Apakah prestasi ujian pantas untuk mendiagnosis strep tekak dalam kalangan kanak-kanak?

Latar belakang dan matlamat

Sakit tekak adalah sangat lazim dalam kalangan kanak-kanak. Ia boleh disebabkan oleh virus atau bakteria. Bakteria yang sering dikenal pasti semasa sakit tekak dalam kalangan kanak-kanak ialah streptokokus kumpulan A (‘strep tekak’). Dalam kalangan kanak-kanak dengan sakit tekak, rawatan antibiotik hanya berguna untuk mereka dengan strep tekak.

Ujian ringkas dan pantas untuk mendiagnosis strep tekak tersedia sejak 1980-an. Pakar perubatan boleh membuat ujian pantas di titik penjagaan dengan swab tekak. Berdasarkan keputusan ujian pantas, mereka boleh memutuskan jika antibiotik diperlukan.

Kami mengulas bukti tentang prestasi ujian pantas yang mengesan dengan betul strep tekak dalam kalangan kanak-kanak di jabatan pesakit luar dengan aduan utama sakit tekak.

Ciri-ciri kajian

Kami mencari kajian-kajian yang diterbitkan dalam sebarang bahasa dari Januari 1980 hingga Julai 2015. Kami dapati 98 kajian unik, untuk sejumlah 116 penilaian ujian yang melibatkan 101,121 kanak-kanak. Bilangan peserta adalah antara 42 hingga 11,644 merentasi penilaian ujian-ujian. Perkadaran kanak-kanak dengan strep tekak adalah antara 9.5% hingga 66.6% merentasi penilaian ujian-ujian.

Kualiti bukti

Ciri-ciri reka bentuk kajian yang penting sering tidak dilaporkan. Kualiti keseluruhan metodologi kajian yang disertakan adalah lemah. Bagi kebanyakan kajian, kami bimbang tentang cara pemilihan peserta.

Keputusan utama

Secara purata, ujian pantas untuk strep tekak mempunyai sensitiviti (keupayaan mengesan orang yang berpenyakit dengan betul) 86% dan spesifisiti (keupayaan mengenal pasti orang yang tiada penyakit dengan betul) 95%. Terdapat perbezaan yang besar dalam prestasi ujian pantas merentasi kajian-kajian, yang tidak dapat dijelaskan oleh ciri-ciri kajian, termasuk kualiti metodologi. Kedua-dua jenis ujian pantas yang di nilai dilihat mempunyai sensitiviti yang setanding (85.4% berbanding 86.2%, masing-masing untuk imunoasai enzim dan imunoasai optikal. Berdasarkan keputusan ini, kami menjangka dalam kalangan 100 kanak-kanak dengan strep tekak, 86 akan dapat dikesan dengan tepat oleh ujian pantas manakala 14 akan terlepas dan tidak menerima rawatan antibiotik. Daripada 100 kanak-kanak dengan sakit tekak bukan streptokokus, 95 akan diklasifikasi sedemikian dengan betul oleh ujian pantas manakala 5 akan disalah diagnosis sebagai mengalami strep tekak dan menerima antibiotik yang tidak diperlukan.

Nota terjemahan: 

Diterjemah oleh Aishah Ibrahim (University of Warwick, UK). Disunting oleh Noorliza Mastura Ismail (Kolej Universiti Manipal Malaysia). Untuk sebarang pertanyaan berkaitan terjemahan ini, sila hubungi cochrane@rcsiucd.edu.my

Tools
Information