Diet vegan untuk pencegahan penyakit kardiovaskular

Latar belakang

Telah diketahui diet memain peranan utama dalam risiko penyakit kardiovaskular. Ulasan ini menilai kesan-kesan memberi nasihat pemakanan untuk mengikuti diet vegan (mengelakkan semua daging, ikan, telur, tenusu dan madu) atau memberi makanan yang relevan kepada diet tersebut (atau kedua-duanya) kepada orang dewasa yang sihat, kepada orang yang berisiko tinggi penyakit kardiovaskular dan kepada mereka dengan penyakit kardiovaskular, untuk mencegah penyakit kardiovaskular baru atau berulang, dan untuk mengurangkan faktor risiko yang berkaitan dengannya.

Ciri-ciri kajian

Kami mencari pangkalan data kajian perubatan utama sehingga Februari 2020 dan menemui 13 kajian rawak terkawal (RCT) (dalam 38 artikel) yang memenuhi kriteria kami. Kami mengumpulkan kajian-kajian ke dalam tiga kategori berikut untuk membantu tafsiran keputusan-keputusan:

1. Intervensidiet vegan berbanding tiada intervensi atau intervensi minimum untuk mencegah kejadian penyakit kardiovaskular;
2. Intervensi diet vegan berbanding intervensi diet lain untuk mencegah kejadian penyakit kardiovaskular;
3. Intervensi diet vegan berbanding intervensi diet lain untuk orang dengan penyakit kardiovaskular, untuk mencegah perulangan.

Keputusan utama

Tiada kajian melaporkan kejadian penyakit kardiovaskular sama ada dalam kalangan mereka dengan atau tiada penyakit pada permulaannya. Faktor risiko penyakit kardiovaskular dilaporkan dalam kajian-kajian yang disertakan. Terdapat bukti kepastian sederhana untuk beberapa penurunan kecil paras lipid dengan diet vegan berbanding tiada intervensi atau intervensi minimum dalam kalangan orang tanpa penyakit, tetapi juga beberapa perubahan ukuran-ukuran yang sangat kecil dalam arah yang bertentangan untuk manfaat kardiovaskular. Dalam kalangan orang dengan penyakit kardiovaskular terdapat maklumat yang sangat terhad, kerana hanya satu kajian yang memenuhi kriteria kami. Empat kajian melaporkan kesan-kesan sampingan diet tersebut, sama ada tiada kesan atau kesan kecil.

Kepastian bukti

Kebanyakan kajian terbatas dalam reka bentuk kajian, oleh itu bukti perlu ditafsir dengan berhati-hati. Khususnya, bilangan keseluruhan orang yang mengambil bahagian dalam kajian-kajian adalah terlalu kecil untuk menolak kemungkinan penemuan secara kebetulan, dan terlalu kecil untuk menemukan sebarang perbezaan dalam kesan terhadap ukuran-ukuran kami.

Kesimpulan

Ulasan ini menyimpulkan pada masa ini tiada maklumat tentag kesan-kesan diet vegan terhadap kejadian penyakit kardiovaskular. Terdapat maklumat terhad tentang kesan-kesan diet itu terhadap mereka dengan penyakit kardiovaskular, dan keputusan faktor risiko yang bercampur untuk mereka yang tiada penyakit. Kami menemui lapan kajian yang masih berlangsung, dan apabila kami mendapat keputusan-keputusan dari kajian-kajian ini kami akan memasukkannya ke dalam ulasan untuk membantu mengurangkan ketidakpastian.

Nota terjemahan: 

Diterjemah oleh Muhammad Faiz Mohd Adenan (University of New South Wales, Sydney). Disunting oleh Noorliza Mastura Ismail (Kolej Universiti Manipal Malaysia).

Tools
Information
Share/Save