan untuk menjadikan laman web kami berfungsi. Kami juga ingin menetapkan cookie analitik pilihan untuk membantu kami memperbaikinya. Kami tidak akan menetapkan cookie pilihan melainkan anda mengaktifkannya. Menggunakan alat ini akan menetapkan cookie pada peranti anda untuk mengingati pilihan anda. Anda boleh menukar pilihan cookie anda pada bila-bila masa dengan menekan pautan 'Tetapan cookie' di bahagian bawah setiap halaman.
Untuk maklumat lebih terperinci mengenai cookie yang kami gunakan, lihat halaman halaman cookie.

Terima semua
Konfigurasikan