Intervensi bagi ibu-ibu mengandung, ibu-ibu baharu dan pengasuh utama yang lain untuk mencegah kerosakan gigi pada kanak-kanak

Adakah menyediakan penjagaan pergigian asas dan/atau maklumat kesihatan oral kepada Ibu-ibu mengandung, ibu-ibu baharu dan penjaga utama dapat mencegah kerosakan gigi pada kanak-kanak?

Mesej utama

• Pemberian maklumat kepada Ibu-ibu mengandung, ibu-ibu dan penjaga mengenai diet sihat dan kaedah pemberian makanan kepada anak, seperti penyusuan ibu, pemberian makanan dengan botol dan memberikan makanan pepejal, dapat mengurangkan sedikit risiko kerosakan gigi pada anak-anak kecil.

• Lebih banyak penyelidikan diperlukan untuk memahami manfaat dan kemudaratan jenis-jenis program sokongan yang berbeza, terutamanya untuk kanak-kanak dari keluarga berpendapatan rendah, yang berpotensi untuk mencegah kerosakan gigi awal.

Mengapa penting untuk mencegah kerosakan gigi pada kanak-kanak kecil?

Dari lahir hingga berumur enam tahun, kerosakan gigi (sering disebut karies awal kanak-kanak) adalah perkara biasa dan umumnya lebih teruk bagi kanak-kanak yang hidup dalam kemiskinan. Gigi yang reput mengakibatkan kesakitan, ia boleh memberi kesan negatif yang berpanjangan terhadap kesihatan kanak-kanak, dan rawatannya boleh jadi mahal.

Apa yang menyebabkan kerosakan gigi pada kanak-kanak kecil?

Gula dan plak (lapisan bakteria pada gigi) adalah penyebab kerosakan gigi. Walau bagaimanapun, sikap, kepercayaan, dan tabiat ibu-ibu mengandung, ibu-ibu dan pengasuh yang lain akan mempengaruhi sama ada kerosakan gigi mungkin berlaku pada anak-anak mereka.

Apakah yang ingin kami ketahui?

Kami ingin mengetahui program yang manakah yang sesuai untuk Ibu-ibu mengandung, ibu-ibu baharu dan pengasuh kanak-kanak yang lain (sehingga yang berumur 1 tahun) bagi mencegah kerosakan gigi dan mengurangkan bilangan gigi reput, kehilangan gigi, dan tampalan yang diperlukan.

Program yang diadakan:

• rawatan penjagaan gigi;

• pendidikan/promosi kesihatan oral (mulut) dan pemakanan;

• perubahan polisi atau perkhidmatan kesihatan bagi menjadikan akses terhadap penjagaan pergigian lebih mudah.

Kami juga ingin mengetahui sama ada terdapat kesan yang memudaratkan apabila program-program ini dijalankan secara berasingan atau secara gabungan.

Apakah yang kami lakukan?

Kami telah mencari kajian yang membandingkan program-program yang kami ingin ketahui sehingga 03 Januari 2023 berbanding:

- penjagaan biasa;

• plasebo (rawatan yang seakan-akan sama dengan yang sedang diuji); atau

• program-program yang lain.

Kami telah membandingkan dan merumuskan keputusan kajian dan menilai tahap keyakinan kami terhadap bukti, berdasarkan faktor-faktor seperti kaedah dan saiz kajian.

Apakah yang telah kami temui?

Kami mendapati 23 kajian yang dijalankan di 12 negara yang melibatkan 25,930 pengasuh (terutamanya Ibu-ibu mengandung atau ibu-ibu baharu) dan anak-anak mereka. Program yang dijalankan termasuklah pendidikan/promosi kesihatan oral dan diet (15 kajian), rawatan penjagaan pergigian (6 kajian), dan gabungan kedua-duanya (2 kajian). Tempoh perlaksanaan program dalam tempoh antara dua minggu hingga tiga tahun. Tiada kajian yang mengkaji perubahan polisi atau perkhidmatan kesihatan yang direka untuk meningkatkan akses penjagaan pergigian.

