Kesan memulakan terapi antiretroviral dalam tempoh satu minggu diagnosis terhadap orang dengan HIV

Apakah matlamat ulasan ini?

Matlamatnya adalah untuk menentukan sama ada memulakan terapi antiretroviral (ART) dalam masa satu minggu diagnosis HIV (Rapid ART) menghasilkan risiko kematian lebih rendah atau supresi virus dalam darah yang lebih baik daripada penjagaan standard; serta mengkaji kesan intervensi ini, sama ada orang akan mula mengambil ART dan terus terlibat dengan penjagaan ini selepas 12 bulan.

Mesej utama

Menawarkan ART kepada orang dengan HIV (PLWH) dalam masa satu minggu diagnosis mungkin meningkatkan bilangan orang yang memulakan terapi pada 12 bulan dan bilangan PLWH dengan supresi virus dalam darah pada 12 bulan. Ia juga boleh memperbaiki bilangan orang yang masih berhubung dengan perkhidmatan kesihatan pada 12 bulan. Kami tidak mengetahui kesan intervensi ini ke atas orang yang tenat. Kami mendapati beberapa perubahan yang perlu dilakukan selari dengan ART pantas bagi perkhidmatan untuk mencapai hasil-hasil ini.

Apa yang dikaji dalam ulasan ini?

HIV adalah punca kematian utama di seluruh dunia. Walaupun lebih ramai orang mengambil ART berbanding sebelum ini, terdapat peratusan besar PLWH yang tidak dirawat. Salah satu sebab yang dikenal pasti adalah tempoh yang panjang di antara diagnosis HIV dan memulakan ART. ART pantas telah dicadangkan sebagai satu cara untuk meningkatkan bilangan PLWH yang dimulakan dengan ART dan memperbaiki hasil yang berkait dengan HIV.

Apakah keputusan utama ulasan ini?

Kami mendapati tujuh kajian yang memenuhi kriteria kemasukan dan menilai kesan ARTpantas terhadap PLWH. ART pantas mungkin meningkatkan bilangan orang yang dimulakan ART pada 12 bulan dan bilangan PLWH tanpa virus yang dikesan dalam darah mereka pada 12 bulan (bukti kepastian sederhana). Berdasarkan bukti kepastian rendah, ART pantas boleh meningkatkan bilangan PLWH yang dikekalkan dalam penjagaan. Kami tidak tahu sama ada ART pantas mempunyai kesan ke atas bilangan kematian (bukti kepastian sangat rendah).

Kami mendapati jika perkhidmatan kesihatan ingin menawarkan ART dalam tempoh seminggu diagnosis, perubahan terhadap bagaimana sistem-sistem beroperasi perlu dibuat.

Adakah ulasan ini terkini?

Kami mencari kajian-kajian yang relevan sehingga 14 Ogos 2018.

Nota terjemahan: 

Diterjemah oleh Erni Zurina Romli (Health Technology Assessment Section, Malaysian Ministry of Health). Disunting oleh Noorliza Mastura Ismail (Kolej Perubatan Melaka-Manipal). Untuk sebarang pertanyaan berkaitan terjemahan ini, sila hubungi cochrane@rcsiucd.edu.my

Tools
Information
Share/Save