Bagaimanakah komunikasi tentang akhir hayat dan penjagaan dalam 12 bulan terakhir kehidupan boleh dipertingkatkan?

Mesej utama

Kami tidak menemui bukti berkualiti yang mencukupi untuk dapat menyatakan cara berkomunikasi tentang akhir hayat (EoL) yang terbaik untuk orang yang terlibat. Satu kajian intervensi persidangan keluarga mendapati bahawa intervensi komunikasi mungkin meningkatkan tempoh perbincangan EoL antara keluarga dan profesional kesihatan dalam beberapa situasi, dan satu lagi mendapati bahawa intervensi yang menggunakan panduan perbualan berstruktur mungkin membawa kepada perbincangan awal antara pesakit, penjaga, dan profesional kesihatan tentang EoL dan penjagaan EoL. Kami tidak menemui sebarang bukti tentang apa-apa kesan yang berbahaya atau negatif tentang intervensi komunikasi, dan kami tidak pasti tentang kesan intervensi komunikasi pada hasil seperti peningkatan tahap pengetahuan atau kualiti penjagaan EoL.

Mengapa komunikasi di akhir hayat penting?

Apabila pesakit berada di fasa terakhir kehidupan mereka, adalah penting untuk mereka menerima penjagaan berkualiti tinggi (sila rujuk garis panduan ACSQHC 2015 dan lampiran rujukan 2015b untuk maklumat lanjut tentang penjagaan akhir hayat). Komunikasi tentang EoL adalah bahagian penting dalam penjagaan sedemikian. Ia membantu pesakit dan keluarga serta penjaga mereka untuk memahami apa yang sedang berlaku, untuk mengetahui apa yang diharapkan dan apakah pilihan mereka, untuk bertanya soalan dan menerima sokongan, dan untuk terlibat dalam keputusan dan perancangan seberapa banyak yang mereka mahu. Komunikasi tentang EoL tidak selalu dilakukan dengan sempurna dan ini boleh mendatangkan kesan negatif. Memahami cara kita dapat meningkatkan komunikasi akhir hayat antara pelbagai pihak yang terlibat dalam aspek penjagaan akhir hayat (yakni pesakit, ahli keluarga, penjaga, pengamal kesihatan) penting untuk memastikan pesakit menerima mutu penjagaan yang terbaik sebelum mati.

Apakah yang ingin kami kenalpasti?

Kami ingin mengenalpasti cara berkomunikasi dengan pesakit dan penjaga yang terbaik dalam meningkatkan pengetahuan khalayak ramai tentang EoL (misalnya, jangkaan dan ekspektasi, pilihan rawatan).

Perkara yang difikirkan oleh orang ramai tentang komunikasi tersebut (cth kepuasan, kualiti komunikasi, sejauh mana mereka terlibat dan mahu berada dalam perundingan). Perbincangan tentang akhir hayat (cth berapa kerap perkara ini berlaku, dan bila).

Kami juga ingin mengetahui sama ada intervensi komunikasi mungkin meningkatkan kesan yang tidak diingini atau berbahaya, seperti ketakutan atau kesusahan.

Apakah yang telah dilakukan

Kami mencari kajian yang melihat intervensi komunikasi berbanding dengan penjagaan biasa (penjagaan yang disediakan secara rutin atau sebagai cara standard untuk merawat orang), atau membandingkan satu jenis komunikasi (cth memberikan maklumat) dengan yang lain (cth menyediakan maklumat bersama-sama dengan sokongan) , pada semua peringkat umur dari lahir dan seterusnya dan yang dijangka mati dalam tempoh 12 bulan. Kami meringkaskan hasil kajian yang disertakan dan menilai keyakinan kami terhadap bukti berdasarkan faktor seperti saiz kajian, kaedah kajian dan orang yang dikaji oleh kajian.

Untuk memastikan tumpuan ulasan ini dikekalkan pada komunikasi interpersonal dalam tempoh 12 bulan terakhir kehidupan, kami mengecualikan kajian yang menangani keputusan tertentu, dikongsi atau sebaliknya, dan alat yang terlibat dalam membuat keputusan sedemikian. Kami juga mengecualikan kajian yang tertumpu pada perancangan penjagaan awal (ACP) yang melaporkan pengambilan atau penyiapan ACP sebagai hasil utama. Akhir sekali, kami mengecualikan kajian latihan kemahiran komunikasi untuk profesional kesihatan melainkan hasil pesakit dilaporkan sebagai hasil utama.

Apakah hasil kajian yang telah kami temui?

Kami menemui lapan kajian yang membandingkan kesan intervensi komunikasi untuk pesakit akhir hayat dengan penjagaan biasa. Intervensi dipelbagaikan dan terdiri daripada pendekatan mudah seperti senarai untuk membantu pesakit dan penjaga bertanya soalan dalam perundingan, hingga ke intervensi perbualan berstruktur yang kompleks untuk melibatkan pesakit dan penjaga dalam perbincangan tentang EoL dan penjagaan yang mereka ingin terima.

Kami mendapati intervensi persidangan keluarga boleh memanjangkan tempoh perbincangan akhir hayat dalam beberapa situasi, manakala panduan perbualan penyakit serius yang berstruktur boleh mengawalkan perbincangan antara pesakit, penjaga dan profesional kesihatan tentang fasa akhir hayat dan rawatannya.

Kami juga mendapati bahawa intervensi komunikasi mempunyai keberkesanan yang rendah terhadap tahap pengetahuan, tanggapan orang ramai terhadap komunikasi akhir hayat (misalnya aspek kualiti komunikasi, sejauh manakah mereka ingin terlibat dalam perbincangan akhir hayat) atau terhadap titik hasil seperti bilangan soalan yang ditanyakan pesakit sewaktu berunding dengan doktor mereka. Kami tidak menemui sebarang bukti kesan berbahaya atau negatif daripada campur tangan, tetapi kajian kebanyakannya kecil dan tidak direka terutamanya untuk mengenal pasti ini.

Mungkin terdapat sedikit kesan pada hasil lain yang kami cari, seperti kualiti hidup, kualiti penjagaan EoL atau bilangan matlamat penjagaan yang dicapai. Dalam kes lain, kami tidak pasti kerana terdapat sedikit atau tiada bukti yang tersedia (cth hasil profesional kesihatan seperti pengetahuan atau keyakinan untuk berkomunikasi, atau penggunaan perkhidmatan kesihatan cth kemasukan ke hospital).

Apakah batasan bukti?

Kami mempunyai sedikit keyakinan terhadap bukti: kajian yang disertakan hanya melihat komunikasi untuk orang dewasa yang lebih tua di negara berpendapatan tinggi, manakala semakan itu mencari bukti merentas seluruh jangka hayat dan tanpa mengira negara dan persekitaran. Selain itu, kajian yang disertakan sering mengkaji sebilangan kecil orang.

Sejauh mana bukti ini terkini?

Bukti adalah terkini sehingga Julai 2018.

Nota terjemahan: 

Diterjemahkan oleh Nathanael Lee (Hospital Seberang Jaya). Disunting oleh Shazlin Shaharudin (Universiti Sains Malaysia). Untuk sebarang pertanyaan yang berkaitan dengan terjemahan ini, sila hubungi cochrane@rcsiucd.edu.my

Tools
Information