Rawatan untuk parut akne

Soalan ulasan

Rawatan manakah yang berkesan untuk parut akne?

Latar belakang

Parut akne boleh menjejaskan kesihatan fizikal, mental dan sosial seseorang secara teruk. Walaupun pelbagai jenis rawatan telah digunakan, terdapat kekurangan bukti berkualiti tinggi tentang rawatan yang paling berkesan bagi parut akne.

Ulasan ini bertujuan untuk memaklumkan kepada pesakit dan ahli kesihatan tentang kaedah yang paling berkesan dan selamat bagi mengurus masalah ini. Kami telah meneliti rawatan bagi parut atrofik (lekukan pada permukaan kulit) dan parut hipertrofik (parut berketul yang timbul dari permukaan kulit) akne tetapi kami memilih untuk menumpukan perhatian kepada parut atrofik kulit muka. Hasil utama yang penting bagi kami ialah pemulihan parut yang dilaporkan oleh peserta dan apa-apa kesan mudarat yang cukup serius sehingga menyebabkan peserta menarik diri daripada kajian.

Ciri-ciri kajian

Kami memasukkan 24 kajian terkawal rawak (RCT) dengan 789 orang dengan parut akne (daripada pencarian sehingga November 2015). Dua puluh satu RCT (706 orang) telah mendaftarkan kedua-dua lelaki dan perempuan, tiga RCT (75 orang) mendaftarkan hanya wanita dan satu RCT (lapan orang) mendaftarkan hanya lelaki. Kebanyakan kajian yang kami sertakan (21 RCT dengan 744 orang) yang memasukkan peserta yang mempunyai parut akne atrofik. Satu RCT mendaftarkan 20 individu dengan campuran parut akne atrofik dan hipertrofik.

Hasil utama

Bukti daripada kajian-kajian tidak cukup untuk menyokong laser pecahan sebagai rawatan akne. Namun begitu, pendekatan rawatan ini dilakukan oleh sebilangan perawat di dalam amalan klinikal mereka sebagai rawatan parut akne.

Bagi hasil uji kaji ‘Pemulihan parut yang dilapor sendiri oleh peserta’, laser pecahan lebih berkesan dalam menghasilkan perubahan pemulihan parut daripada laser bukan pecahan dan laser bukan ablasi. Pecahan radiofrekuensi menunjukkan pemulihan parut yang serupa dengan laser pecahan. Pengelupasan kimia menunjukkan pemulihan parut yang serupa dengan laser pecahan dan penjaruman kulit. Gabungan pengelupasan kimia dan penjaruman kulit menunjukkan pemulihan parut yang serupa dengan laser pecahan dan pengelupasan kimia kulit dalam. Suntikan ‘fillers’ menunujukkan pemulihan parut yang lebih berkesan berbanding plasebo.

Hasil kajian kami, ‘Kesan mudarat serius’ telah dilaporkan dalam satu kajian, menunjukkan yang pengelupasan kimia tidak dapat ditahan oleh 16% peserta. Hasil kajian yang lain, kesan mudarat secara ‘dilapor peserta’ dan ‘dinilai pengkaji’ dalam jangka pendek (kurang dari 24 minggu), sedikit sebanyak dapat ditahan oleh peserta dan penilai serta tidak menunjukkan perbezaan besar antara intervensi yang dikaji.

Empat daripada enam perbandingan adalah tidak muktamad sepenuhnya dan merupakan bukti berkualiti amat rendah. Terdapat kekurangan kajian yang menentukan keberkesanan rawatan berbanding plasebo atau intervensi palsu, dan kemungkinan bahawa ketiadaan bukti tentang perbezaan antara dua rawatan aktif bermaksud kedua-kedua rawatan tidak berkesan.

Kami tidak dapat mengenal pasti mana-mana kajian yang mengkaji rawatan bagi parut akne di bahagian belakang badan.

Keputusan ulasan ini tidak menyokong penggunaan mana-mana intervensi pertama dalam perawatan parut akne, dan tiada kajian yang memberi bukti yang dapat memastikan apa-apa manfaat jangka pendek dapat diterjemahkan kepada kesan jangka panjang.

Kualiti bukti

Kami menganggap kualiti bukti bagi beberapa hasil uji kaji sebagai amat rendah atau sederhana. Bukti berkualiti rendah untuk rawatan-rawatan kebanyakannya disebabkan oleh kekurangan peserta dalam kajian, membuatkan keputusan menjadi kurang tepat, dan terdapat kekurangan pembutaan (peserta mengetahui rawatan yang diterima).

Kajian lanjut patut mengambil kira hasil uji kaji secara laporan kendiri pesakit sebagai ukuran utama. Perlu ada satu set hasil uji kaji teras yang patut dilaporkan dalam semua RCT bagi rawatan parut akne, dan hasil uji kaji patut dinilai beberapa bulan selepas rawatan dijalankan. Kekurangan pelaporan kesan sampingan yang serius adalah salah satu jurang penyelidikan yang ditemui dalam ulasan ini.

Nota terjemahan: 

Diterjemahkan oleh Hanis Hamdan (Pelajar Pascasiswazah, Fakulti Perubatan, Universiti Kebangsaan Malaysia). Disunting oleh Rosnani Zakaria (Universiti Sains Malaysia). Untuk sebarang pertanyaan berkaitan terjemahan ini, sila hubungi cochrane@rcsiucd.edu.my

Tools
Information