Kesan penyakit yang tinggal (sisa) selepas pembedahan pada prognosis kelangsungan hidup untuk wanita dengan kanser ovari epitelium lanjutan

Soalan ulasan

Kami menyasarkan untuk menilai kesan ke atas kelangsungan hidup ('kesan prognostik') jumlah penyakit yang tinggal selepas pembedahan (penyakit sisa) semasa peringkat rawatan awal untuk wanita dengan kanser ovari lanjutan. Kami melihat kedua-dua pembedahan sebelum kemoterapi ('pembedahan debulking primer') diikuti oleh kemoterapi adjuvant (tambahan) dan kemoterapi terlebih dahulu ('kemoterapi neoadjuvant') diikuti dengan pembedahan ('pembedahan debulking selang waktu'). Ulasan ini seharusnya membantu untuk menentukan kesan prognostik penyakit sisa selepas pembedahan pada kelangsungan hidup dan menentukan definisi ambang sisa penyakit yang boleh diterima.

Latar belakang

Kanser ovari adalah kanser ketujuh paling biasa di kalangan wanita dan penyebab utama kematian pada wanita dengan kanser ginekologi. Kanser ovari boleh berkembang daripada jenis sel yang berbeza dalam ovari/tiub fallopio. Kebanyakan kanser ovari adalah 'epithelium', yang timbul sama ada daripada lapisan permukaan ovari atau lapisan tiub fallopio. Kanser ovari yang baru didiagnosis dirawat dengan gabungan pembedahan dan kemoterapi, dengan pembedahan dilakukan sama ada sebelum (dipanggil pembedahan terlebih dahulu atau pembedahan debulking primer) atau di sekitar pertengahan tempoh kemoterapi (dipanggil pembedahan debulking selang waktu). Kanser ovari biasanya telah merebak ke seluruh rongga perut pada masa diagnosis, jadi, tidak seperti kebanyakan kanser lain, pembedahan masih dilakukan, walaupun ia mungkin tidak membuang kanser secara keseluruhan. Matlamat pembedahan adalah untuk membuang sebanyak mungkin tisu kanser yang boleh dilihat (makroskopik), yang dipanggil pembedahan debulking atau cytoreductive. Kajian telah menunjukkan bahawa jumlah kanser yang boleh dilihat yang boleh dibuang berkemungkinan menjadi faktor prognostik yang penting pada kelangsungan hidup wanita dengan kanser ovari epitelium lanjutan. Matlamat kajian ini adalah untuk menyiasat sejauh mana jumlah penyakit yang tinggal (sisa) selepas pembedahan untuk kanser ovari yang baru didiagnosis meramalkan berapa lama wanita akan bertahan berikutan diagnosis kanser ovari epitelium (prognosis).

Kaedah ulasan

Kami mencari pangkalan data elektronik sehingga akhir Ogos 2021 dan kami juga mencari kajian yang tidak diterbitkan. Kami memasukkan kajian yang melaporkan sisa penyakit sebagai faktor prognostik, yang juga meneliti faktor prognostik lain pada masa yang sama.

Keputusan utama

Kami mendapati 46 kajian (termasuk 22,376 wanita dalam 31 kajian pembedahan debulking primer dan 3697 wanita dalam 15 kajian pembedahan debulking selang waktu). Setiap kajian termasuk lebih daripada 100 wanita, menggunakan pelarasan statistik untuk faktor prognostik penting (analisis multivariat) dan memenuhi kriteria kemasukan kami. Analisis kami menunjukkan kepentingan prognostik pembedahan tanpa meninggalkan endapan tumor yang kelihatan ('tiada penyakit sisa makroskopik') apabila wanita menjalani pembedahan debulking terlebih dahulu atau pembedahan debulking selang waktu. Kedua-dua kemandirian keseluruhan dan kemandirian tanpa perkembangan (kemandirian tanpa penyakit yang menjadi semakin teruk, yang dilaporkan untuk pembedahan debulking terlebih dahulu) dipanjangkan jika ini dicapai.