Pengasuh dan kanak-kanak adalah dari komuniti berpendapatan rendah dalam 13 kajian dan dalam satu kajian kebanyakannya dari komuniti berpendapatan tinggi. Sebilangan besar kajian melaporkan bagaimana kajian tersebut dibiayai, dengan dua daripadanya mendapat pembiayaan daripada syarikat-syarikan dalam industri kebersihan oral. Walau bagaimanapun, ini tidak mungkin mempengaruhi penemuan dalam kajian-kajian tersebut, walaupun ia tidak dinyatakan oleh penulis.

Keputusan-keputusan utama

Dalam pendidikan/promosi kesihatan oral dan diet berbanding dengan penjagaan biasa, risiko kerosakan gigi pada kanak-kanak yang berumur sehingga 1 tahun:

• mungkin berkurangan sedikit apabila pengasuh menerima nasihat mengenai diet kanak-kanak dan amalan pemakanan bayi/anak (3 kajian, 782 peserta).

• tiada perbezaan yang didapati apabila pengasuh menerima sokongan penyusuan ibu (2 kajian, 1148 peserta), nasihat mengenai diet kanak-kanak (1 kajian, 148 peserta), atau nasihat mengenai diet kanak-kanak, pemakanan dan pembersihan gigi (5 kajian, 1326 peserta).

Kami juga tidak tahu sama ada pemberian suplemen vitamin D dalam dos yang tinggi atau rendah kepada ibu semasa hamil mempunyai kesan ke atas risiko kerosakan gigi (1 kajian, 496 peserta).

Terdapat penemuan yang bercampur dalam program penjagaan pergigian yang membandingkan penggunaan varnis gigi berbanding plasebo (4 kajian, 632 peserta), atau gula-gula getah yang mengandungi gel pergigian yang berbeza (2 kajian, 361 peserta) untuk mengurangkan bakteria di dalam mulut ibu. Tidak jelas sama ada langkah-langkah di atas boleh menghalang kerosakan gigi pada kanak-kanak kecil. Kami juga tidak tahu sama ada program yang menggabungkan pendidikan kesihatan oral dan rawatan penjagaan pergigian, berbanding dengan penjagaan biasa (2 kajian, 324 peserta), mempunyai kesan ke atas risiko kerosakan gigi.

Hanya empat kajian yang melaporkan sama ada pengasuh atau kanak-kanak mengalami sebarang kesan yang memudaratkan. Untuk program pendidikan kesihatan mulut dan pemakanan, tiada kesan memudaratkan yang dilaporkan. Beberapa kesan mudarat yang kecil, seperti rasa terbakar dan loya, dilaporkan oleh sesetengah ibu yang menerima rawatan pergigian.

Apakah batasan bukti?

Kami mempunyai keyakinan sederhana bahawa memberikan nasihat pemakanan dan amalan pemakanan kepada pengasuh mungkin boleh mengurangkan risiko kerosakan gigi pada kanak-kanak kecil. Namun, kami mempunyai keyakinan yang sangat rendah terhadap penemuan-penemuan yang lain. Ini disebabkan terdapat banyak perbezaan antara kajian-kajian dalam jenis-jenis program yang diteliti, dan beberapa kajian mengkaji program yang sama atau gabungan program.

Sejauh manakah bukti ini terkini?

Ulasan ini mengemas kini ulasan kami terdahulu yang telah dikemas kini sehingga 3 Januari 2023. Kami tahu terdapat 13 kajian yang sedang berjalan, dan kami merancang untuk memasukkan kajian-kajian ini dalam kemas kini seterusnya.

Nota terjemahan: 

Sila hubungi cochrane@rcsiucd.edu.my untuk sebarang pertanyaan berkaitan terjemahan ini. Diterjemah oleh Kamisah Ariffin (Universiti Teknologi MARA). Disunting oleh Rosnani Zakaria (Universiti Sains Malaysia).

Tools
Information