Intervensi penjagaan paliatif untuk pesakit sklerosis multipel

Objektif

Untuk menilai kesan-kesan (baik dan buruk) penjagaan paliatif berbanding penjagaan lazim bagi mereka yang menghidapi sebarang jenis sklerosis multipel seperti sklerosis multipel jenis berulang-remisi (RRMS), progresif-sekunder (SPMS) dan progresif-primer (PPMS). Kami juga membandingkan kesan-kesan intervensi penjagaan paliatif yang berlainan.

Latar belakang

Sklerosis multipel (MS) adalah masalah kesihatan yang kronik, penyebab lumpuh secara progresif yang dihidapi lebih 2.3 juta manusia di seluruh dunia. Gejala-gejala MS menyebabkan beban emosi, psikososial dan fizikal bagi mereka yang menghidapinya (terjejas dengannya). Penjagaan paliatif ditakrifkan sebagai penjagaan yang aktif dan menyeluruh terhadap kesakitan dan psikologi, rohani dan masalah sosial pesakit yang tidak berjaya diubati dengan rawatan penyembuhan. Penjagaan paliatif termasuklah melegakan kesakitan dan gejala-gejala yang menyebabkan stres, mempromosikan konsep kehidupan dan kematian sebagai suatu yang semulajadi, menyemai rasa hormat terhadap perjalanan menuju kematian yang semulajadi, mengintegrasikan aspek psikologi dan spiritual dalam penjagaan pesakit, dan memelihara kehidupan secara aktif selama mungkin.

Ciri-ciri kajian

Tiga buah kajian yang melibatkan 146 peserta telah dimasukkan dalam ulasan ini. Kesemua tiga kajian membandingkan penjagaan paliatif yang diberi secara lawatan ke rumah melawan penjagaan yang lazim untuk pesakit MS. Hanya dua buah kajian yang melibatkan pesakit MS sahaja. Kajian yang ketiga (Ne-PAL) melibatkan pesakit MS dan juga pesakit neurodegeneratif yang lain. Dalam ketiga-tiga kajian, intervensi tertumpu kepada penilaian dan pengurusan gejala-gejala dan perancangan akhir hayat. Kami tidak menjumpai sebarang kajian yang membandingkan pelbagai jenis penjagaan paliatif sesama sendiri.

Keputusan-keputusan utama

Kami tidak pasti terhadap perbezaan antara penjagaan paliatif dan penjagaan lazim untuk hasil-hasil yang berikut bagi rawatan susulan dalam jangka masa panjang (> enam bulan selepas intervensi: perubahan terhadap kualiti kehidupan dari segi kesihatan, kesan buruk, dan kemasukkan ke hospital. Kajian-kajian yang dinilai tidak menilai keletihan, fungsi kognitif, kelangsungan bebas daripada berulangnya penyakit, ataupun kelangsungan berterusan tanpa perkembangan penyakit.

Kualiti bukti

Kami tidak pasti sama ada intervensi penjagaan paliatif adalah bermanfaat untuk pesakit MS. Terdapat bukti dengan tahap kepastian yang rendah, atau sangat rendah mengenai perbezaan antara intervensi penjagaan paliatif, berbanding penjagaan jangka-masa panjang yang lazim daripada segi kualiti kehidupan, peristiwa buruk, dan kemasukkan ke hospital.

Bukti terkini
Bukti ini adalah terkini sehingga 31 Oktober 2018.

Nota terjemahan: 

Diterjemahkan oleh Syameer Firdaus (Monash University). Untuk sebarang pertanyaan berkaitan terjemahan ini sila hubungi syameer.firdaus@outlook.com. Disunting oleh Rosediani Muhamad, Pakar Perubatan Keluarga (USM Kubang Kerian)

Tools
Information
Share/Save