Rawatan imunoglobulin untuk penyakit Kawasaki

Mesej utama

Dalam kanak-kanak dengan penyakit Kawasaki, regimen imunoglobulin intravena (IVIG) dos tinggi:
• mungkin mengurangkan risiko pembentukan arteri koronari yang abnormal berbanding regimen aspirin atau regimen IVIG dos sederhana atau rendah;
• menunjukkan aspek keselamatan yang tidak perlu dibimbangkan;
• mungkin mengurangkan tempoh demam, tetapi hanya sedikit atau tiada perbezaan yang dikesan dalam keperluan terhadap rawatan tambahan berbanding aspirin;
• boleh mengurangkan tempoh demam dan keperluan terhadap rawatan tambahan berbanding IVIG dos sederhana atau dos rendah.

Mengapakah persoalan ini penting?

Penyakit Kawasaki merupakan satu keadaan yang mengakibatkan salur darah menjadi bengkak dan keradangan. Simptomnya termasuk suhu badan yang tinggi (demam) beserta bibir yang pecah, kemerahan lidah (lidah membesar dan berbintil), kemerahan mata, ruam, kemerahan dan keradangan di bahagian tangan dan kaki atau pengelupasan kulit dan pembesaran kelenjar di bahagian leher. Ia paling kerap dilihat pada kanak-kanak. Bengkak dan keradangan saluran yang membekalkan darah ke jantung (arteri koronari) lalu menyebabkan keabnormalan pada arteri koronari merupakan komplikasi penyakit ini yang paling serius. Keabnormalan ini boleh mengakibatkan penyakit jantung dan adakalanya kematian. Diagnosis dan rawatan yang pantas boleh mengelakkan komplikasi ini. Immunoglobulin intravena (IVIG) dan aspirin merupakan ubatan utama yang digunakan untuk merawat penyakit Kawasaki. Gabungan berbeza untuk dos dan masa pemberian (regimen) ubatan tersebut digunakan bagi merawat pesakit. Dalam mencegah komplikasi jantung, adalah sangat penting untuk mengetahui rawatan dan regimen yang paling selamat dan berkesan.

Apakah yang telah kami lakukan?

Kami membuat carian terhadap kajian rawak terkawal (kajian yang melibatkan peserta diagihkan secara rawak kepada salah satu daripada dua atau lebih kumpulan rawatan) yang membandingkan penyakit Kawasaki yang dirawat dengan IVIG dengan rawatan ubatan atau regimen lain. Kami menemui sebanyak 31 kajian dengan jumlah peserta seramai 4609 orang. Kajian tersebut membandingkan IVIG dengan aspirin, regimen lain IVIG, infliximab atau prednisolon. Semua kajian melaporkan keabnormalan arteri koronari, tetapi tidak semua melaporkan hasil dapatan yang diinginkan: kesan advers, sindrom koronari akut (seperti serangan jantung), tempoh demam, keperluan terhadap rawatan tambahan, tempoh keberadaan di hospital dan kematian. Kami menggabungkan data yang bersesuaian daripada kajian yang terlibat.

Apakah yang telah kami temui?

Kami melihat kepada kajian yang membandingkan IVIG dengan aspirin. Hasil dapatan kami menunjukkan bahawa kanak-kanak yang menerima IVIG mungkin kurang mengalami keabnormalan arteri koronari berbanding kanak-kanak yang dirawat dengan aspirin sahaja. Laporan kesan buruk berbeza-beza antara kajian tersebut, namun terdapat sedikit atau tiada perbezaan dalam bilangan kesan advers yang dilaporkan antara kumpulan rawatan. Sindrom koronari akut kurang dilaporkan, maka kami tidak dapat menyatakan sama ada IVIG mempunyai kesan ke atas keadaan ini. Rawatan IVIG mungkin mengurangkan tempoh demam berbanding rawatan aspirin sahaja. Terdapat sedikit atau tiada perbezaan dalam keperluan untuk rawatan tambahan antara kumpulan IVIG dan aspirin dan tiada kajian yang melaporkan tentang tempoh keberadaan di hospital. Tiada sebarang kematian dilaporkan dalam kedua-dua kumpulan IVIG dan aspirin.

Kami melihat kepada kajian yang membandingkan regimen IVIG dos tinggi dengan regimen dos sederhana atau dos rendah. keputusan kami menunjukkan bahawa kanak-kanak yang menerima regimen dos tinggi mungkin kurang mengalami keabnormalan. Tiada perbezaan ketara dalam bilangan kesan buruk antara kumpulan yang dirawat dengan dos tinggi dan dos sederhana atau dos rendah. Sindrom koronari akut kurang dilaporkan, hanya sedikit atau tiada perbezaan yang dapat dilihat antara kumpulan rawatan. Regimen dos tinggi boleh mengurangkan tempoh demam dan keperluan terhadap rawatan tambahan berbanding regimen dos sederhana dan dos rendah. Kami tidak menemui sebarang perbezaan yang jelas antara regimen tersebut dalam menentukan tempoh keberadaan di hospital. Satu kematian dilaporkan dalam satu kajian, maka kami tidak dapat memberi kepastian terhadap keberkesanan mana-mana regimen untuk hasil ini.

Kami juga melihat kepada kajian yang membandingkan IVIG dengan prednisolon. Bukti yang dikemukakan untuk bilangan keabnormalan arteri koronari dan tempoh demam sangat tidak dapat dipastikan, dan terdapat sedikit atau tiada perbezaan antara kumpulan terlibat untuk kesan advers, sindrom koronari akut dan kematian. Keputusan untuk semua hasil dapatan dihadkan oleh penglibatan kecil kanak-kanak dengan penyakit Kawasaki. Tiada kajian yang melaporkan tentang keperluan untuk rawatan tambahan atau tempoh keberadaan di hospital.

Apakah batasan bukti?

Keyakinan kami berbeza-beza daripada sangat rendah kepada sederhana terhadap bukti yang dikemukakan daripada kajian terlibat berikutan kegusaran tentang kaedah sesetengah kajian dijalankan, perbezaan dalam regimen yang digunakan dan lazimnya terdapat hanya sejumlah kecil kajian dan peserta yang memberikan data. Penemuan kami ini sejajar dengan garis panduan terkini untuk cadangan dan bukti daripada kajian jangka panjang yang melibatkan bilangan peserta yang besar.

Sejauh manakah bukti ini terkini?

Bukti yang dikemukakan adalah terkini sehingga April 2022.

Nota terjemahan: 

Diterjemahkan oleh Siti Sarah Fazalul Rahiman (Universiti Sains Malaysia). Disunting oleh Norhayati Mohd Noor (Universiti Sains Malaysia). Untuk sebarang pertanyaan berkaitan terjemahan ini sila hubungi cochrane@rcsiucd.edu.my

Tools
Information