Mesej utama:
Nasihat dan panduan tentang cara berhenti merokok dengan kaunseling dan ganjaran/bayaran (ganjaran kewangan) untuk kekal bebas asap rokok mungkin meningkatkan bilangan wanita yang berhenti merokok semasa hamil; dan pendidikan kesihatan, sokongan sosial, dan program maklum balas mungkin meningkatkan bilangan yang berhenti merokok.
Program sokongan psikologi dan sosial mungkin mengurangkan bilangan bayi yang dilahirkan terlalu kecil (< 2500 g), mengakibatkan bayi yang lebih berat, dan biasanya lebih sihat, dan mengurangkan bilangan bayi di bawah umur satu bulan yang memerlukan penjagaan hospital .
Kami tidak tahu sama ada penemuan ini berguna kepada wanita daripada etnik minoriti atau komuniti pribumi kerana sangat sedikit kajian melihat kepada keputusannya secara khusus dalam kumpulan ini.
Apakah isunya?
Toksin asap tembakau boleh menjejaskan tumbesaran dan perkembangan bayi sebelum kelahiran. Merokok semasa hamil boleh mengakibatkan bayi dilahirkan terlalu kecil dan meningkatkan risiko komplikasi pada ibu.
Apakah program sokongan psikologi dan sosial?
Ramai wanita yang merokok semasa hamil ingin berhenti tetapi merasa sukar dan memerlukan sokongan. Program yang direka untuk membantu wanita berhenti merokok tanpa menggunakan ubat dikenali sebagai program sokongan psikologi dan sosial (psikososial) . Ini mungkin termasuk:
Nasihat dan panduan tentang cara berhenti merokok (kaunseling);
Maklumat tentang mengapa berhenti itu penting (pendidikan kesihatan);
Ganjaran untuk kekal bebas rokok (insentif kewangan);
Maklum balas tentang kesihatan bayi, seperti melalui ultrasound (alat perubatan yang menggunakan gelombang bunyi untuk menghasilkan imej bahagian dalam badan anda) atau tahap bahan kimia memudaratkan dalam badan, seperti melalui ujian kencing (maklum balas);
Sokongan emosi dan praktikal daripada orang lain (sokongan sosial); atau
Program yang menggalakkan aktiviti fizikal (senaman) berkala.
Apakah yang ingin diketahui?
Kami ingin mengetahui sejauh mana kejayaan pelbagai program sokongan psikologi dan sosial dalam membantu wanita mengandung yang merokok, atau yang baru berhenti merokok, untuk berhenti merokok dan kekal bebas rokok. Kami juga ingin melihat sama ada program ini menambahbaik kesihatan bayi.
Apakah yang dilakukan?
Kami mencari kajian yang melihat kepada pelbagai program sokongan psikologi dan sosial untuk membantu wanita mengandung berhenti merokok.
Apakah yang ditemukan?
Kami menemui 127 kajian dengan 47,361 wanita mengandung yang merokok atau baru berhenti merokok. Kajian yang paling besar menyertakan 3571 wanita dan yang paling kecil menyertakan 17. Kebanyakan wanita sihat dan berumur lebih 16 tahun. Kira-kira separuh daripada kajian tersebut menyertakan wanita dari latar belakang berpendapatan rendah, dengan 11 kajian melibatkan kumpulan etnik minoriti dan empat melibatkan komuniti pribumi. Semua kajian dibiayai oleh badan penyelidikan bebas, dan tiada satu pun yang disokong oleh organisasi yang mungkin mempengaruhi keputusan.
Program sokongan termasuklah: kaunseling (60), pendidikan kesihatan (21), maklum balas (8), insentif kewangan (17), sokongan sosial (7), dan program senaman (1). Wanita dalam kumpulan perbandingan biasanya menerima penjagaan piawai (66), yang kebanyakannya menyertakan maklumat tentang risiko merokok dan nasihat untuk berhenti merokok. Beberapa kajian membandingkan intervensi dengan program yang kurang intensif (50), dan sedikit kajian membandingkan dengan jenis program berbeza (11).
Berhenti merokok pada akhir kehamilan (sekitar 36 minggu kehamilan atau lebih lama)
Kaunseling dan program yang menawarkan ganjaran kewangan kerana tidak merokok mungkin meningkatkan bilangan wanita yang berhenti merokok semasa akhir kehamilan. Pendidikan kesihatan, maklum balas dan program sokongan sosial boleh meningkatkan bilangan wanita yang berhenti merokok semasa akhir kehamilan. Senaman mungkin menyebabkan sedikit atau langsung tiada perbezaan dalam bilangan wanita yang berhenti merokok semasa akhir kehamilan. Dalam satu kajian, program kaunseling yang sama telah digunakan dalam kedua-dua kumpulan, tetapi cara ia diberikan kepada klinik adalah berbeza. Satu kumpulan doktor hanya menerima maklumat bertulis tentang program ini, manakala kumpulan yang lain menerima lebih banyak sokongan, seperti latihan, hubungan berkala, dan maklum balas. Walau bagaimanapun, adalah tidak jelas sama ada ini mempengaruhi kadar berhenti merokok.
Kesihatan bayi semasa kelahiran
Keseluruhannya, intervensi psikososial mungkin mengurangkan bilangan bayi yang dilahirkan terlalu kecil (< 2500 g), mengakibatkan bayi yang lebih berat, dan biasanya lebih sihat; dan mengurangkan bilangan bayi di bawah umur satu bulan yang memerlukan penjagaan rapi pakar. Program-program ini mungkin memberi sedikit atau tiada perbezaan kepada bilangan kelahiran mati, dan tidak jelas sama ada ia mempengaruhi bilangan bayi yang lahir pramatang (< 37 minggu).
Adakah intervensi ini berkesan untuk semua orang?
Sangat sedikit kajian melihat pada sama ada program sokongan psikologi dan sosial berfungsi secara berbeza untuk wanita daripada latar belakang yang kurang bernasib baik atau populasi minoriti, jadi kami mempunyai maklumat terhad tentang cara yang lebih baik untuk memenuhi keperluan wanita yang paling terjejas oleh merokok semasa kehamilan.
Apakah keterbatasan bukti tersebut?
Sesetengah kajian tidak memberikan semua maklumat yang kami perlukan dan meninggalkan butiran penting yang boleh menjejaskan penemuan mereka. Sesetengah kajian terlalu kecil untuk kami memastikan sepenuhnya sejauh mana intervensi tersebut membantu wanita berhenti merokok. Tidak banyak kajian mengenai wanita daripada etnik minoriti dan komuniti pribumi, dan apabila wanita ini disertakan, keputusannya selalunya tidak dilaporkan secara berasingan untuk kumpulan berbeza.
Adakah bukti ini yang terkini?
Bukti adalah terkini sehingga November 2025.
Sila hubungi cochrane@rumc.edu.my untuk mengetahui lebih lanjut mengenai ulasan ini. Di terjemah Kamisah Ariffin (Universiti Teknologi MARA). Dikemas kini oleh Cochranr Malaysia. Disunting oleh Shazlin Shaharudin (Universiti Sains Malaysia).
Ulasan Cochrane ini pada asalnya dicipta dalam bahasa Inggeris. Ketepatan terjemahan adalah tanggungjawab pasukan terjemahan yang menghasilkannya. Terjemahan dihasilkan dengan berhati-hati dan mengikut proses standard untuk memastikan kawalan kualiti. Namun, sekiranya berlaku ketidakpadanan, terjemahan yang tidak tepat atau tidak sesuai, versi asal Bahasa Inggeris diutamakan.




