Aktiviti fizikal dan senaman untuk sakit kronik dalam kalangan dewasa: gambaran keseluruhan Ulasan Cochrane

Latar belakang

Sakit kronik (jangka panjang) adalah rasa sakit yang telah berlanjutan melebihi masa penyembuhan badan yang biasa. Ia sering dijelaskan sebagai sakit yang telah berlangsung sekurang-kurangnya tiga bulan. Sakit kronik menyebabkan banyak masalah, selain rasa sakit itu sendiri, misalnya fatig, keresahan, depresi, dan kualiti hidup yang teruk.

Di masa lalu, orang dengan sakit kronik disuruh berehat. Walau bagaimanapun, nasihat umum sekarang adalah untuk kekal aktif - sama ada untuk mempengaruhi sakit secara langsung atau untuk mengatasi masalah-masalah lain yang berkaitan. Oleh itu, kajian penyelidikan berusaha untuk mengkaji kesan aktiviti fizikal dalam kalangan orang dengan sakit kronik.

Gambaran keseluruhan ini bertujuan untuk mengumpul dan menganalisis ulasan yang diterbitkan oleh Cochrane yang melihat kajian aktiviti fizikal dan senaman dalam sebarang keadaan sakit kronik, termasuk artritis, sakit belakang dan leher, dan sakit haid.

Keputusan utama dan kualiti bukti

Pada Januari 2016, kami mengenal pasti 21 Ulasan Cochrane yang merangkumi 10 diagnosis berbeza (osteoartritis (penyakit sendi), artritis reumatoid (sakit sendi dan bengkak), fibromialgia (keadaan sakit yang meluas), sakit belakang, klaudikasi intermiten (sakit kejang di kaki), dismenorea (sakit haid), gangguan leher mekanikal (sakit leher), kecederaan saraf tunjang, sindrom pasca polio (keadaan yang berlaku dalam kalangab orang yang pernah menghidap polio), sakit patellofemoral (sakit di bahagian depan lutut)). Aktiviti fizikal atau program senaman yang diguna dalam kajian berkisar kepada frekuensi, intensiti, dan jenis aktiviti, termasuk aktiviti darat dan air yang fokus kepada pembinaan kekuatan, daya tahan, fleksibiliti dan julat pergerakan, dan senaman pengaktifan otot.

Kualiti bukti adalah rendah. Kebanyakannya adalah kerana bilangan kecil orang dengan sakit kronik yang mengambil bahagian dalam setiap kajian yang dikaji. Secara ideal, sesuatu kajian harus ada ratusan orang dalam setiap kumpulan, sedangkan kebanyakan kajian dalam proses ulasan ini mempunyai jumlah kurang dari 50 orang.

Terdapat bukti aktiviti fizikal mengurangkan keterukan sakit, memperbaik fungsi fizikal, dan ia mempunyai kesan fungsi psikologi dan kualiti hidup yang berbeza-beza. Walau bagaimanapun, keputusan ini tidak ditemui dalam semua kajian. Ketidakkonsistenan itu mungkin disebabkan oleh kualiti kajian atau kerana campuran pelbagai jenis aktiviti fizikal yang diuji dalam kajian-kajian. Tambahan pula, kebanyakan para peserta mengalami sakit ringan hingga sederhana, bukan sakit sederhana hingga teruk.

Kesimpulan

Bukti sedia ada (hanya 25% kajian yang dimasukkan melaporkan kemungkinan bahaya atau kecederaan akibat intervensi), aktiviti fizikal tidak menyebabkan mudarat. Kesakitan otot yang kadang-kadang berlaku dengan permulaan senaman baharu reda apabila para peserta dapat sesuaikan diri dengan aktiviti baharu. Ini penting kerana ia menunjukkan aktiviti fizikal secara umum boleh diterima dan tidak mungkin menyebabkan mudarat dalam kalangan orang dengan sakit kronik, yang kebanyakannya sebelum ini dikhuatiri akan menambah sakit mereka.

Kajian masa depan harus fokus kepada peningkatan bilangan peserta, termasuk keterukan sakit yang lebih luas (lebih banyak orang dengan sakit yang lebih teruk), dan memanjangkan tempoh intervensi (program senaman) dan susulan. Sakit ini bersifat kronik, oleh itu, intervensi jangka panjang dengan tempoh pemulihan atau susulan yang lebih lama mungkin lebih berkesan.

Nota terjemahan: 

Diterjemah oleh Pang Zhi Chiing (RCSI & UCD Malaysia Campus, kelas siswazah 2020). Disunting oleh Noorliza Mastura Ismail (Kolej Perubatan Melaka-Manipal). Untuk sebarang pertanyaan berkaitan terjemahan ini sila hubungi cochrane@rcsiucd.edu.my.

Tools
Information
Share/Save