Kesan mengurangkan amaun lemak ke atas berat badan dalam kalangan kanak-kanak

Soalan ulasan

Apakah hubungan antara amaun lemak yang dimakan oleh kanak-kanak dengan berat dan lemak badan mereka?

Latar belakang

Untuk cuba mencegah orang dari berat berlebihan dan obes, kita perlu memahami jumlah amaun lemak yang ideal dalam diet, dan terutamanya bagaimana ini dikaitkan dengan berat badan dan kegemukan. Hubungan ini berbeza dalam kanak-kanak berbanding orang dewasa, kerana kanak-kanak masih membesar dan berkembang.

Ciri-ciri kajian

Ulasan ini melihat kesan memakan kurang lemak ke atas berat badan dan kegemukan dalam kalangan kanak-kanak sihat yang berumur antara dua dan 18 tahun, yang tidak berhasrat untuk menurunkan berat badan. Kami menjalankan carian komprehensif untuk kajian-kajian sehingga Mei 2017.

Keputusan utama

Kami menemui tiga kajian rawak terkawal (kajian klinikal di mana peserta ditempatkan secara rawak ke dalam satu dari dua atau lebih kumpulan rawatan) yang dijalankan dalam 1054 kanak-kanak di negara-negara berpendapatan tinggi (kaya). Dua kajian merekrut kanak-kanak berumur antara 4 dan 11 tahun dan satu kajian merekrut kanak-kanak berumur 12 hingga 13 tahun. Kajian-kajian tersebut melihat kepada jenis intervensi, termasuk sesi pendidikan individu dan berkumpulan atau nasihat. Sesi disampaikan di klinik-klinik, sekolah-sekolah dan rumah-rumah oleh ahli diet, pakar makanan atau guru-guru. Intervensi yang digunakan dalam kajian bertujuan untuk membantu kanak-kanak supaya memakam kurang jumlah lemak dalam diet mereka (30% atau kurang daripada jumlah tenaga harian mereka). Intervensi-intervensi ini telah dibandingkan dengan pengambilan lemak yang biasa ataupun terubahsuai (lebih 30% dari jumlah tenaga harian mereka) selama antara satu dan tujuh tahun. Beberapa keputusan menunjukkan penurunan pengambilan lemak mungkin mengurangkan indeks jisim tubuh (BMI; ukuran kegemukan badan berdasarkan ketinggian dan berat badan) dan tahap darah pelbagai jenis kolesterol (lemak yang dibawa dalam darah) bila dibandingkan kepada pengambilan lemak yang lebih tinggi. Walau bagaimanapun, kesan-kesan ini berubah sepanjang tempoh dengan beberapa keputusan yang menunjukkan pengambilan lemak yang lebih rendah mungkin memberikan sedikit atau tiada perbezaan. Bukti daripada satu kajian mencadangkan pengambilan lemak yang lebih rendah mungkin tiada kesan ke atas tahap darah satu jenis kolesterol (yang dikenali sebagai kolesterol HDL) dan mungkin tiada kesan ke atas ketinggian berbanding kepada pengambilan lemak yang lebih tinggi. Bukti ini tidak semestinya diaplikasi kepada semua kanak-kanak yang sihat, kerana dua kajian dilakukan dalam kalangan kanak-kanak yang mempunyai tahap kolesterol darah yang tinggi.

Kami juga melihat 21 kajian yang melibatkan kira-kira 25,059 kanak-kanak yang telah memerhati dan mengukur pengambilan lemak dan berat badan mereka, BMI, dan lain-lain ukuran badan sepanjang tempoh, tetapi tidak berusaha untuk terus menukar apa yang dimakan (ini dipanggil kajian kohort). Lebih separuh daripada kajian kohort ini yang melaporkan mengenai kegemukan badan mencadangkan tambahan pengambilan jumlah lemak meningkat selari dan sehaluan dengan kegemukan badan. Walau bagaimanapun, keputusan adalah berbeza dalam keseluruhan kajian-kajian dan kami tidak dapat membuat keputusan yang kukuh.

Kualiti bukti

Kami tidak menjumpai bukti berkualiti tinggi bagi menjawab soalan ini. Bukti daripada kajian cohort adalah secara umumnya berkualiti sangat rendah, oleh itu kami tidak pasti mengenai keputusannya dan tidak dapat membuat kesimpulan. Untuk tiga kajian rawak terkawal, keputusan yang paling kami minati secara amnya mempunyai bukti berkualiti sederhana atau rendah. Kami tidak boleh membuat sebarang kesimpulan mengenai kanak-kanak di negara-negara berpendapatan rendah dan sederhana kerana 23 dari 24 kajian telah dijalankan di negara-negara berpendapatan tinggi. Lebih banyak kajian yang berkualiti tinggi, berjangka panjang diperlukan, yang juga melibatkan kanak-kanak daripada persekitaran berpendapatan rendah dan sederhana.

Nota terjemahan: 

Diterjemahkan oleh Noor Salwah S Omar (Universiti Sains Malaysia). Untuk sebarang pertanyaan berkaitan terjemahan ini sila hubungi salwah@usm.my. Disunting oleh Noorliza Mastura Ismail (Kolej Perubatan Melaka-Manipal)

Tools
Information