Pemasangan sten berbanding pembedahan untuk mengawal gejala saluran keluar perut tersekat disebabkan oleh kanser yang tidak dapat dibedah

Soalan ulasan

Adakah pembedahan atau sten endoskopik lebih baik untuk rawatan saluran keluar perut (gastrik) yang tersekat disebabkan oleh kanser?

Latar belakang

Kanser bahagian atas salur gastro-usus (perut, usus kecil, pankreas) boleh menyekat saluran keluar perut yang membawa kepada muntah, sakit abdomen dan ketidakupayaan untuk makan atau minum. Bagi pesakit-pesakit yang kelangsungan hidup mereka sudah terbatas disebabkan kanser, gejala-gejala ini amat menyusahkan dan akhirnya akan menyingkatkan jangka hayat mereka. Mengembalikan keupayaan untuk makan dan minum adalah sangat penting untuk meningkatkan kualtiti hidup pesakit.

Terdapat dua intervensi sedia ada untuk mengatasi sekatan ini. Prosedur pembedahan untuk menghubungkan perut ke bahagian atas usus kecil (gastrojejunostomi), justeru, pengalihan makanan memintasi sekatan boleh dilakukan. Ini boleh dilakukan melalui belahan di abdomen (terbuka) atau melalui belahan kecil lubang kunci (laparoskopi). Alternatifnya adalah pemasangan tiub plastik atau logam (sten) melepasi bahagian yang sempit atau tersekat, yang dimasukkan melalui mulut atau esofagus (salur makanan) (endoskopik).

Ciri-ciri kajian

Tiga kajian dengan 84 peserta telah membandingkan pembedahan untuk memintas sekatan dengan pemasangan sten duodenum untuk melepasi sekatan. Bukti adalah mutakhir sehingga Mei 2018.

Keputusan utama

Kesemua kajian mendapati bahawa pesakit boleh makan dan minum dengan lebih awal selepas pemasangan sten duodenum, dan seterusnya keluar dari hospital dengan lebih cepat. Gejala lebih berkemungkinan untuk berulang selepas pemasangan sten dan pesakit memerlukan rawatan lanjut untuk mengembalikan semula keupayaan makan dan minum.

Terdapat lebih banyak masalah terdekat berlaku pada peserta yang menjalani gastrojejunostomi, termasuk jangkitan luka dan paru-paru. Beberapa peserta yang dipasangkan sten kemudiannya mengalami penyumbatan sten yang memerlukan prosedur ulangan.

Kualiti bukti

Kajian-kajian ini hanya melibatkan bilangan peserta yang sedikit dan kesemuanya menggunakan kaedah yang agak berbeza, menjadikannya sukar untuk pasti dengan keputusan utama.

Nota terjemahan: 

Diterjemah oleh Aishah Ibrahim (University of Hull, UK). Disunting oleh Shazlin Shaharudin (Universiti Sains Malaysia). Untuk sebarang pertanyaan berkaitan terjemahan ini sila hubungi cochrane@rcsiucd.edu.my

Tools
Information