Bolehkah aplikasi mudah alih digunakan untuk penghantaran soal selidik tinjauan dalam kesihatan awam dan penyelidikan klinikal?

Latar belakang

Soal selidik tinjauan ialah alat penting dalam kesihatan awam dan penyelidikan klinikal kerana ia menawarkan cara yang mudah untuk mengumpul data daripada ramai responden, menangani topik sensitif, dan kurang memerlukan sumber berbanding teknik pengumpulan data lain. Penghantaran soal selidik tinjauan melalui aplikasi mudah alih pada telefon pintar atau tablet boleh memaksimumkan skalabiliti dan kelajuan pengumpulan data yang ditawarkan oleh alat ini, di samping mengurangkan kos. Walau bagaimanapun, sebelum teknologi ini digunakan secara meluas, kita perlu memahami bagaimana ia boleh mempengaruhi kualiti tindak balas yang dikumpul. Terutamanya, jika kita mempertimbangkan kesan kualiti data pada asas bukti yang menyokong banyak keputusan kesihatan awam dan penjagaan kesihatan.

Objektif

Dalam ulasan Cochrane ini, kami telah menilai impak penggunaan aplikasi mudah alih untuk menghantar tinjauan terhadap pelbagai aspek kualiti tindak balas. Ini termasuk kadar tindak balas, ketepatan data, kesempurnaan data, masa yang diambil untuk melengkapkan soal selidik tinjauan, dan kebolehterimaan kepada responden.

Kaedah dan keputusan

Kami mencari kajian yang diterbitkan antara Januari 2007 dan April 2015. Kami memasukkan 14 kajian dan menganalisis data daripada 2272 peserta. Kami tidak menjalankan analisis meta disebabkan oleh perbezaan merentasi kajian. Sebaliknya, kami menerangkan keputusan setiap kajian. Kajian berlaku dalam dua jenis tetapan: terkawal dan tidak terkawal. Yang pertama merujuk kepada persekitaran penyelidikan atau klinikal di mana para pengamal atau penyelidik penjagaan kesihatan dapat mengawal dengan lebih baik penjejas yang berpotensi, seperti lokasi dan masa dalam hari tinjauan selesai, jenis teknologi yang digunakan dan tahap bantuan yang tersedia untuk responden menangani masalah teknikal. Tetapan tidak terkawal pula merujuk kepada lokasi di luar persekitaran penyelidikan atau klinikal ini (cth., rumah responden). Kami menemui bahawa aplikasi mudah alih mungkin setara dengan mod penghantaran lain seperti kertas, komputer riba dan SMS dalam kedua-dua tetapan. Tidak jelas sama ada aplikasi mudah alih boleh menghasilkan tempoh siap yang lebih cepat berbanding mod penghantaran lain. Sebaliknya, penemuan kami mencadangkan bahawa faktor seperti ciri-ciri populasi klinikal, dan reka bentuk tinjauan dan antara muka boleh menyederhanakan kesan terhadap hasil ini. Kesempurnaan data dan kepatuhan kepada protokol pensampelan hanya dilaporkan dalam tetapan tidak terkawal. Keputusan kami menunjukkan bahawa aplikasi mudah alih mungkin menghasilkan set data yang lebih lengkap, dan boleh meningkatkan kepatuhan kepada protokol pensampelan berbanding dengan kertas tetapi tidak dengan SMS. Terdapat pelbagai definisi kebolehterimaan kepada responden, yang tidak boleh diseragamkan merentasi kajian yang disertakan. Akhir sekali, tiada kajian yang disertakan melaporkan tentang kadar tindak balas atau ketepatan data.

Kesimpulan

Secara keseluruhannya, tiada bukti yang mencukupi untuk membuat cadangan yang jelas tentang impak yang mungkin ada pada aplikasi mudah ali terhadap tindak balas soal selidik tinjauan. Kesetaraan data mungkin tidak dipengaruhi selagi aplikasi klinikal yang dimaksudkan bagi soal selidik tinjauan dan kekerapan pemberian yang dimaksudkan adalah sama jika aplikasi mudah ali digunakan atau tidak. Penyelidikan masa depan mungkin perlu mempertimbangkan bagaimana reka bentuk interaksi pengguna, soal selidik tinjauan dan intervensi boleh menjejaskan kesetaraan data dan hasil lain yang dinilai dalam ulasan ini.

Nota terjemahan: 

Diterjemah oleh Saw Zhi Kuan (Kementerian Kesihatan Malaysia). Disunting oleh Shazlin Shaharudin (Universiti Sains Malaysia). Untuk sebarang pertanyaan berkaitan terjemahan ini, sila hubungi cochrane@rcsiucd.edu.my

Tools
Information