Pembedahan debulking primer untuk kanser ovari yang baru didiagnosis

Pembuangan pembedahan lengkap semua tumor yang kelihatan selepas pembedahan terlebih dahulu atau debulking primer meningkatkan kelangsungan hidup, dan ini juga berlaku bagi mereka yang mempunyai sedikit sisa penyakit (0.1 cm hingga 1 cm). Terdapat bukti yang menunjukkan bahawa tiga kategori sisa penyakit harus digunakan (tiada penyakit sisa makroskopik, penyakit sisa berisipadu kecil dan berisipadu besar (lebih daripada 1 cm).

Pembedahan debulking primer untuk kanser ovari yang baru didiagnosis

Apabila kemoterapi diberikan sebelum pembedahan (pembedahan debulking selang waktu), terdapat kaitan dengan peningkatan kelangsungan hidup jika tumor yang tinggal dikurangkan kepada 'tiada penyakit sisa makroskopik' (penyingkiran semua tumor yang kelihatan). Wanita dengan penyakit sisa berisipadu kecil tidak mempunyai kelebihan kelangsungan hidup berbanding mereka yang mempunyai penyakit baki berisipadu besar, dengan kedua-dua kumpulan mempunyai prognosis yang lebih buruk berbanding mereka yang tidak mempunyai deposit tumor yang kelihatan; walau bagaimanapun, bukti ini adalah kepastian yang sangat rendah. Mana-mana penyakit sisa yang boleh dilihat selepas pembedahan debulking selang waktu dikaitkan dengan kelangsungan hidup yang lebih lemah berbanding wanita yang tiada penyakit sisa.

Kebanyakan kajian pembedahan debulking selang waktu tidak termasuk deposit tumor yang kelihatan dalam kategori penyakit sisa berisipadu kecil, yang mengehadkan tafsiran kami terhadap penemuan ini.

Kepastian bukti

Kami menilai kepastian bukti kami sebagai 'sederhana' untuk kemandirian keseluruhan dan kemandirian tanpa perkembangan dalam analisis yang melibatkan kajian pembedahan debulking primer. Untuk kajian pembedahan debulking selang waktu, kepastian bukti adalah sangat rendah untuk kemandirian keseluruhan dalam semua perbandingan dan yang melibatkan kemandirian tanpa perkembangan. Ini sebahagian besarnya disebabkan oleh semua kajian kecuali satu kajian termasuk 'tiada penyakit sisa makroskopik' dalam kategori penyakit sisa berisipadu kecil.

Kesimpulan utama

Bukti dalam ulasan menunjukkan bahawa berikutan pembedahan debulking primer, tiga kategori untuk jumlah sisa penyakit harus digunakan: tiada penyakit sisa makroskopik, penyakit sisa berisipadu kecil dan berisipadu besar. Bukti adalah lebih terhad untuk pembedahan debulking selang waktu dan kajian lanjut diperlukan, tetapi mungkin tidak ada perbezaan kelangsungan hidup antara mereka yang mempunyai penyakit sisa berisipadu kecil dan besar. Sehingga terdapat bukti untuk manfaat kelangsungan hidup bagi mereka yang mempunyai penyakit sisa berisipadu kecil berbanding besar, mungkin hanya penting apabila mengklasifikasikan hasil pembedahan berdasarkan dua kategori penyakit sisa: 'tiada penyakit sisa makroskopik' dan 'penyakit sisa makroskopik' (penyakit sisa yang kelihatan ebih daripada 0 cm). Walau bagaimanapun, ini berdasarkan bukti kepastian yang sangat rendah dan lebih banyak maklumat mungkin mengubah penemuan ini.

Nota terjemahan: 

Diterjemahkan oleh Hui Jen Chua (Taylor’s University). Disunting oleh Lai Nai Ming, School of Medicine, Taylor’s University, Malaysia. Untuk sebarang pertanyaan berkaitan terjemahan ini, sila hubungi cochrane@rcsiucd.edu.my

Tools
Information