Langkau ke kandungan utama

Audit dan maklum balas: kesan ke atas amalan profesional

Mesej utama

- Audit dan maklum balas dalam penjagaan kesihatan ialah apabila prestasi profesional kesihatan dinilai dan dibanding dengan standard profesional (audit). Kemudian profesional kesihatan diberi keputusan perbandingan (maklum balas), dengan harapan ia dapat membantu mereka meningkatkan prestasi mereka.

- Audit dan maklum balas membantu meningkatkan sedikit hingga sederhana prestasi profesional kesihatan. Ia berfungsi paling baik apabila menunjukkan profesional kesihatan cara mereka berbanding profesional berprestasi tinggi, memfokus aspek penting untuk memperbaik dan menyertakan petua untuk membuat perubahan. Audit dan maklum balas boleh menjadi lebih berguna apabila digabung dengan sokongan lain seperti peringatan atau latihan tambahan.

- Penyelidikan lanjutan harus memfokus cara terbaik untuk memperbaik intervensi audit dan maklum balas.

Apakah yang dimaksudkan dengan audit dan maklum balas dalam penjagaan kesihatan?

Audit dan maklum balas sering diguna dalam organisasi penjagaan kesihatan untuk memperbaik prestasi profesional penjagaan kesihatan . Di dalam proses audit dan maklum balas, amalan profesional atau prestasi setiap individu diukur dan kemudian dibandingkan dengan standard profesional atau sasaran. Dalam erti lain, prestasi profesional mereka “diaudit”. Semasa "maklum balas", keputusan perbandingan ini kemudiannya diberi kepada profesional kesihatan. Matlamat proses ini adalah untuk menggalakkan profesional penjagaan kesihatan mengambil tindakan atau membuat perubahan mengikut standard.

Apakah yang kami lakukan?

Kami mencari semua kajian di mana profesional penjagaan kesihatan dipilih secara rawak untuk menerima audit dan maklum balas dan di mana keputusan amalan profesional diukur.

Apa yang kami temui?

Kami temui 292 kajian yang memenuhi keperluan. Kami mendapati audit dan maklum balas sering diguna bersama strategi yang untuk memperbaik kualiti penjagaan, seperti mesyuarat pendidikan atau peringatan. Kebanyakan kajian mengukur kesan audit dan maklum balas terhadap doktor, walaupun beberapa kajian mengukur kesan terhadap jururawat atau ahli farmasi. Audit dan maklum balas telah diguna untuk mempengaruhi prestasi mereka dalam aspek berbeza , termasuk penggunaan rawatan preskripsi atau pesanan ujian.

Cara tepat audit dan maklum balas disampaikan berbeza-beza merentasi kajian. Kadangkala profesional kesihatan diberi maklum balas secara lisan, pada masa yang lain secara bertulis, pada papan pemuka elektronik atau melalui pelbagai mod. Dalam beberapa kajian, maklum balas ini diberi kepada mereka oleh para penyelidik yang bertanggungjawab terhadap kajian tersebut, manakala dalam kajian yang lain, maklum balas diberikan oleh penyelia atau rakan sekerja. Dalam sesetengah kajian, profesional kesihatan diberi maklum balas sekali sahaja, manakala yang lain diberi maklum balas setiap bulan. Kadangkala, mereka juga diberi atau disokong untuk membuat pelan tindakan dengan cadangan atau nasihat tentang cara memperbaik prestasi mereka.

Keputusan utama: Apakah yang berlaku apabila profesional kesihatan diaudit dan diberi maklum balas?

Kesan penggunaan audit dan maklum balas berbeza secara meluas merentasi kajian-kajian yang disertakan, tetapi ia sering mencapai peningkatan kecil hingga sederhana dalam kualiti penjagaan.

Audit dan maklum balas mungkin paling berkesan apabila penerima dapat melihat bagaimana prestasi mereka sendiri berbanding rakan sebaya yang berprestasi tinggi, apabila ia membantu profesional kesihatan untuk mengenal pasti dan mengambil tindakan terhadap isu klinikal prioriti tinggi, dan apabila ia memfokus aspek di mana profesional kesihatan mempunyai peluang besar untuk penambahbaikan. Ciri audit dan maklum balas lain yang dikaitkan dengan kesan yang lebih besar adalah apabila ia melibatkan pengukuran amalan individu penerima (bukannya pasukan atau organisasi mereka); datang daripada rakan sebaya yang dihormati dengan hubungan sedia ada dengan penerima; termasuk pelbagai modaliti (cth, lisan dan bertulis); dan menampilkan pelan tindakan dengan nasihat untuk penambahbaikan.

Selain itu, kesan audit dan maklum balas boleh berubah apabila digabung dengan strategi lain yang menyokong peningkatan kualiti penjagaan, seperti pendidikan atau peringatan.

Apakah batasan bukti?

Kualiti bukti adalah sederhana dan penyelidikan lanjut diperlukan untuk mengesahkan ciri audit dan maklum balas yang cenderung mencapai kesan terbesar dalam pelbagai situasi.

Adakah bukti ini mutakhir?

Ulasan ini mengemaskini ulasan terdahulu. Bukti yang dianalisis adalah terkini sehingga Jun 2020.

Nota terjemahan

Sila hubungi cochrane@rumc.edu.my untuk sebarang pertanyaan berkaitan terjemahan ini. Diterjemah oleh Noor Salwah S Omar (Universiti Sains Malaysia). Dikemaskini. Disunting oleh Noorliza Mastura Ismail (Kolej Universiti Manipal Malaysia).

Petikan
Ivers N, Yogasingam S, Lacroix M, Brown KA, Antony J, Soobiah C, Simeoni M, Willis TA, Crawshaw J, Antonopoulou V, Meyer C, Solbak NM, Murray BJ, Butler E-A, Lepage S, Giltenane M, Carter MD, Fontaine G, Sykes M, Halasy M, Bazazo A, Seaton S, Canavan T, Alderson S, Reis C, Linklater S, Lalor A, Fletcher A, Gearon E, Jenkins H, Wallis JA, Grobler L, Beccaria L, Cyril S, Rozbroj T, Han JX, Xu AXT, Wu K, Rouleau G, Shah M, Konnyu K, Colquhoun H, Presseau J, O'Connor D, Lorencatto F, Grimshaw JM. Audit and feedback: effects on professional practice. Cochrane Database of Systematic Reviews 2025, Issue 3. Art. No.: CD000259. DOI: 10.1002/14651858.CD000259.pub4.

Penggunaan cookie kami

Kami menggunakan cookie yang diperlukan untuk menjadikan laman web kami berfungsi. Kami juga ingin menetapkan cookie analitik pilihan untuk membantu kami memperbaikinya. Kami tidak akan menetapkan cookie pilihan melainkan anda mengaktifkannya. Menggunakan alat ini akan menetapkan cookie pada peranti anda untuk mengingati pilihan anda. Anda boleh menukar pilihan cookie anda pada bila-bila masa dengan menekan pautan 'Tetapan cookie' di bahagian bawah setiap halaman.
Untuk maklumat lebih terperinci mengenai cookie yang kami gunakan, lihat halaman halaman cookie.

Terima semua
Konfigurasikan